MEMBICARAKAN tentang politik, secara mudahnya akan terbayang di benak pemikiran kita tentang parti-parti politik, wajah ahli-ahli politik, kerajaan yang memerintah, barisan pembangkang dan segala macam isu dan kontroversi yang timbul disebabkan oleh ‘masalah’ politik.

Namun sebenarnya, istilah ‘politik’ itu sendiri adalah tentang kepentingan untuk mendapat kuasa bagi membuat keputusan untuk kebaikan individu, masyarakat, institusi dan negara.

Bahasa Arab pula merujuk politik dengan istilah ‘siyasah’. Manakala dalam tradisi Islam, politik ditafsirkan sebagai ‘menjaga kepentingan agama’ dan ‘mentadbir dunia dengan panduan agama’.

Ini bermakna, politik itu mempunyai pengertian yang sangat objektif dan positif. Tetapi pelbagai isu dan kontroversi yang timbul menyebabkan maksud politik itu sendiri disempitkan hanya kepada persoalan berlegar tentang politik kepartian dan pertarungan antara parti yang terlibat.

Bahkan konsep politik itu perlu difahami semula dengan maknanya sebagai menjaga kepentingan agama dan mentadbir dunia dengan prinsip agama. Jika konsep ini dipegang, penulis percaya bahawa segala titik perbezaan dan pertelingkahan dalam kalangan parti dan ahli politik dapat dikurangkan.

Pada suatu ketika dahulu, kita pernah mendengar ada penyokong parti politik yang memutuskan hubungan kekeluargaan, meng-kafirkan saudara seislam dan melabelkan dengan pelbagai gelaran yang negatif hanya kerana tindakan mereka yang tidak menyokong dan tidak sealiran dengan fahaman parti yang didukung.

Perkembangan ini pastinya menjadi titik hitam dalam sejarah perpaduan umat Islam Malaysia. Oleh yang demikian, kefahaman dan amalan berpolitik demikian tidak boleh lagi diamalkan di Malaysia. Malah, perlu dibina satu kerangka pemikiran politik yang lebih segar dan matang berasaskan ukhuwah Islam.

Berbeza pendapat tidak salah, menyokong mana-mana parti politik juga tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi yang menjadi kesalahan adalah menjarakkan hubungan kekeluargaan dan hubungan ukhuwah Islam hanya disebabkan faktor berlainan fahaman politik.

Pemikiran politik ukhuwah adalah tentang kepentingan meletakkan Islam sebagai aga-ma dan panduan mengatasi kepentingan politik kepartian. Pemikiran seperti ini perlu sentiasa melihat Islam dan politik dalam konteks yang luas dan holistik. Luas dan holistik bermaksud meletakkan kepentingan survival Islam di Malaysia mengatasi segala-galanya.

Berbekalkan prinsip menjaga kepentingan agama dan mentadbir dunia dengan agama, memelihara dan mendukung Islam itu telah menjadi tanggungjawab bersama. Apatah lagi Islam di Malaysia telah termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan. Menjadi tanggungjawab yang mulia untuk semua parti politik khususnya yang dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam menegak, mengembang dan mempertahankan asas-asas Perlembagaan tersebut.

Kerjasama atau taawun adalah jawapan yang terbaik kepada umat Islam yang mendukung budaya politik ukhuwah antara parti-parti politik mereka.

Umat Islam tidak boleh selamanya membiarkan perpaduan Islam terus rapuh. Biarkan perbezaan terus kekal menjadi batu sempadan antara mereka, tetapi perbanyakanlah titik-titik persamaan yang boleh merapatkan jalinan kerjasama demi untuk kepentingan Islam keseluruhannya.

Dari sudut yang lain juga, perbezaan kepartian yang wujud perlu dilihat dalam konteks yang positif terutama dalam memberikan nasihat, peringatan, tegur-menegur secara berhikmah dan bukan untuk mencapai kepentingan politik yang sempit.

Budaya ini sebenarnya memberikan kekuatan kepada umat Islam itu sendiri kerana memperbaiki yang rosak adalah suatu yang sangat dituntut.

Perlu diingat, kejatuhan empayar-empayar Islam masa lalu adalah disebabkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri. Meskipun pada waktu itu, belum ada politik kepartian, tetapi budaya politik kebencian adalah satu sebab kenapa mereka dihukum dengan kehilangan kuasa memerintah di tangan musuh-musuh Islam yang sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk melemah dan menghancurkan Islam.

Moga-moga rahmat dan hidayah ALLAH sentiasa bersama kita.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • USAHA berterusan dalam memastikan komitmen kerajaan yang termaktub dalam Perlembagaan tetap diteruskan sejak kita merdeka lagi.
  • PEMBENTANGAN Bajet 2018 baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri bo-leh dilihat sebagai memenuhi kehendak Islam yang inklusif lantaran perancangan dan anggaran perbelanjaan negara untuk tahun hadapan itu dirangka berasaskan acuan maqasid syariah.
  • PEMBENTANGAN Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Jumaat lalu memperlihatkan olahan baharu dimensi keislaman dalam pengurusan ekonomi negara.
  • HARI ini, tahap kemampuan manusia untuk memproses maklumat dalam berkomunikasi sudah mencapai tahap yang mungkin pernah dianggap mustahil pada zaman dahulu. Situasi sedemikian telah menjadikan teknologi satu sumber ‘keajaiban’ yang mampu menghasilkan pelbagai idea rekaan bagi tamadun manusia.
  • SIKAP berlebihan dalam berpolitik sehingga mengganggu gugat asas dan kerangka kenegaraan adalah tindakan yang tidak boleh dibiarkan sama sekali.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.