BAHANG pembentangan Bajet 2017 Belanjawan Negara masih terasa kehangatannya. Terjawab sudah pelbagai teka-teki dan cakap-cakap serta ramalan dalam kalangan ahli politik, pakar dan penganalisis ekonomi, hatta rakyat jelata baik miskin, kaya, penganggur mahupun golongan berkerjaya.

Walau apa pun, alhamdulillah kita berada di bumi Malaysia yang sentiasa subur dengan perkembangan dan pembangunan syiar Islam yang menyeluruh. Saban tahun kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit bagi memastikan kelangsungan pelbagai bentuk agenda Islam dapat dilaksanakan, sama ada dalam konteks pendidikan di semua peringkat baik pendidikan rendah, menengah mahupun universiti.

Sebab itulah peruntukan yang besar disalurkan kerajaan untuk pembangunan generasi muda pada hari ini melalui kementerian-kementerian berkaitan, semata-mata untuk menjamin pembangunan generasi akan datang dapat memenuhi neraca dan piawai al-Quran iaitu generasi yang disebut sebagai generasi ulul albab.

Hal ini dibuktikan apabila kita sebenarnya mempunyai hampir 58,000 guru-guru pendidikan Islam, 400 buah sekolah-sekolah agama di bawah Kementerian Pendidikan, termasuk 220 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Kita juga mempunyai pelbagai institusi pendidikan dari peringkat rendah, menengah hinggalah peringkat universiti termasuk Usim, UIAM, UIM, Darul Quran dan banyak lagi.

Bahkan, ini tidak termasuk fakulti-fakulti pengajian Islam yang diperuntukkan tidak kurang dari dua bilion ringgit setiap tahun bagi memastikan kita mampu melahirkan generasi yang benar-benar dapat mencorakkan dan menentukan hala tuju negara berasaskan panduan syariat.

Melalui Agensi-agensi berkaitan hal ehwal Islam pula, termasuk Jakim, JKSM, Jawhar, TV Al-Hijrah, Tabung Haji dan Ikim diperuntukkan sejumlah besar bajet yang semuanya merupakan sebahagian daripada natijah dan komitmen iltizam berterusan kerajaan untuk memastikan syiar dan syariat Islam di negara ini terus dimartabatkan.

Mungkin ada suara-suara sinis yang mempersoalkan tentang perbelanjaan yang begitu besar untuk pembangunan Islam semata-mata. Bagaimanapun, harus diingat, apa yang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada tuntutan memartabatkan agama Islam sebagaimana yang terpateri padu dan kukuh dalam Perlembagaan kita, Perkara 3 diperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, Al-Islam Ad-Deen ad-Daulah (Islam adalah agama bagi negara ini), dan agama-agama lain bebas untuk diamalkan.

Ini merupakan lesen besar kepada kerajaan sebagai pemerintah untuk memperuntukkan dalam bajet negara setiap tahun bagi meninggikan dan mengembangkan syiar serta syariat Islam.

Umpamanya, tahun ini sahaja, Perdana Menteri umum peruntukan tambahan kepada sekolah-sekolah pondok RM50 juta, sekolah-sekolah agama rakyat RM50 juta dan RM30 juta untuk pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara, elaun imam-imam dan guru-guru Kafa juga turut dinaikkan bagi menentukan hala tuju generasi akan datang dapat dijayakan.

Ini bermakna, kerajaan serius melahirkan generasi yang bukan sekadar memiliki semangat, tetapi generasi yang sebagaimana telah dipertontonkan pada saat-saat kegemilangan Islam dalam tamadun-tamadun besar yang telah terbina sebelum ini seperti Tamadun Andalusia yang berjaya menguasai bumi Eropah selama hampir 800 tahun.

Generasi yang mampu mewarisi nama-nama besar seperti Ibn Sina dan al-Kindi, Al-Khawarizmi. Mereka ini pakar dalam pelbagai disiplin ilmu keduniaan seperti sains, kimia dan astronomi, tetapi hati mereka terikat kepada ALLAH.

Namun, tanggungjawab memartabatkan Islam ini bukan hanya terletak di atas bahu pemerintah. Ia merupakan tanggungjawab kita semua. Setiap daripada kita akan berhadapan dengan ALLAH untuk ditanya apa yang kita lakukan untuk agama kita.

Sebab itulah ALLAH menelah kita dalam Surah al-Ankabut ayat 2 dan 3 yang bermaksud “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui ALLAH tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.”

Ia untuk menguji sama ada hambaNya benar-benar beriman atau pendusta. Wal ‘iya zubillah. Inilah antara asas penting yang perlu diperhatikan jika kita mahu lihat tertegaknya Islam di atas muka bumi ini.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri