FIQH Ta’ayush atau Fiqh Kewujudan Bersama adalah istilah dan cabang baharu dalam perbendaharaan ilmu fiqh. Fiqh ini khusus bagi menangani cabaran umat Islam yang hidup dalam konteks negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya.

Dalam ucapan penulis di Kota Kinabalu pada 16 Mei 2017 di hadapan 1,200 penggerak masyarakat daripada kalangan imam, guru agama dan jawatankuasa masjid sempena program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sabah, penulis mengesyorkan agar dibangunkan cabang penyelidikan baharu dalam perbendaharaan ilmu fiqh iaitu Fiqh Ta’ayush atau fiqh of coexistence atau fekah yang mengkaji hukum-hakam berkaitan kehidupan dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Hakikatnya banyak isu unik yang mungkin hanya relevan di negara berbilang agama seperti Malaysia yang memerlukan jawapan dan penelitian hukum lebih segar dan bersifat kontemporari relevan mengikut maslahat zaman dan keunikan tempat seperti Malaysia. Sebagai contoh, isu perkahwinan rentas agama, kehidupan berbilang agama dalam satu keluarga seperti yang banyak berlaku di Sabah Sarawak, amalan pengucapan selamat untuk hari perayaan keagamaan yang pelbagai, ziarah-menziarahi upacara keagamaan dan banyak lagi. Justeru, hal ini bukan sahaja memerlukan penelitian hukum tetapi juga dilihat dari sudut dimensi dakwah yang luas dan segar.

Sebahagian isu-isu ini mungkin akan dilihat agak sensitif jika dipandang dari kaca mata yang sempit atau faham hukum yang rigid tanpa mengambil kira aspek maqasid syariah (matlamat) dan qawaid (kaedah) hukum yang luas. Namun, dalam mendepani pelbagai realiti cabaran mendatang, memerlukan keberanian untuk para ilmuwan dan alim ulama berautoriti untuk mendalami dan menelitinya secara tuntas dan holistik bagi memberikan suatu pencerahan ilmu terhadap hala tuju negara yang bersifat rencam dan majmuk seperti Malaysia.

Negeri Sabah umpamanya, boleh dijadikan model kajian yang menarik kerana banyak dimensi unik yang dapat dipelajari dalam konteks kehidupan masyarakat di sana. Umpamanya dalam satu rumah panjang ada kepelbagaian agama dalam satu keluarga. Justeru, isu-isu seperti batasan toleransi sehinggalah perkara-perkara kecil yang melibatkan hukum-hakam seperti penggunaan perkakas yang bercampur antara unsur yang halal dan yang haram amat menarik untuk diterokai dan dikaji.

Malah keistimewaan dan keunikan yang ada di Malaysia juga perlu dipromosikan agar Islam mampu ditampilkan sebagai sebuah agama yang lebih harmonis dan terbuka. Ini menepati ciri-ciri Islam itu sendiri yang bersifat wasatiyyah (seimbang), mu’tadil (sederhana), salam (aman) dan ta’ayush (mengiktiraf kepelbagaian dalam kehidupan). Berbeza dengan tanggapan dangkal segelintir yang menampilkan Islam dalam wajah yang rigid, jumud, sempit, ekstrem dan tertutup.

Dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Istilah berkenal-kenalan atau lita’arafu dalam ayat tersebut adalah sangat mendasar kerana merujuk kepada elemen penyatuan semua manusia atas dasar kemanusiaan. Perbezaan akidah bukan satu alasan untuk manusia hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai dalam satu organisasi, sistem masyarakat dan kenegaraan.

Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat 6, Surah al-Kafirun yang bermaksud: “Untukmu agamamu dan untukku agamaku”. Ayat ini menjelaskan betapa hidayah keimanan adalah milik ALLAH. Dialah yang mengurniakan hidayah kepada orang-orang yang dikehendakinya. Namun, itu bukanlah satu alasan bagi Islam menolak toleransi, interaksi dan hubungan dengan penganut agama lain.

Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf nilai kemanusiaan, bahkan menghormati perbezaan agama dan budaya. Namun prinsip pengiktirafan dan penghormatan itu tidak bermakna Islam menganggap semua agama adalah sama di sisi Islam. Tetapi pengiktirafan dan penghormatan ini adalah bertujuan untuk hidup dengan aman dan harmoni serta penuh kerukunan dalam sebuah negara yang sama.