MESKIPUN seketika dan tidaklah sebesar mana, penulis tetap bersyukur dapat bersama-sama dalam misi bantuan mangsa banjir baru-baru ini. Melihat dan merasai sendiri saat kepayahan dan keperitan mereka merupakan satu pengalaman berharga yang tidak dapat dibeli di mana-mana.

Tetapi, tentunya menjadi satu daripada situasi sukar dalam hidup ini, apabila melihat saudara kita dalam keadaan memerlukan, namun bantuan kita tetap menghampakan mereka.

Tidak kurang juga ada yang cuba menjadi ahli nujum dengan menuduh orang yang menunjukkan kebaikan itu sebagai riak dan menunjuk-nunjuk. Namun, bukanlah hajat penulis untuk turut berpolemik dengan pelbagai pertikaian dan andaian yang kadang-kadang tidak membawa apa-apa makna.

Apa yang jelas, pihak kerajaan dan swasta mahupun NGO berusaha sedaya mungkin untuk menyalurkan bantuan semampunya. Usahlah dipertikai tentang jumlah bantuan dan sumbangan yang diberikan atau bagaimana cara ia dibuktikan.

Sememangnya, dalam zaman yang penuh dengan fitnah dan syak wasangka ini, sudah menjadi satu keperluan untuk kita membuktikan kebaikan yang dilakukan. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi ada sesetengah kebaikan yang amat digalakkan untuk dilakukan secara terang-terangan, terutamanya bagi golongan pemimpin, supaya dapat dijadikan contoh tauladan dan ikutan yang baik kepada orang lain.

Jika diteliti, Rasulullah SAW sendiri merupakan tauladan terbaik bagi umat dalam segala sudut, sama ada dari segi budi pekerti dan perbuatan. Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud; “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan ALLAH dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati ALLAH.”

Sedarkah kita bahawasanya metod yang paling menonjol digunakan oleh Baginda dalam menyeru umatnya untuk melakukan kebaikan adalah dengan menggabungkan antara perbuatan dan amalan yang dapat dilihat secara zahir. 

Maka, tidak syak lagi bahawa memberi tunjuk ajar dengan amal perbuatan dan dapat dilihat dengan jelas secara praktikal adalah lebih berkesan. Ia merupakan cara terbaik dan mudah untuk difahami serta lebih mendorong untuk diikuti berbanding pengajaran berbentuk teori dan penerangan semata-mata.

Realitinya, untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada orang lain, terutamanya sebagai pemimpin, tidak dapat tidak kebaikan yang dilakukan perlu ditonjol dengan sebaiknya mengikut lunas-lunas yang ditetapkan syarak.

Malah bukan itu sahaja, ia menjadi tuntutan apabila kebaikan yang disembunyikan berupaya menjadi fitnah kepada pemimpin tersebut. Kadangkala, hingga boleh mendatangkan kemudaratan pula apabila kebaikan itu tidak diuar-uarkan.

Pernah suatu ketika di mana Rasulullah SAW melakukan ibadah solat berjemaah bersama para sahabat secara terang-terangan diperhatikan oleh pihak musuh. Pada ketika itu, Khalid al-Walid yang terkenal dengan keberanian dan keperwiraannya belum lagi memeluk Islam.

Sedangkan Rasulullah SAW sebenarnya sudah lama mahu beliau memeluk Islam. Tetapi bagaimana? Kerana Khalid sentiasa mengambil bahagian dalam peperangan menentang Islam bahkan tidak pernah melepaskan peluang untuk menentang Rasulullah SAW atau menyerang hendap Baginda.

Dalam perjalanan Rasulullah SAW bersama para sahabat untuk mengerjakan umrah, Khalid bersama pahlawan-pahlawan Musyrikin yang lain bersiap sedia untuk menyerang hendap Rasulullah dan rombongan.

Namun, Rasulullah yang menyedari niat mereka itu telah mendirikan solat Asar berjemaah sebagai solat ketakutan iaitu Baginda membahagikan para sahabat kepada dua kumpulan. Satu kumpulan solat bersama Baginda, manakala satu kumpulan lagi berkawal.

Keadaan ini benar-benar menjejaskan rancangan Khalid dan rakan-rakannya kerana mereka mendapati sukar dan mustahil untuk menyerang Baginda. Situasi ini kemudiannya membolehkan Rasulullah dan para sahabat selamat meneruskan perjalanan ke Makkah dengan mengambil jalan lain untuk mengelakkan diri daripada Khalid dan rakan-rakannya.

Justeru, hal demikian benar-benar membuktikan bahawa dalam Islam tidak menjadi kesalahan untuk menzahirkan amal kebaikan kita jika ia mampu menjaga kemaslahatan yang lebih besar.  

Sesungguhnya, seorang mukmin adalah manusia yang memiliki sifat-sifat unggul. Sifat-sifat itu membuatkannya lebih istimewa dibandingkan dengan manusia lain. Sehingga di mana pun dia berada,  pergi, apa yang dia lakukan, akan selalu membawa manfaat dan maslahat kepada manusia lain.

Maka jadilah kita orang yang seperti dijelaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihinggapinya itu).” (HR. Ahmad dan Al-Hakim)

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri