SEPULUH hari terakhir Ramadan dikaitkan dengan malam al-Qadr yang menjadi zon masa beribadah paling unggul, istimewa dan eksklusif bagi umat Islam yang benar-benar memanfaatkannya. Hari ini sudah 26 Ramadan 1438 Hijrah dan kita akan memasuki malam ke-27 Ramadan. Peluangnya hanya berbaki beberapa hari saja lagi untuk kita mengejar ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH SWT.

Dalam Surah al-Qadr, ALLAH SWT berfirman: "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya al-Quran pada malam al-Qadr (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan ruh (Jibrail) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sehingga terbit fajar".

Malam-malam yang berkemungkinan menjadi malam al-Qadr ialah antara malam ke-21 hingga 30 Ramadan. Namun tarikh sebenar yang tepat tentang al-Qadr menjadi rahsia ALLAH SWT. Meskipun begitu malam al-Qadr ialah janji ALLAH SWT yang benar dan pasti kepada hamba-Nya.

Tiada  tip yang paling mujarab untuk bertemu dengan malam al-Qadr kecuali dengan mengimarahkan kesemua 10 malam terakhir Ramadan dengan ibadah solat, beriktikaf di Masjid, bersedekah, membaca al-Quran dan berdoa memohon keampunan daripada-Nya.

Bahkan, petua yang lebih berkesan dan paling mujarab untuk mendapatkan malam al-Qadr ialah mengimarahkan keseluruhan Ramadan bermula dari hari pertama sehingga malam hari terakhir Ramadan menjelang Aidilfitri.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: "Siapa yang bangun pada malam al-Qadr dengan keimanan dan pengharapan akan diampunkan untuknya dosanya yang terdahulu".

 Dalam riwayat yang lain, Aisyah RA berkata: "Nabi SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya dari tidur".

Kesemua bukti sahih dari hadis dan Sunnah Rasulullah SAW membuktikan malam al-Qadr merupakan satu tawaran, anugerah dan peluang daripada ALLAH SWT kepada hambanya supaya mengabdikan diri kepada-Nya. Meningkatkan kedekatan diri atau takwa kepada Pencipta dan yang paling penting mengangkat tangan menadah doa memohon keampunan atas segala dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Berdoalah dengan berkata: "Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah aku".

Malam yang hening, sunyi dan tenang adalah waktu paling tepat untuk menghadap kiblat dan memohon keampunan daripada-Nya serta memohon agar diberikan ketenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun, kesemua ini bukan mudah untuk dilakukan kerana tatkala pada malam-malam terakhir inilah ramai daripada umat Islam yang semakin penat, letih dan sibuk dengan persiapan untuk menyambut hari Aidilfitri.

Lantaran itu, tidak terkecuali kita menyaksikan masjid semakin lengang ketika solat tarawih, manakala pusat beli-belah dan bazar jualan hari raya semakin meriah.

Pastinya tiada sebarang kesalahan untuk turut sama sibuk menyiapkan kelengkapan Aidilfitri. Tetapi berpada dan bersederhanalah. Usai menyediakan kelengkapan dan membeli belah, ajak dan pujuklah ahli keluarga kita untuk bersama-sama mengimarah dan menghidupkan malam dengan ibadah. Ingatlah bahawa kita tidak seharusnya terus lalai dan leka dengan keseronokan yang sedikit.

Hiasilah malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah. Sesungguhnya kita tidak pasti adakah ini Ramadan terakhir yang kita akan temui. Jika benar tidak akan ada lagi Ramadan untuk kita pada tahun hadapan, alangkah sesal dan ruginya kita untuk pergi menghadap ALLAH SWT tanpa membawa hasil ganjaran daripada tawaran istimewa yang terbuka luas pada 10 malam terakhir dalam bulan mulia ini.

Moga ALLAH SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua.

*Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)