SEMALAM, penulis sekali lagi berkesempatan menziarahi dan bertanya khabar mangsa-mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sekitar Kelantan. Dalam perjalanan pulang, penulis terfikir sejenak. Mengapa ALLAH uji kita dengan kesulitan dan kesusahan? Ada yang diuji dengan kesakitan, kemiskinan, kegagalan, kecacatan, dan bahkan ada yang ditimpa musibah serta bencana yang amat dahsyat.

Inilah realiti yang harus kita harungi. Sesungguhnya ALLAH menguji hamba-Nya untuk melihat dalam kalangan kita siapa yang paling  baik amalannya. Sebagai-mana janji ALLAH SWT melalui firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud; “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan. Kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”

Lihatlah, betapa ALLAH SWT kasih dan sayangkan kita melalui ujian yang diberikan-Nya. Kebaikan ALLAH tidak akan hilang walaupun ketika Dia menguji kita dengan kepahitan. ALLAH yang Maha Memberi Kebaikan (al-Muhsin), Maha Pengasih (Ar-Rahman) lagi Maha Penyayang (Ar-Rahim) tetap akan memberikan berita gembira setelah kita bersabar dengan ujian-Nya.

Oleh sebab itu, ALLAH mahu kita sentiasa mencari hikmah dan pengajaran di sebalik ujian yang diberikan-Nya. Kerana sesung-guhnya tidak ada kebetulan dalam hidup ini, walaupun sebatang duri tercucuk pada kaki kita. Ingatlah, ALLAH sentiasa mempersiapkan diri kita untuk menghadapi sesuatu takdir yang lebih baik.

ALLAH tidak pernah menguji hamba-Nya untuk menghancur-kannya. Ketika Dia mengambil sesuatu daripada kita, tujuannya adalah untuk mengosongkan tangan kita supaya dapat menerima sesuatu yang lebih baik. Namun tentu saja ada syaratnya, iaitu kita harus sabar dan reda menerima ujian kehilangan tersebut. Sekiranya kita hadapi ujian itu dengan betul dan benar, pasti kita akan diberikan gantian yang lebih baik.

Hal ini pernah disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda; “Tidaklah seseorang Muslim ditimpa musibah, kemudian dia berdoa dengan apa yang ALLAH perintahkannya: ‘Sesungguhnya kami milik ALLAH, dan sesung-guhnya kepada-Nya kami akan kembali. Ya ALLAH! Berikanlah ganjaran pada musibahku dan gantikanlah untukku apa yang lebih baik dari itu.’ Melainkan ALLAH akan menggantikan untuknya apa yang lebih baik dari itu.” (Hadis sahih Riwayat Muslim). Maka, sentiasalah bermohon kepada ALLAH minta digantikan segala kehilangan dengan sesuatu yang lebih baik.

Sedarkah kita, terdapat dua perkara yang ALLAH jadikan dalam hidup ini untuk membolehkan diri kita lebih dekat dan rapat dengan ALLAH. Iaitu hajat dan musibah. Lihat sajalah, sekiranya kita jarang berdoa, apabila kita mempunyai sesuatu hajat, kita pasti akan berdoa kepada ALLAH. Begitu juga apabila ditimpa musibah, ia akan mem-buatkan kita lebih rapat dengan ALLAH melalui doa.

Namun, amat malang bagi orang yang mempunyai dua perkara ini, tetapi makin jauh dari ALLAH. Ada hajat tetapi cari bomoh. Ada ujian tetapi jauh daripada ALLAH. Ada pula yang marah kepada ALLAH apabila ditimpa ujian. Hakikatnya, apabila ditimpa ujian ALLAH mahu kita cari jalan keluar daripada ujian itu.

Dalam al-Quran, ALLAH berfirman dalam Surah at-Talaaq ayat 2; “Dan sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan).” Melalui ayat ini dengan jelas ALLAH mahu kita lawan ujian itu dan berusaha mencari jalan keluar darinya sehinggakan usaha untuk mencari penyelesaian itu juga diberikan pahala.

Justeru, jangan biarkan setiap ujian yang ALLAH berikan kepada kita untuk menjadikan diri kita runsing, sedih dan merungut. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Setiap manusia sudah tertulis takdir tersendiri. Tidak perlu untuk kita terlalu runsing dan risau.

Sesungguhnya, sifat orang yang beriman itu tidak takut dan tidak gentar. Mereka akan sentiasa berada dalam keadaan bahagia dan tenang. Sebagai khalifah, kita juga me--rupakan pengurus dan pentadbir muka bumi ini yang tidak boleh berputus asa. Berusahalah mengatasi apa jua ujian, cabaran dan dugaan dengan penuh kesabaran dan keredaan.  Usah tanyakan pada diri, “Mengapa aku diuji?” sebaliknya, katakan, “Akulah insan terpilih!”