SEORANG Muslim mempunyai kebebasan untuk memilih tetapi dengan batasan dan sempadan yang tertentu.

Dalam perihal muamalat atau urusan harian, Islam menawarkan kebebasan yang luas di mana seseorang itu mempunyai hak untuk memilih jalan dan kaedah yang disukainya selama mana ia tidak terdapat halangan syariat.

Manakala dalam perkara ibadah, ia tertakluk sepenuhnya kepada nas dan dalil syariat serta tidak boleh dilakukan atas kehendak peribadi.

Skop pilihan yang akan kita lakukan adalah bergantung kepada autoriti yang dimiliki. Contohnya, Seorang ayah akan memilih untuk diri dan mereka yang di bawah jagaannya.

Seorang individu yang merdeka akan melakukan pilihan untuk diri sendiri dan secara lumrahnya manusia akan berinteraksi dengan yang lain dalam mencorak pemilihannya.

Hari ini, kita akan menempuh hari pilihan raya untuk menentukan siapakah yang bakal memimpin kita untuk tempoh lima tahun mendatang.

Pemilihan ini termasuk dalam kategori berimpak tinggi di mana kesannya adalah bukan setakat lima tahun sahaja tetapi ia turut melangkaui tempoh tersebut.

Dasar dan pelan induk negara bakal ditentukan oleh para pemimpin yang bakal dipilih pada hari ini, 09 Mei 2018.

Sebagai panduan bagi pemilihan tersebut, digarapkan beberapa ciri tentang pemimpin-pemimpin yang harus dipilih.

Di antaranya ialah berilmu sepertimana yang disebut oleh Al-Ghazali dalam kitab Al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Mulk, Imam Al-Mawardi dalam Al-Ahkam Al-Sultaniyyah dan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah.

Adil dan bertanggungjawab disebut oleh Imam Al-Mawardi dalam Al-Ahkam Al-Sultaniyyah dan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah.

Dan sihat tubuh badan, kuat lagi amanah disebut oleh Imam Al-Mawardi dalam Al-Ahkam Al-Sultaniyyah dan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah.

Ilmu adalah pembeza di antara benar dan salah. Dengannya sesuatu ummah itu akan dinaikkan darjat daripada tidak baik kepada lebih baik.

Kerana itu seorang pemimpin hendaklah berilmu dalam lapangan kepimpinan bagi membolehkan rakyat dipimpin ke arah kepimpinan sebenar.

Nabi Adam AS diberi kelebihan sebagai khalifah oleh ALLAH SWT lantaran kelebihan ilmu diberikan ALLAH SWT berbanding para malaikat sungguhpun mereka terkenal dengan ketaatan dan kesetiaan kepada Rabbul Jalil.

Kelebihan ilmu inilah menjadikan pemimpin tersebut sentiasa sedar tentang arah tuju kepimpinannya dari satu daerah kepada daerah lebih baik.

Ada pepatah Melayu berbunyi ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. Pepatah ini berkait rapat dengan ciri-ciri pemimpin perlu dilantik iaitu adil dan bertanggungjawab.

Adil menjadikan rakyat dipimpin sentiasa merasa kemanisan keadilan hingga menjadikan kita sebagai rakyat tidak ragu-ragu untuk memberikan ketaatan.

Wujudnya pemimpin kerana adanya kesetiaan, gugurnya kesetiaan maka berkuburlah kepimpinan. Lahirnya kesetiaan adalah kesinambungan kepada ketaatan dan kesetiaan. Munculnya ia adalah kerana adil dan tanggungjawab.  

Ciri-ciri seterusnya sebagaimana disarankan oleh Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun ialah sihat tubuh badan, kuat dan amanah.

Tolut dipilih ALLAH SWT sebagai pemimpin berikutan luasnya ilmu dan kuatnya tubuh badan.

Sungguhpun dakwaan mereka, merekalah lebih berhak ke atas kepimpinan tersebut berikutan ba-nyaknya harta yang dimiliki, namun ALLAH memperjelaskan bahawa syarat utama kepimpinan ialah berilmu dan kuat tubuh badan, bukan banyaknya harta, emas dan perak.

Amanah adalah tulang belakang kepada kepimpinan. Ia akan mencorakkan bagaimana ilmu dan kesihatan tubuh badan dipergunakan dalam memimpin.

Tanpa amanah, ilmu baik boleh dipesongkan dan kuat tubuh badan boleh menjadi penghalang kepada kebaikan. Tengok sahaja kepada kekuatan ketenteraan dan ketinggian ilmu mereka terdahulu mengakibatkan musnahnya Hiroshima dan Nagasaki yang mengakibatkan beberapa generasi menanggung kecacatan dan kesakitan.

Ini semua berpunca daripada hilangnya amanah dan mengakibatkan ilmu salah dipergunakan serta kekuatan salah dimanfaatkan.

Ciri-ciri ini iaitu berilmu, adil, bertanggungjawab, sihat tubuh badan, kuat dan amanah adalah ciri-ciri utama dalam memilih seorang pemimpin.

Ia adalah garis panduan kasar dalam memilih seorang pemimpin. Ia bukanlah penentu kerana sebaik-baik penentu ialah ALLAH SWT.

Mudah-mudahan ALLAH menunjukkan kita jalan yang benar dan diredaiNya, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Qasas ayat 22, “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.”

Akhirnya, setelah segala usaha untuk memilih telah dilakukan maka kita serahkan urusan ini kepada ALLAH SWT kerana Dialah yang Maha Mengetahui dan Maha Memilih.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)