POLITIK sering dikonotasikan dengan pelbagai yang negatif. Politik digambarkan sebagai pertelingkahan puak dan perebutan kuasa dua pihak atau parti yang bertentangan. Namun adakah itu sebenarnya politik dalam Islam?

Di luar dari kerangka politik Islam yang sarat dengan peraturan, teori dan perlembagaan terkandung banyak falsafah politik yang tidak terhadam oleh umat Islam sendiri.

Umat Islam lebih tegar untuk menghadamkan pelbagai teori, hukum dan perlembagaan berkaitan politik Islam tetapi sering kali gagal menghayati falsafah yang terkandung dalam politik Islam.Ini terbukti apabila para politikus lebih berminat merujuk kepada sarjana hukum politik Islam seperti al-Mawardi dan al-Juwayni.

Tetapi tumpuan kepada pemuka falsafah politik Islam seperti al-Ghazali dan al-Farabi agak kurang, lantaran fokus yang diutamakan adalah berkisar tentang akhlak dan budaya politik yang perlu wujud dalam kalangan politikus untuk memimpin negara dan rakyat.

Di ambang PRU14 ini, penulis melihat betapa perlunya penghayatan kepada falsafah politik dikembalikan dan menjadi ramuan penting dalam proses penyediaan kepimpinan negara yang berkualiti.

Oleh yang demikian, politik Islam pada hari ini perlu disuntik kembali dengan politik nilai atau yang lebih tepatnya politik dakwah dan kasih sayang. Politik dakwah dan kasih sayang sememangnya berpaksikan politik Islam kerana tujuannya hanya bukan untuk mendapatkan kuasa tetapi juga membawa bersama elemen dakwah kasih sayang dan persaudaraan.

Model politik dakwah dan kasih sayang perlu merujuk kepada Rasulullah SAW seperti yang terkandung dalam Surah al-Fath ayat 29: “Muhammad itu utusan ALLAH dan orang yang bersama dengannya adalah keras dengan orang yang bermusuh dengan Islam tetapi berkasih sayang sesama mereka’.

Ayat ini memberi petunjuk jelas bahawa betapa permusuhan itu perlu menjadi teras apabila berhadapan dengan musuh Islam tetapi perlu berbaik-baik, mengukuhkan persaudaraan dan mengelakkan dari terjerumus ke kancah politik kebencian.

Realitinya apa yang berlaku dalam konteks politik hari ni adalah politik kebencian kerana kuatnya pegangan sesetengah pihak kepada dogma dan doktrin kepartian. Sedangkan Islam itu perlu diletakkan lebih atas dari fahaman kepartian. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW “Islam itu tinggi. Dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.”

Amalan demokrasi pada hari ini hakikatnya tidak dapat menidakkan politik kepartian dan pilihan raya, tetapi biarlah semua itu hanyalah satu proses teknikal semata-mata, namun yang lebih utama adalah agenda agama, perpaduan dan dakwah diutamakan lebih dari segalanya.

Berdasarkan hakikat itu, politik kepartian dan pilihan raya juga bukanlah suatu yang salah, tetapi kesalahannya apabila proses kepartian dan pilihan raya itu dihadapi dan ditangani secara berlebihan sehingga merosakkan dan menjejaskan hubungan kekeluargaan dan hubungan persaudaraan sesama Islam. 

Seharusnya, pendekatan politik kita lebih fokus kepada mencanai ilmu dan mengajak untuk saling perkukuhkan persaudaraan dan kasih sayang, bukannya kebencian.

Politik kebencian, permusuhan dan dendam perlu diakhiri segera. Para pemuka politik atau politikus perlu kembali kepada doktrin politik dengan tujuan untuk mendakwahkan rakyat kepada kebaikan dan membina kembali jalinan ukhuwah kasih sayang sesama Islam.

Ini bermakna segala bentuk maki hamun, cercaan kepada individu dan fitnah khususnya di media sosial perlu dihentikan segera.

Media sosial adalah medium yang terpulang kepada penggunanya, jika baik pengisiannya maka baiklah kesannya, jika buruk yang dibuat maka buruklah natijahnya. Maka berpolitik di media sosial juga perlu berteraskan dakwah dan kasih sayang, elakkan daripada menimbulkan kebencian.

Serulah kepada kebaikan dan bincangkan persoalan serta polemik yang bersifat dasar dan bukannya merosakkan individu serta menyerang sesama Islam.

Semoga PRU14 kali ini memberi sinar baharu kepada politik umat Islam di Malaysia dan moga-moga ukhuwah Islam dan kasih sayang terus erat dan disemarakkan biar pun berbeza faham politik kepartian.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)