DI MALAYSIA, prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara menjadi prinsip kedua selepas Kepercayaan Kepada Tuhan. Susunan ini sangat signifikan dan bertepatan dengan Islam kerana selepas mempercayai keesaan ALLAH SWT, umat Islam dipupuk dan dituntut untuk setia kepada raja dan negara.

Dalam Islam, kesetiaan disebut sebagai wala’.  Wala' boleh didefinisikan sebagai kesetiaan sepanjang masa yang dipupuk dengan nilai kasih sayang. Dalam konteks kepemimpinan, wala’ adalah kesetiaan yang wajib diberikan kepada pemimpin yang sah.

Kerangka parameter wala’ turut merangkumi taat iaitu ketaatan kepada pemimpin dalam melaksanakan segala arahan dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang.  

Ini bermakna, wala’ adalah tentang kesetiaan kepada pemimpin. Lawan kepada wala’ ialah bara’ iaitu kebencian. Manakala taat pula berada dalam kerangka wala’ iaitu kepatuhan kepada arahan pemimpin yang diwala’kan. Dalam Surah al-Nisa’ ayat 39, ALLAH SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah ALLAH dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada ALLAH (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya".

Dalam ayat ini jelas bahawa meletakkan kepercayaan pemimpin selepas ALLAH dan Rasul itu adalah wajib selagi pemimpin itu tidak menyuruh melakukan maksiat, masih melaksanakan solat dan pemimpin yang kuat serta berkemampuan. Istilah ulil amri dalam ayat tersebut merujuk kepada pemimpin tertinggi yang mempunyai kuasa secara syarak dan bertanggungjawab memegang urusan pemerintahan hal ehwal umat Islam.

Dalam satu hadis sahih riwayat Muslim Huzaifah bin Yaman bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, dulu kami berada dalam keburukan, lalu ALLAH mendatangkan kepada kami kebaikan (berupa Islam), dan kami sekarang berada dalam keislaman. Apakah setelah semua kebaikan ini akan datang keburukan?

Nabi bersabda: Ya. Huzaifah bertanya lagi: Apakah setelah kebaikan itu akan datang keburukan? Nabi bersabda: Ya. Huzaifah bertanya: Bagaimana (keadaan itu boleh berlaku)?. Nabi bersabda, akan datang para pemimpin yang tidak berpegang pada petunjukku dan tidak berpegang pada sunnahku. Akan hidup di antara mereka orang-orang yang hati mereka adalah hati syaitan, namun berjasad manusia.

Husaifah bertanya: apa yang mesti aku perbuat wahai Rasulullah jika mendapati sedemikian? Nabi bersabda: tetaplah kamu mendengar dan taat kepada penguasa walau dipukul punggungmu dan diambil hartamu maka tetaplah kamu mendengar dan taat".

Hadis tersebut menjelaskan tentang parameter wala’ yang perlu ada dalam kalangan rakyat kepada pemimpinnya walaupun dalam keadaan dan senario tertentu para pemimpin terkeluar dari landasan agama.

Namun rakyat perlu wala’ dan taat kepada pemimpin serta pada masa yang sama berusaha memberi nasihat yang baik dan membina kepada pemimpin. Malah rakyat juga disarankan berlemah lembut dan berhikmah dalam menyampaikan teguran kepada pemimpin.

Bahkan ditegah dari menyampaikan kritikan dan teguran secara terbuka di khalayak ramai sehingga mengaibkan pimpinan.

Dalam konteks ini, kuasa dan amanah kepimpinan yang dipegang dilihat lebih besar lantaran maslahat kepada institusi kepimpinan itu dapat menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara. Malah menjatuhkan pemimpin hanya akan menjerumuskan negara ke kancah kacau bilau, anarki dan kerosakan.

Islam menetapkan parameter yang jelas tentang kepentingan wala’ dan taat dalam konteks bernegara agar pemimpin, rakyat dan negara dapat wujud dalam keadaan aman dan sejahtera.

Ini kerana sebuah negara yang majoritinya adalah Islam tidak boleh dipimpin oleh bukan Islam dan sebarang elemen yang mampu menggugat kestabilan kuasa, institusi dan politik umat Islam perlu diketepikan sama sekali.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri