KEJAYAAN Himpunan Putih Solidariti Baitulmaqdis yang berlangsung Jumaat lalu di Masjid Putra, Putrajaya menggambarkan  komitmen, kebersamaan dan kesepakatan rakyat Malaysia dalam menyatakan bantahan dan penolakan terhadap usaha Amerika Syarikat (AS)  menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Himpunan yang disertai  Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta turut dihadiri oleh pemimpin parti politik pem-bangkang dan pertubuhan bukan kerajaan itu menggambarkan betapa teguh pendirian yang dinyatakan Malaysia bagi menolak dan mem-bantah sekeras-kerasnya usaha negara Uncle Sam itu yang dilihat seolah-olah sengaja mahu menjadi-kan konflik di rantau Asia Barat lebih parah.

Terdahulu pada Sidang Kemun-cak Luar Biasa Pertubuhan Kerja-sama Islam (OIC) di Istanbul, Turki pada 13 Disember 2017, dalam ucapannya Perdana Menteri mene-gaskan bahawa keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mahu memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sebagai bersifat unilateral  atau sebelah pihak.

Menurut Perdana Menteri “Status Baitulmaqdis tidak boleh diputuskan melalui pengiktirafan sebelah pihak dan mesti diselesaikan menerusi rundingan pelbagai hala antara Palestin dan Israel di bawah kerangka penyelesaian dua negara (two-state solution).  

Menurut Perdana Menteri lagi, “Langkah seumpama itu menjejaskan semua usaha ke arah mencari penyelesaian yang komprehensif, adil lagi berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel. Lebih-lebih lagi, masa depan penyelesaian dua negara itu tergantung dalam konteks ia mudah tergugat”.  

Bahkan pendirian Malaysia turut menetapkan bahawa percubaan mengiktiraf Baitulmaqdis dan mengubah sempadan sebelum 1967 adalah menafikan hak rakyat Palestin, hak mereka untuk menentukan masa hadapan dan mencabuli undang-undang antarabangsa.

Isu Palestin mula memuncak apabila pendatang Yahudi yang dibawa masuk atas perlindungan British berjaya menubuhkan negara haram Israel di atas bumi Palestin pada 1948 dan selepas perang 6 hari 1967, Israel meluaskan lagi sempadan taklukkannya menjadikan rakyat Palestin hanya memiliki kawasan kecil di Tebing Barat dan Gaza yang terpisah antara satu dengan yang lain.

Penyelesaian konflik ini tidak berkesudahan, berterusan dan memasuki abad ke-21 dengan pelbagai isu dan konflik tercetus, turut melibatkan negara lain di rantau berkenaan serta campur tangan berat sebelah AS yang sentiasa menyebelahi negara rejim Zionis itu.

Namun di sebalik sejarah pan-jang keperitan perjuangan rakyat Palestin, Malaysia sentiasa mendukung dan menyokong usaha damai dua pihak di samping sifat jelas Malaysia yang tidak menjalankan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Malah pendirian Malaysia adalah sangat jelas dan konsisten sejak isu konflik Palestin-Israel memuncak beberapa dekad yang lalu. Penyelesaian dua negara adalah penyelesaian terbaik bagi menjamin hak rakyat Palestin serta keamanan dan kestabilan di rantau Timur Tengah dan Asia Barat.  

Palestin adalah satu contoh klasik, betapa apabila perpaduan dan kesatuan umat Islam menjadi rapuh, maka musuh Islam mengambil kesempatan atas sikap perpecahan yang berlaku.

Sejarah membuktikan bagaimana wilayah Palestin yang dahulunya berada di bawah Kerajaan Uthmaniyyah diintai British lantaran mengetahui bahawa ada umat Islam yang tidak sebulu dengan pemerintahan Uthmaniyyah dan mahu menjatuhkan empayar tersebut dan ingin menjadikan diri mereka sebagai Khalifah baharu di dunia Islam.

Ironinya pertembungan dan perpecahan sesama umat Islam menyebabkan berlakunya kelemahan sehingga Kerajaan Uthmaniyyah yang begitu gah suatu ketika dahulu terlerai dan jatuh terburai. Pada saat itu, wilayah-wilayah yang dulunya di bawah Uthmaniyyah tidak lagi dapat dipertahankan. Maka berpestalah sekalian musuh Islam yang ada membahagikannya persis harta rampasan perang.

Akhirnya umat Islam seluruh dunia menyaksikan dengan penuh kesayuan tanah Palestin diterkam rejim Zionis manakala penyelesaiannya menjadi isu yang tidak pernah selesai.