KITA memasuki tahun Masihi 2018 dengan penuh debaran dan pengharapan. Jika disoroti perkembangan tahun 2017, beberapa isu penting terus menghambat umat Islam di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

Pastinya tahun 2018 akan terus menyaksikan isu keganasan antarabangsa, Rohingya dan konflik Israel-Palestin menjadi agenda dunia Islam manakala isu perpaduan Melayu-Islam pula akan melakari kanvas masa depan ummah di Malaysia, khususnya dalam konteks PRU14.

Di peringkat antarabangsa dan dunia Islam, isu keganasan IS, konflik kemanusiaan Rohingya dan konflik di Palestin menjadi tumpuan dalam melakari kanvas geopolitik 2018. Persoalannya adakah ketiga-tiga isu tersebut akan terus dominan pada tahun 2018?

Ada yang menjangkakan isu keganasan IS telah pun lenyap, selari dengan tercetusnya konflik baharu di Asia Barat dan Timur Tengah ekoran pengisytiharan Trump untuk mengubah ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Sukar untuk difahami bagaimana IS boleh berakhir begitu sahaja umpama kewujudannya persis satu ‘grand design’ untuk menghuru-harakan dunia Islam pasca Arab Spring dan kemunculan agenda baharu Trump di Palestin umpama melenyapkan satu unggun api yang sedang marak dan memetik suis bom jangka yang baharu.

Manakala isu kemanusiaan Rohingya pula menagih penyelesaian bersifat kemanusiaan dan peranan lebih aktif perlu dimainkan negara-negara anggota Asean bagi memastikan krisis ini dapat diselesaikan dan tidak menjadi beban berpanjangan kepada rantau Asia Tenggara.

Namun apa yang lebih penting, umat Islam perlu bergerak ke hadapan dan merencana bentuk perpaduan lebih erat dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Rantau Asia Barat dan Timur Tengah perlu dipastikan stabil dan kondusif bagi memastikan ekonomi dapat tumbuh dengan pesat. Sebarang pergolakan dan konflik yang tidak menguntungkan dunia Islam perlu dielakkan.

Dalam konteks ini, dunia Islam perlu bersatu sepenuhnya dan mengelakkan dari mewujudkan blok antara negara yang berbeza selain dari pertubuhan Liga Arab, OIC dan platform kerjasama sedia ada.

Kerjasama erat antara semua negara Islam dapat melenyapkan harapan ‘musuh-musuh’ yang ingin mewujudkan rantau yang berterusan bergolak dan tidak stabil.

Pastinya Malaysia akan terus memainkan peranan penting sebagai negara Islam yang dihormati dari rantau Asia Tenggara dan Nusantara yang punyai ciri penampilan dan watak kepimpinan serantau yang tersendiri.

Kerjasama erat dengan semua negara penting di rantau Asia Barat dan Timur Tengah membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang neutral dan tidak mewakili mana-mana pihak tetapi mengekalkan tahap diplomasi yang optimum dengan semua negara Islam.

Kanvas geopolitik ummah pada 2018 perlu dilakari dengan mewujudkan blok rangkaian negara-negara Islam yang kuat atas asas pemusatan objektif ummah yang jelas dan bukannya untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

Untuk menjamin kejayaan ini, peranan tidak hanya perlu dimainkan pada peringkat ketua-ketua negara Islam dan para diplomat sahaja, tetapi turut merangkumi peranan para sarjana, ulama, tokoh pendidikan, ekonomi dan media serta pelbagai bidang lain dari dunia Islam untuk mewujudkan rangkaian blok kesatuan ummah yang kuat dan mempunyai visi dan misi yang jelas bagi memastikan rantau dunia Islam aman dan stabil.

Nuansa Pan-Islamisme yang digagaskan Afghani, Rida dan Abduh suatu ketika dahulu mungkin boleh difikirkan kembali dalam bentuk yang lebih baharu dan segar demi kemakmuran dan keamanan dunia Islam yang tidak boleh lagi dirobek oleh ‘musuh-musuh’ yang sentiasa ingin mengambil kesempatan.

Moga ada sinar untuk dunia Islam pada tahun 2018.