PADA 19 Januari 2017, Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak menggagaskan wawasan baharu Malaysia yang dikenali sebagai Transformasi Malaysia 2050 (TN50) pada majlis Dialog Perdana bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 

Pada majlis tersebut Perdana Menteri berkata, TN50 adalah gagasan yang akan menentukan hala tuju Malaysia untuk tempoh 30 tahun akan datang selepas berakhirnya tempoh Wawasan 2020. Tiga puluh tahun yang bersamaan dengan tiga dekad merupakan satu kitaran masa yang mencukupi dan signifikan dalam konsep pembinaan tamadun.

Tempoh ini juga dianggap strategik untuk menetapkan kerangka hala tuju yang jelas tentang bentuk masa hadapan bagi negara, agama dan bangsa. 

Sejak 1957, negara telah dibentuk dengan pelbagai gagasan besar yang dirangka oleh para negarawan. Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Wawasan 2020 adalah contoh betapa Malaysia tidak pernah asing dalam pembentukan gagasan besar untuk membangunkan negara, mengekalkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan Islam sebagai agama persekutuan. 

Ironinya, kesemua dasar-dasar ini dirangka dan ditetapkan oleh kerajaan pada peringkat tertinggi. Setiap dasar mempunyai kertas dasar dan perancangannya yang diturunkan ke bawah hingga ke peringkat akar umbi untuk dilaksanakan. 

Namun menurut Perdana Menteri, TN50 adalah bersifat lebih inklusif dan holistik kerana penggubalan kertas dasarnya akan mengambil kira pandangan rakyat dari akar umbi khususnya golongan muda yang berumur sekitar 20-an. Strategi ini dilihat mencabar kelaziman dalam pembentukan dasar kerajaan kerana buat kali pertama kerajaan mahu dilihat lebih inklusif dan mewakili suara golongan muda dalam membentuk dasar kerajaan. 

Oleh yang demikian, sekarang adalah tempoh waktu yang sesuai untuk pihak kerajaan mendapat seberapa banyak idea dan buah fikiran dari golongan muda. Penulis secara peribadi, tertarik untuk membincangkan TN50 dari sudut perspektif Islam.

Sering kali penulis terfikir bagaimana kaedah sesuai untuk melakarkan masa depan Islam di Malaysia pada tanggal 1 Januari 2050?

Adakah Islam di Malaysia pada waktu itu seperti sekarang? Ataupun Islam di Malaysia pada ketika itu telah melalui proses perubahan yang ketara berbanding sekarang? Kesemua persoalan ini melingkari benak pemikiran penulis.

Apa yang pasti, Islam di Malaysia pada hari ini telah pun mempunyai kerangka pembangunan yang jelas. Islam sebagai agama persekutuan diletakkan sebagai asas dalam perlembagaan.

Untuk melestarikan istilah ‘Islam sebagai agama persekutuan’ pihak kerajaan menetapkan pembangunan Islam secara holistik dalam semua aspek kehidupan umat Islam iaitu asas perundangan, kehakiman, pendidikan, sosial, politik dan ekonomi. 

Meskipun begitu, kita menginsafi bahawa masih terdapat banyak kelemahan yang boleh diperbaiki. Namun, satu fakta yang tidak dapat dinafikan adalah pelaksanaan pembangunan Islam di Malaysia telah bermula sejak 1957 dan berlangsung dengan pesatnya sehingga sekarang. 

Resipi kejayaan Malaysia bertahan sehingga hari ini sebagai sebuah negara Islam adalah disebabkan pendekatan dan kaedah yang diterapkan oleh kerajaan adalah sangat berhikmah.

Kerajaan menggunakan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) yang berteraskan prinsip hikmah, evolusi, ketamadunan, mementingkan pengisian dan holistik. 

Kesemua prinsip dalam wasatiyyah yang diterapkan kerajaan ini diperkemas lagi dengan paduan kaedah maqasid syariah yang mementingkan kesemua aspek pelaksanaan yang perlu mencapai lima objektif berikut iaitu menjaga agama, memelihara jiwa, akal, keturunan dan harta. 

Kesemua aspek ini pastinya perlu menjadi perhatian rakyat khususnya golongan muda hari ini untuk memberikan idea dan saranan kepada kerajaan bagi menjayakan kertas dasar TN50.

Pastinya juga aspek ini adalah teras yang sangat mendasar kepada Malaysia untuk menghadapi cabaran dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Penulis optimis bahawa, TN50 adalah platform yang sangat penting untuk Malaysia terus kekal aman dan makmur berteraskan kelangsungan Islam.

Kita perlu terus bersyukur dan berterima kasih kepada semua negarawan pengasas negara. Pada masa yang sama, kita perlu membimbing golongan muda hari ini agar agenda Islam di Malaysia terus subur dan maju.