SABAN tahun, Hari Pahlawan disambut dengan penuh adat istiadat oleh kerajaan dan seluruh rakyat sebagai suatu penzahiran penghargaan dan tanda terima kasih kepada barisan anggota keselamatan di negara kita, sama ada yang telah gugur di medan juang mahupun yang masih utuh mempertahankan agama dan bangsa.

ALLAH menukilkan tentang para pahlawan ini dalam Surah At-Taubah ayat 111, “Sesungguhnya ALLAH telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga iaitu mereka yang berjuang pada jalan ALLAH, maka ada di antara mereka yang membunuh dan terbunuh sebagai janji yang benar daripada ALLAH dalam Taurat, Injil dan al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada ALLAH. Oleh itu, bergembiralah dengan jualan kamu jalankan jual belinya itu dan ketahuilah bahawa jual beli yang seperti ini suatu kemenangan yang besar.”

Begitu juga Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadis sahih Riwayat Muslim, “Sehari semalam bagi mereka yang mempertahankan sempadan negara daripada ancaman musuh adalah lebih baik daripada orang-orang yang berpuasa dan mendirikan qiamullail selama sebulan.

Kemudian jika dia terbunuh, maka akan berterusan pahala amal kebajikan yang dilakukannya itu dan dia akan diberikan rezeki di sisi Tuhannya dan selamat daripada fitnah kubur.”

Ini membuktikan bagaimana al-Quran dan hadis begitu menjunjung tinggi golongan yang kita sebutkan sebagai pahlawan ini. Sebagai masyarakat, sudah tentu ada perkara yang sewajarnya kita ambil iktibar dan pengajaran daripada ciri-ciri kepahlawanan yang ada pada anggota keselamatan kita, dalam kita sama-sama mempertahankan dan membina negara bangsa ini.

Seorang pahlawan amat sinonim dengan ciri yang paling penting dalam kita mempertahankan agama, bangsa dan negara iaitu apa yang diistilahkan sebagai wala’ atau ketaatan. Ia merupakan ciri yang paling utama dalam kita membina sesebuah tamadun bangsa.

Bahkan jika kita menoleh sejenak, bagaimana sejarah telah membuktikan aspek ketaatan menjadikan keagungan Islam itu dapat berkembang sehingga membina tamadun yang besar pada zaman lampau.

Hal ini dapat kita lihat dengan jelas dalam tindakan seorang pahlawan dan panglima perang yang gemilang seperti Khalid al-Walid. Apabila Umar al-Khatab dilantik menjadi khalifah, beliau menggantikan panglima perangnya daripada Khalid al-Walid kepada Abu Ubaidah ibn Al-Jarrah.

Tetapi Khalid al-Walid tidak sesekali melatah dengan pelucutan jawatan tersebut.  Walaupun hakikatnya sumbangan dan kepahlawanan beliau amat besar, sehinggakan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi mampu dikalahkan oleh tentera-tenteranya.

Beliau juga pernah diangkat sebagai panglima tersohor sejak zaman Nabi SAW dan diteruskan pada zaman khalifah Abu Bakar As-Sidiq. Pada zaman Abu Bakar Assidiq, Khalid menjadi panglima yang menyatukan seluruh jazirah Arab di bawah satu payung khilafah Islamiah.

Bahkan pernah suatu ketika umat Islam seolah-olah hilang pedoman dengan menganggap bahawa kemenangan yang diperoleh dalam peperangan demi peperangan adalah kerana kehebatan Khalid Al-Walid.  

Bahkan dalam hadis yang diriwayatkan Muslim, Nabi bersabda “Akan berlaku di satu ketika di mana pemimpin-pemimpin kamu yang terbaik adalah mereka yang kamu sayangi mereka dan mereka juga menyayangi kamu.

Kamu mendoakan mereka dan mereka juga mendoakan kamu. Manakala seburuk-buruk pemimpin-pemimpin kamu adalah mereka yang kamu benci kepada mereka dan mereka juga benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknati kamu.

Maka Baginda Rasulullah SAW ditanya "Wahai Rasulullah, apakah kami boleh memerangi mereka dengan pedang kami pada waktu itu?" Baginda menjawab "Tidak. Jangan. Selagi mana mereka masih mendirikan solat.

Dan jika kamu melihat apa yang kamu tidak sukai daripada pemimpin-pemimpin kamu, maka bencilah kepada amalan tersebut, namun jangan kamu mencabut ketaatan kamu daripada mereka.”

Tentu ada sebab mengapa Nabi tegas mahukan kita berpegang kepada prinsip wala’ sebagaimana yang dizahirkan oleh barisan pahlawan-pahlawan kita. Hakikatnya, inilah perkara yang menjadi asas kepada umat Islam sejak zaman berzaman.

Lihat sahaja, melalui sifat ketaatan yang tinggi, pahlawan terdahulu mampu membawa Islam bertapak di bumi Eropah selama 805 tahun, sehinggalah Islam jatuh pada tahun 1496.

Sejarawan Barat sekalipun menukilkan, kejatuhan tamadun Islam pada waktu itu kerana hilangnya ketaatan kepada kepimpinan. Masing-masing mencari kuasa dan kekayaan hinggakan sanggup memperjudikan negara bangsa sendiri.

Justeru, antara perkara penting yang kita perlu muhasabah kembali, adalah bagaimanakah tahap ketaatan kita kepada negara? Sejauh mana nilai patriotisme dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan kita? Sesungguhnya, inilah perkara asas akan menentukan jatuh bangunnya tamadun kegemilangan Islam pada zaman ini.