AKHIRNYA terlantik juga Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, walaupun rakyat berpolemik dengan pelbagai kegusaran yang tercetus lantaran pelbagai isu menyentuh reputasi dan kredibiliti dirinya hinggalah kepada falsafah dan pola pemikiran beliau yang difikirkan mengancam kedaulatan Islam di negara ini.

Daripada nada perutusan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XV (YDPA) sudah cukup menggambarkan betapa beratnya Tuanku untuk membuat keputusan tersebut.

 Sekali gus meletakkan baginda dalam dilema yang cukup besar di antara mempertahankan kedaulatan Islam yang merupakan tunjang kekuasaan Raja-Raja Melayu dengan keterpaksaan untuk akur pada keputusan majoriti rakyat yang telah memilih Kerajaan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Tuanku YDPA hakikatnya sudah melakukan yang terbaik untuk mencari jalan yang paling adil bagi mempertahankan kedaulatan Islam termasuk melibatkan semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dalam membincangkan isu pelantikan Peguam Negara.

Namun akhirnya dalam Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Pilihan Raya, DYMM YDPA tiada pilihan lain kecuali akur dengan kehendak rakyat.

Walaupun mungkin ada dalam kalangan kita yang kecewa dan mula gusar dengan kedudukan Islam pada masa depan, hakikatnya kita semua harus menyedari bahawa itulah pilihan rakyat dalam PRU lepas yang perlu dihormati.

Buat Tuan Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas, diucapkan selamat menjalankan tugas dan amanah baharu ini.

Namun biar apa pun pendirian dan kecenderungan saudara, ambillah isyarat istana dan rakyat agar tidak sesekali melangkaui segala garis panduan dan memperjudikan ketaatan kepada raja, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama negara, demi kestabilan dan kemakmuran berterusan.

Pada masa yang sama, pelantikan ini juga bermaksud Tuan wajib turut serta mempertahankan segala peruntukan Perlembagaan dan keistimewaan tersebut dengan tidak berbelah bahagi.  

Ketaatan kepada DYMM YDPA perlu diberi secara sepenuhnya tanpa ada keraguan.  Pelantikan ini membuktikan keterbukaan Tuanku dalam pemerintahan baginda untuk memberi hak yang sama kepada semua rakyatnya.

Ia secara langsung menangkis segala tuduhan tidak berasas bahawa DYMM YPDA adalah hanya raja untuk bangsa Melayu dan beragama Islam semata-mata, sebaliknya baginda adalah raja untuk semua.

Ketahuilah bahawa peluang yang diberikan DYMM YDPA adalah bukan dengan sia-sia. Sebaliknya ia adalah ujian dalam menguji ketaatan Tuan Peguam Negara khususnya dan Kerajaan Pakatan Harapan umumnya kepada sistem Raja Berperlembagaan.

Moga Tuanku DYMM YDPA akan terus istiqamah menitahkan apa sahaja yang difikirkan penting untuk memelihara Islam sebagaimana sumpah Tuanku dengan nama ALLAH untuk memelihara Agama Islam pada setiap masa.

Usah diendahkan suara-suara sumbang segelintir yang cuba meracuni pemikiran rakyat jelata seolah-olah Tuanku mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

Titah Tuanku bagi pelantikan ini dijunjung dengan penuh ketaatan dan kesetiaan.

Kami rakyat percaya tindakan dan keputusan Tuanku dengan meletakkan syarat utama kepada Tuan Peguam Negara adalah merupakan keputusan bijaksana.

Beliau tidak boleh sesekali melangkaui batasan ini dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Andai terjadi kami rakyat sentiasa bersama Tuanku untuk mempertahankan Agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera dan tanah air ku ini.  

Mudah-mudahan melalui peristiwa yang berlaku dapat membuka hati rakyat betapa besarnya kuasa di tangan mereka termasuklah untuk terus mendukung dan menumpahkan kesetiaan tanpa berbelah bahagi kepada institusi raja yang merupakan institusi yang begitu sinonim bagi kita mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini.