TIBANYA awal Muharam setiap tahun mengujakan minda penulis untuk terus mengokestrakan perpaduan Islam dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang perlu sentiasa utuh dan kukuh.

Paling menarik juga, isu tentang perpaduan Islam adalah bersifat evergreen dan kekal relevan untuk terus diperkatakan lantaran kewujudan Malaysia pada hari ini adalah kerana kekuatan dan toleransi yang ditunjukkan oleh bangsa Melayu yang beragama Islam.

Sejarah membuktikan bahawa kemerdekaan yang dicapai pada 1957 adalah hasil toleransi dan sikap sedia menerima sahabat dari agama dan bangsa lain untuk sama-sama berkongsi tanah air yang sama.

Bahkan semangat toleransi itu dilebarkan lagi dengan pembentukan Malaysia pada September 1963. Toleransi ini bukan lagi satu ungkitan sejarah, tetapi menjadi satu contoh klasik betapa berpadu dan satu hatinya bangsa Melayu beragama Islam menerima kaum-kaum lain sebagai warganegara.

Keamanan dan kemakmuran negara yang dicapai selepas lebih 60 tahun merdeka tidak dapat dikekalkan dengan mudah sekiranya bangsa dan agama teras iaitu Melayu dan Islam tidak mendukungnya dengan baik.

Perpaduan Islam yang melibatkan kesatuan seluruh umat Islam di kesemua negeri di Malaysia adalah perpaduan dalaman yang menjadi nadi kepada keamanan Malaysia.

Ibn Khaldun membahasakan perpaduan bentuk ini dengan nama asabiyyah. Beliau mendefinisikan asabiyyah kepada dua, pertama asabiyyah yang positif dan kedua asabiyyah yang negatif.

Asabiyyah yang positif menjadikan bangsa dan agama induk dalam sesebuah negara itu berpadu dan bersatu hati dalam semua lapangan kehidupan bernegara. Mendukung setiap dasar yang menguntungkan negara, memperbaiki jika ada kelemahan dan mengelak dari meruntuhkan asas-asas kenegaraan.

Asabiyyah yang positif juga menghormati dan menunaikan hak-hak yang perlu dimiliki oleh bangsa dan agama lain serta tidak melakukan kezaliman ke atas mereka.

 Manakala asabiyyah yang negatif pula sentiasa melakukan kezaliman dan menindas hak kaum-kaum lain yang minoriti dalam sesebuah negara. Asabiyyah negatif akan sentiasa menjadikan kaum lain sebagai sasaran sikap tidak puas hati serta menafikan hak-hak mereka secara berterusan.

Keadaan ini menyebabkan berlakunya perasaan dendam yang membuak-buak serta sikap tidak puas hati yang mendalam dalam kalangan warganegara.

Dendam yang membuak itu kemudiannya hanya menunggu masa untuk meletus dan meledak, manakala perasaan tidak puas hati terus bersarang di jiwa. Syukur Alhamdulillah, keadaan dan suasana seperti ini tidak berlaku di Malaysia. Malah jika ada, suasananya dapat diatasi dengan kadar segera dan pulih seperti sediakala.

Ini menunjukkan bahawa asabiyyah yang positif sentiasa menjadi sandaran bagi bangsa Melayu beragama Islam dalam memutuskan sebarang dasar terhadap kaum dan agama lain.

Sikap seperti ini berlaku kerana bangsa Melayu yang beragama Islam sangat terkenal dengan sifatnya yang bertoleransi, setia kepada perjanjian dan persahabatan serta tidak mahu mengeruhkan keadaan hanya dengan perkara-perkara yang remeh dan mengelak dari berlakunya peristiwa yang boleh mencetuskan ketegangan.

Keistimewaan inilah yang menjadi rencah kekuatan Malaysia pada hari ini yang kekal aman dan makmur. Namun begitu, ini tidak bermakna bahawa bangsa Melayu Islam selamanya mudah untuk dipermainkan.

Kesabaran mereka pastinya punyai had jika dicabar. Terutama jika asas-asas kenegaraan dan keistimewaan yang dijamin dan dimiliki melalui Perlembagaan terus menerus dipersoal dan dicabar.

Namun rencah yang utama yang perlu diutamakan dalam menjayakan perpaduan Islam adalah sikap berlapang dada dalam kalangan umat Islam sendiri untuk meletakkan kepentingan agama Islam melampaui kepentingan puak dan kepartian.

Teorinya mudah, biar berpecah seribu sekalipun umat Islam atas dasar politik, tetapi kembalilah berpadu dan bersatu atas nama Islam dan agenda kepentingannya. Jika itu dapat dilakukan, pastinya Malaysia akan terus kekal aman dan makmur.