KEDATANGAN Islam di rantau Nusantara atau Alam Melayu dikaitkan dengan pelbagai teori oleh para sejarawan. Dapatan terkini sejarawan juga menunjukkan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka bermula pada 1262.

Berdasarkan tahun tersebut berkemungkinan Islam tersebar di Melaka sezaman dengan kerajaan Perlak pada abad ke-13 Masihi.

Menariknya, Islam bermula di Melaka melalui perkahwinan Raja Melaka dengan Puteri Perlak. Perkahwinan ini membolehkan Raja Melaka memeluk Islam dan kemudiannya diikuti dengan proses pengislaman seluruh rakyat jelata.

Konsep ‘rakyat mengikut agama yang dianuti raja mereka’ menjadi satu kaedah klasik dalam menjelaskan tentang pengislaman penduduk di rantau Nusantara.

Kaedah pengislaman juga berlaku melalui cara dakwah dan perniagaan. Para pedagang Arab yang singgah berdagang di pelabuhan Melaka juga memainkan peranan besar dan telah mengembangkan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat.

Kaedah pengislaman bentuk ini di Nusantara menjadikan penyebaran Islam di Nusantara berlaku dalam bentuk yang sangat berevolusi. Boleh dikatakan kaedah perdagangan dan perkahwinan adalah cara terbaik untuk penduduk di Nusantara menerima ajaran Islam berasaskan akidah ahli Sunnah Wa al-Jamaah dan fiqah bermazhab Syafie.

Justeru, jalan kekerasan dan peperangan tidak menjadi pilihan utama dalam penyebaran Islam di Nusantara. Bahkan, proses evolusi yang bertahap dan berkesinambungan menjadi satu teras dalam perkembangan Islam di Nusantara.

Islam di Nusantara tidak berlangsung dalam bentuk kekerasan, paksaan ataupun melibatkan konflik antara mazhab dan aliran. Proses perkembangan evolusi ini menjadikan Islam di Nusantara berkembang dengan sangat berbeza daripada Islam yang berkembang di rantau Timur Tengah dan Asia Barat yang penuh dengan konflik, sengketa dan pertumpahan darah.

Namun, rantau Nusantara juga tidak terlepas dari mengalami belenggu penjajahan. Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 disebabkan penjajahan Por-tugis. Selepas itu, Belanda menguasai tanah Jawa dan kemudiannya berlaku pula penjajahan Jepun dan juga Inggeris. Tetapi kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka juga membolehkan munculnya kerajaan-kerajaan lain di Nusantara seperti Acheh dan juga Pattani.   

Selepas kejatuhan Melaka, Islam berkembang dengan lebih pesat lagi. Para ulama menjadi teras kepada pengembangan Islam. Tatkala itu juga penduduk Nusantara bermusafir ke Timur Tengah untuk mendalami ilmu Islam di Makkah dan apabila pulang mereka mengasaskan pondok dan pasantren di segenap ceruk rantau Nusantara.

Lebih dari itu, para ulama menyumbang ilmu dengan menghasilkan penulisan ilmiah dalam bahasa Arab dan Melayu berhuruf Jawi dalam pelbagai bidang ilmu Islam dan ilmu keduniaan.

Ironinya kesemua kerajaan yang muncul di Nusantara menaungi perkembangan ilmu dan mempertahankan kaedah serta manhaj Islam yang hampir sama iaitu berasaskan akidah Ahli Sunnah Wa al-Jamaah dan mazhab fiqah Syafie.

Malah kefahaman tentang konsep politik juga berkisar tentang ketaatan yang berkesinambungan bermula daripada taat kepada ALLAH kemudian Rasul dan seterusnya kepada Ulil Amri.

Persekitaran semula jadi dan perkembangan Islam yang sedemikian sifatnya di Nusantara menjadikan rantau ini sangat stabil, berfikrah toleransi dan sederhana biarpun Nusantara turut mengalami proses penjajahan oleh kuasa Eropah.

Penentangan dan jihad melawan kuasa Eropah turut berlaku, tetapi tetap tidak merubah manhaj dan fikrah umat Islam di Nusantara. Mereka masih menyantuni asas dan tradisi yang dilakar sejak dahulu.

Namun kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah di Istanbul kemudiannya merupakan titik hitam sejarah umat Islam yang merubah landskap dan persekitaran politik di dunia Islam secara keseluruhan. Perubahan itu tidak hanya menyebabkan berlakunya pergolakan di rantau Timur Tengah dan Asia Barat, tetapi turut merebak ke rantau Nusantara.

Bersambung minggu hadapan

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)