TAHUN ini menyaksikan Umno menyambut ulang tahun yang ke-70. Kelazimannya setelah mengharungi pelbagai pengalaman pahit manis kehidupan, seseorang manusia akan dianggap cukup matang dalam usia sebegini.

Namun kadangkala manusia juga mampu tergelincir sekiranya terus alpa dan tidak belajar daripada pengalaman lampau. 

Begitu jugalah dengan realiti Umno sebagai sebuah organisasi politik yang sudah mencecah usia tujuh dekad ini.

Segala pengalaman lalu tidak kira suka mahupun duka perlu diambil iktibar oleh generasi penyambung wasilah perjuangan agar kesinambungan dan survival parti serta keutuhan umat sejagat mampu dipelihara sebaiknya. 

Hakikatnya, dalam suasana hari ini yang dijajah dengan taburan fitnah dan peperangan persepsi yang dahsyat, keupayaan warga parti untuk mendepani realiti semasa yang melatari pemikiran masyarakat amat penting bagi menjamin keutuhan Umno terus kekal relevan mengemudi perjuangan agama dan bangsa.

Sekelumit kealpaan akan menyebabkan parti gagal untuk menanggapi realiti dan mengolah strategi berkesan yang akan mengakibatkan organisasi menjadi usang dimamah waktu hingga kehadirannya tidak lagi dirasai, bahkan ketiadaannya pula disyukuri.

Tidak dapat dinafikan, gejala yang mengisyaratkan kepudaran idealisme perjuangan dalam kalangan para pendukung parti sendiri semakin berleluasa.

Malah, apa yang lebih merunsingkan penulis andainya semakin terhakis nilai perjuangan hinggakan nilai individualistik dan materialistik lebih menjalar dalam kalangan pendukung-pendukung Umno yang akhirnya mampu memusnahkan parti. 

Sebab itulah usaha pengukuhan pentarbiahan harus dilakukan bagi membentuk idealisme luhur dalam kalangan generasi pewaris Umno kini, supaya manusia-manusia berjiwa pejuang yang sanggup berkorban jiwa raga dan harta benda demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci tidak terus pupus.

Idealisme perjuangan yang dimaksudkan pastinya tidak boleh lari daripada matlamat asal perjuangan Umno iaitu memartabatkan agenda Melayu-Islam sebagai teras perjuangannya.

Secara sendirinya, agenda Melayu-Islam yang dimaksudkan ialah meletakkan agama Islam sebagai teras perjuangan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaysia. Inilah sebenarnya keunikan dan kedinamikan perjuangan kebangsaan di Malaysia yang tidak boleh terpisah daripada unsur-unsur penyepaduan antara elemen kaum dan agama.

Malah takrif Melayu itu sendiri menurut Perlembagaan negara ialah seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadiannya.

Sebarang usaha menanggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai kemelayuan itu sendiri. Melayu yang tidak menghayati Islam tidak mungkin berjaya muncul sebagai teras bangsa Malaysia.

Sejarah jelas membuktikan bahawa hubungan Melayu dengan Islam sebenarnya telah begitu sebati sejak kedatangan Islam pada abad ke-13M lagi. Semenjak itu Islamlah yang menjadi teras keperibadian Melayu, mendasari pemikiran Melayu dan seterusnya membentuk jati diri Melayu. Bahkan Islam adalah satu-satunya benteng ketahanan umat Melayu. 

Sepanjang sejarah perjuangan Melayu, Islam sentiasa menjadi sumber dinamika dan daya juang setiap pendukungnya.

Walaupun satu ketika penjajah berjaya merobek jiwa dan citra Melayu hingga tumbuh kelompok peribumi pengagum dan pengagungan Barat, namun tahun-tahun mutakhir ini menunjukkan Melayu semakin cenderung untuk kembali menyatu dengan Islam.

Sesungguhnya kita hanya mampu mencipta kegemilangan dan ketamadunan dengan kembali kepada akar budaya sendiri dan bukannya dengan cara mencedok dan menjiplak budaya asing.

Sebab itulah usaha mempersiapkan generasi pewaris yang kuat dan luhur harus dimulai dengan penjanaan pendukung parti yang terbangun atas dinamika ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental. 

Justeru, usaha pentarbiahan dalam membina generasi pewaris yang kuat merupakan jihad yang harus mendapat perhatian pucuk pimpinan Umno terutamanya dalam menghadapi pelbagai realiti cabaran kini. Apa yang harus dikhuatiri, kegagalan mempersiapkan generasi penerus perjuangan yang beridealisme Islam yang luhur hanya mengundang kecelakaan bukan sahaja kepada survival parti malah masa depan bangsa, agama dan negara.

Cukuplah isyarat ALLAH dalam firman-Nya mengenai keperluan membina generasi pewaris yang kuat menjadi pedoman buat kita semua: “Dan mereka seharusnya takut kepada ALLAH, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah.” (an-Nisa: 9).