TAHUN 2016 bakal menutup tirainya beberapa hari lagi. Ini menandakan fajar 1 Januari 2017 akan menyingsing dan memancarkan sinarnya untuk menerangi Malaysia bagi menghadapi bulan dan hari-hari mendatang. Jika disingkap pada diari politik 2016, menyerlahkan dua aspek utama yang menjengah ufuk pemikiran kita sepanjang tahun iaitu perpecahan dan perpaduan.

Dua aspek tersebut sangat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang masih muda tamadun dan peradabannya kerana hanya mencapai Merdeka pada tahun 1957. Pastinya perpecahan dan perpaduan perlu ditala dengan baik agar kestabilan politik dan kemakmuran negara dapat terus dikekalkan.

Bagi parti teras Barisan Nasional iaitu Umno, perpecahan dan perpaduan adalah aspek yang telah dilalui oleh parti Melayu itu sepanjang tahun 2016. Boleh dikatakan juga bahawa pergolakan dalaman parti pada tahun ini hanyalah manifestasi dan kesinambungan daripada rombakan Kabinet yang dilakukan Perdana Menteri pada akhir Julai 2015.

Penyingkiran bekas pemimpin-pemimpin utama Umno dan penubuhan parti serpihan PPBM pada 7 September 2016 menjadi bukti betapa berlakunya perselisihan dalam Umno. Namun dalam kerangka yang lebih besar, sejarah itu adalah bukti bahawa Umno berjaya mengharungi liku-liku pergolakan dalamannya. Tiada lagi musuh dan duri yang mampu menggoncang dan menikam parti dari dalam.

Pertarungan selepas ini adalah bersifat luaran dan demokratik antara dua parti dan bukan lagi masalah dalaman. Menghadapi musuh dalaman lebih menggusarkan berbanding perlawanan secara terangan yang lebih jelas.

Pengukuhan perpaduan dalaman parti menjadi aspek yang sangat mendasar ketika ini. Perpaduan perlu dipupuk jika parti ingin terus kuat. Institusi Presiden mesti dipertahankan atas nama wala’ atau sokongan sebagai kepemimpinan teras parti.

Dalam konteks ini, pentarbiahan kepada ahli perlu sentiasa ditekankan dan diteruskan supaya dapat difahami kenapa institusi Presiden sangat signifikan dalam proses kesinambungan perjuangan. Presiden bukan sekadar individu yang menyandangnya, tetapi lebih dari itu, Presiden ialah simbolik seorang nakhoda yang menentukan haluan dan punca kuasa bagaimana sebuah bahtera tu mampu belayar membelah samudera dan melawan arus serta gelombang yang membadai.

Memahami analogi tersebut, nakhoda perlu dibantu oleh jurumudi dan anak-anak kapal yang lain. Jurumudi perlu sentiasa setia dengan arahan nakhoda kapal. Ini kerana anak-anak kapal sentiasa memerhati kesefahaman antara nakhoda dan jurumudi dalam menterjemahkan setiap arahan.

Semua ini perlu terus berlaku jika kapal yang belayar mahu tiba di destinasinya dengan selamat dan dapat berlabuh dengan tenang. Namun sebaliknya jika nakhoda dan jurumudi tiada lagi kesefahaman kelak kapal akan terumbang-ambing. Anak-anak kapal akan resah manakala dikhuatiri gelombang, ribut serta taufan yang melanda akan membahayakan keseluruhan bahtera perjuangan. Lebih parah lagi jika bahtera berdepan risiko diserang lanun yang sedang menggila di tengah lautan.

Tahun 2016 juga merupakan titik baharu yang segar bagi hubungan dua parti Melayu utama di Malaysia iaitu Umno dan Pas. Peristiwa Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya yang berlangsung pada 4 Disember yang lalu menjadi bukti bahawa Umno dan Pas mampu melakar tinta perpaduan yang positif untuk umat dan negara. Meskipun berbeza pendirian politik, namun dapat difahami kedua-dua parti tersebut mahukan Islam terus menjadi agenda negara dan didaulatkan pada setiap masa.

Penyatuan kedua parti tidak menjadi isu, namun kesefahaman dan kebersamaannya dalam mengharungi badai dan gelombang sama bagi mendaulatkan Islam di Malaysia sudah cukup bererti bagi umat Islam di Malaysia. Atas nama kerjasama atau ta’awun, kedua-dua parti boleh duduk bersama berbincang mencari kata sepakat demi masa depan umat Islam.

Tiada gunanya terus bercakaran sehingga membawa kerugian kepada umat dan menambah derita perpecahan dalam masyarakat. Biarpun berbeza bahtera, namun matlamat untuk menuju destinasi yang sama perlu dilangsungkan dengan semangat kerjasama antara dua bahtera di lautan. Gelombang yang dihadapi mungkin sama dan lanun yang menyerang barangkali juga sama.

Imbalan ini adalah muhasabah dan pentarbiahan politik yang perlu difahami oleh umat Islam di Malaysia untuk menghadapi tahun 2017. Sentiasalah berfikir dengan matlamat yang jauh dan perancangan yang jelas kerana mendaulatkan agama, bangsa dan negara ialah suatu perjuangan berterusan yang sama sekali menuntut keazaman, keluhuran dan idealisme yang jitu. Moga ALLAH memberkati perjuangan kita pada tahun 2016 dan merahmati azam dan tekad kita untuk tahun 2017.