PADA 3 Februari 2017 yang lalu, sekali lagi sejarah terukir apabila Presiden Umno Datuk Sri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hadir bersama pada majlis pelancaran kapal misi Flotila Rohingya di Pelabuhan Klang.

Majlis itu diadakan bagi mengucapkan selamat jalan kepada para sukarelawan Malaysia yang berlepas ke Myanmar bagi melaksanakan misi kemanusiaan umat Islam Rohingya.

Terdahulu pemimpin dua parti Melayu terbesar itu menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Qayyum, Bandar Armada Putra, Pulau Indah. Khutbah Jumaat telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan solat Jumaat diimamkan pula oleh Tuan Ibrahim.

Kehadiran kedua-dua pemimpin Umno dan Pas itu yang turut dihadiri oleh menteri Kabinet dan pemimpin kedua-dua parti, memberi makna dan simbolik besar kepada perpaduan ummah di Malaysia.

Kehadiran mereka membuktikan bahawa pemimpin kedua-dua parti mampu duduk bersama, berbincang dan bersetuju untuk bersama dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam di Malaysia dan sejagat.

Hakikatnya, perpaduan ummah adalah isu yang sentiasa relevan untuk dibicarakan tanpa mengira tempat dan waktu. Namun, perpaduan juga perlu dibicarakan dengan luhur, ikhlas dan jiwa besar.

Umno dan Pas perlu sentiasa meletakkan garis yang jelas tentang kebersamaan yang perlu ada antara mereka. Kedua-dua parti boleh berbeza pandangan dalam isu-isu yang melibatkan soal kepentingan politik masing-masing.

Tetapi mereka mereka perlu sentiasa duduk berbincang, bicara dari hati ke hati dan mencari kata sepakat bagi menguatkan survival dan kedaulatan Islam di Malaysia.

Biarpun berbeza pendapat dalam wadah parti yang berbeza, perbezaan itu sepatutnya hanya menjadi perbezaan dari segi pendekatan dalam perjuangan untuk mencapai cita-cita ummah.

Realiti politik demokrasi sememangnya tidak boleh mengelak berlaku pertarungan terbuka dalam proses pilihan raya. Tetapi perlu diingat bahawa kita perlu berpada dalam berpolitik dengan meletakkan garis sempadan jelas yang boleh diikuti.    

Hakikatnya juga perpaduan ummah mudah untuk dibicara, diforum dan digagaskan. Namun seperti lazimnya, teori yang dibentuk amat payah untuk dilaksanakan. Akibatnya kita akan sentiasa mengulangi dan mengucapkan isu dan hal yang sama tentang perpaduan ummah saban hari, bulan dan tahun.

Meskipun begitu, kembali kepada Islam adalah satu solusi yang jelas. Islam menganjurkan umatnya berta’awun atau bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada ketakwaan dan jangan bekerjasama dalam perkara yang mendapat dosa dan permusuhan.

Oleh yang demikian, ta’awun mestilah dilakukan dengan lapang dada, mendengar pandangan kedua, menerima kekurangan dan memanfaatkan kelebihan yang ada. Budaya politik baru yang matang dan segar perlu sentiasa digerakkan.

Budaya politik baru tidak boleh mempertahankan kebatilan biarpun kebatilan itu datangnya dari parti yang didukung dan disokong.

Dalam konteks ini, al-Quran dengan jelas menyatakan dalam ayat 53, Surah al-Mu’minun: “Kemudian mereka berpecah dalam urusan agamanya menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada mereka”.

Sikap merasakan diri dan kumpulan kita sentiasa terbaik perlu dibuang terlebih dahulu jika kita ingin menjayakan perpaduan ummah di Malaysia. Belajar menerima dan menghormati pandangan adalah teras dalam prinsip bermusyawarah. Jika kita berjaya menghayatinya, saya yakin bahawa hubungan dan kerjasama matang dapat terus dilaksanakan antara Umno dan Pas.

Biarlah episod sejarah panjang pertembungan klasik antara kedua parti yang telah berlalu tidak dijadikan penghalang kepada usaha perpaduan. Jadikan apa yang telah berlaku sebagai sempadan untuk kita membina masa depan yang lebih cemerlang untuk ummah dan negara.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri