PADA penghujung minggu ini Umno akan menghadapi pemilihan parti untuk tahun 2018. Pemilihan kali ini adalah yang pertama sejak kekalahan Umno sebagai parti teras BN dalam PRU14.

Ada yang menyifatkan pemilihan kali ini sebagai ‘ibu’ kepada segala pemilihan Umno. Tanggapan ini ada benarnya kerana Umno kini berdepan dengan situasi getir untuk memulihkan parti agar bangkit kembali mengibarkan obor perjuangan demi agama, bangsa dan negara.  

Hujung minggu yang lalu juga telah berlangsung pemilihan Umno peringkat sayap di seluruh negara. Keputusan menyaksikan para perwakilan mahukan perubahan berlaku dalam Umno khususnya di peringkat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda yang terpilih kali ini, penulis secara peribadi melihat amanah ini sebagai satu tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul. Apatah lagi amanah ini bukan satu keistimewaan yang boleh dibanggakan.

Penulis bersetuju jika keputusan keseluruhan pemilihan sayap-sayap Umno pada kali ini menggambarkan keinginan dan keterujaan ahli dan perwakilan supaya Umno berubah dan meniti jalur perubahan itu dengan pantas dan segera. Namun penulis juga berfikiran bahawa perubahan yang didambakan semua pihak kepada Umno ini perlu disertai dengan satu prasyarat utama iaitu pengislahan.

Dalam Surah al-Ra’d ayat 11, ALLAH SWT berfirman:  "Sesung-guhnya ALLAH tidak merubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."

Ini menunjukkan perubahan yang diinginkan tidak boleh berlaku secara spontan dan retorik semata-mata. Iltizam dan azam untuk berubah mesti disertakan dengan perancangan dan tindakan untuk memperbaiki apa yang diyakini salah dan perlu diperbaiki. Dalam konteks ini, pengislahan atau pembaikan adalah jawapan paling tepat kepada langkah perubahan yang diinginkan itu.

Dalam konteks Pergerakan Pemuda Umno, pengislahan sayap utama parti ini perlu melalui 5 prasyarat utama untuk memacu perubahan iaitu pengkaderan, pentarbiahan, pengukuhan rohani, pembudayaan ilmu dan pembinaan jati diri.

Kesemua 5 perkara ini adalah proses pembinaan semula generasi bagi memastikan Umno dibekalkan dengan pewaris kepimpinan masa hadapan yang berkualiti dan berketerampilan.

Pengkaderan boleh berlaku dengan kita membuka ruang seluasnya kepada anak muda menyertai Umno bagi melakukan perubahan. Keda-tangan mereka perlu disambut secara terbuka. Pelbagai latar belakang anak muda seperti daripada golongan profesional, agama, ilmuwan dan teknokrat perlu dibawa masuk ke dalam Umno dan dibimbing untuk menjadi pemimpin yang berkualiti.

Mereka tidak boleh dicantas dari mendapatkan tempat dalam parti bahkan diberi ruang secukupnya untuk bersaing secara sihat. Dengan cara ini parti akan sentiasa memiliki idea dan tenaga yang segar dan berkualiti.

Pentarbiahan pula adalah proses supaya ahli dididik menghayati nilai integriti, amanah dan rela berkorban tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran material. Kita tidak hanya boleh beretorik dalam hal ini malah perlu membuktikan yang kita dapat berkorban kepada perjuangan Umno dan sentiasa dapat dilihat berintegriti dan beramanah oleh rakyat.

Manakala pengukuhan rohani pula memerlukan Pemuda menghayati Islam yang sebenar dan bukan sekadar slogan laungan sahaja. Untuk menjadi lebih berketerampilan, Pemuda juga perlu membudayakan ilmu iaitu mempersiapkan diri dengan hujah dalam rangka untuk menjadi pembangkang yang konstruktif kepada kerajaan hari ini.

Pembinaan jati diri adalah pasak terakhir yang perlu dimiliki dan ditanam dalam jiwa kepemudaan Umno. Kita perlu mengenal akar sejarah perjuangan bangsa dengan jelas supaya kita dapat istiqamah dalam wadah perjuangan Umno sepanjang masa.  

Tugas ini bukan mudah, segalanya perlu disusun semula. Denyut nadi Pemuda di peringkat akar umbi perlu didengari, pasukan dan ‘sekolah pemikiran’ perlu disatukan semuanya agar selari dengan proses pengislahan yang diatur demi mencapai tahap perubahan yang diperlukan.  

Pemuda tidak boleh lagi dibelenggu oleh budaya lama. Kita perlu keluar dari zon keselesaan. Kebangkitan kita akan dinilai oleh rakyat. Slogan, retorik dan laungan tidak bererti sama sekali jika Pemuda tidak menetapkan azam kita semahunya untuk memacu perubahan ini. Bangkitlah Umno.