PENGORBANAN adalah kata terbitan daripada kalimah korban yang antara lainnya bermaksud amalan menghampirkan diri kepada ALLAH dan pemberian (kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu) sebagai tanda kebaktian.

Manakala, pengorbanan pula diertikan sebagai menanggung penderitaan untuk keselamatan (kebahagiaan, kepentingan) orang dan lain-lain, menyerahkan sesuatu tanda bakti. (Dewan Bahasa Dan Pustaka).

Berdasarkan takrifan di atas dapatlah kita fahami bahawa pengorbanan adalah satu amalan mulia. Ia menghampirkan diri kita kepada ALLAH SWT dengan menjadikan diri kita sebagai penyebab kepada kebahagiaan, kesenangan dan kebaikan orang lain. Ia merupakan kelestarian sebuah cinta sebenar buat ALLAH SWT dan juga sesama makhluk.

Konsep ibadah dalam pengorbanan adalah berbentuk tiga segi di mana ia menghubung makhluk sesama makhluk dan makhluk dengan Penciptanya, ALLAH SWT.

Contohnya, seorang guru berkorban masa dan tenaga di dalam memandaikan kita demi menyelesaikan amanah ilmu. Pengorbanan ini membolehkan kita turut berilmu dan berkemampuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan kaedah betul dan tepat.

Guru melaksanakan amanah ilmu demi tanggungjawab insani dan kewajipan kepada ALLAH SWT. Manakala murid pula menerima amanah ilmu sebagai kesinambungan kepada pengajian dan juga tuntutan kefarduan ilmu kepada ALLAH SWT.

Berkorban adalah kesanggupan untuk memberatkan diri atau menanggung penderitaan demi kesenangan mereka yang dicintai.

Dakwah Rasulullah SAW ke Thaif adalah bukti pengorbanan kerana cinta. Kasihnya Rasulullah SAW kepada umatnya agar memperoleh dakwah Islam menyebabkan Baginda menuju Thaif.

Lokasinya berisiko dengan bentuk muka bumi berbeza berbanding Makkah menjadikan safar dakwah ini adalah tidak mudah.

Sesampainya di sana, dakwah Baginda tidak diterima oleh penduduk Thaif. Para pemuda Bani Thaqif menolaknya dengan keras bahkan diupah kanak-kanak untuk melemparkan batu kepada Rasullah SAW sehingga kaki Baginda luka dan berdarah.

Dalam keadaan begitu, Rasulullah SAW pulang kembali ke Makkah. Pada masa itu dengan rintihan sebagai seorang hamba kepada ALLAH SWT, maka diutuskan Jibrail untuk menawarkan bagi menelingkupkan bukit dan memusnahkan kota Thaif.

Namun Rasulullah SAW tidak bersetuju dan sebaliknya berdoa kepada ALLAH SWT ‘Allahummahdi qaumi fa innahum la ya’lamun’ (Ya ALLAH, bagilah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui.’ Andai kita melihat kembali bagaimana kota Thaif pada masa ini, dapatlah kita menyaksikan bahawa doa Rasulullah SAW tersebut telah dimakbulkan.

Pengorbanan Rasulullah SAW dengan kesanggupan mengalami kepedihan dan kepayahan demi menyampaikan dakwah Islami adalah bukti pengorbanan kerana kecintaan.

Kecintaan sesama makhluk agar dakwah disampaikan kepada mereka dengan mengalami kepedihan dan kesukaran. Dakwah Islam yang membezakan di antara kesesatan dan kejahilan kepada kebaikan dan hidayah.

Sejarah kemerdekaan negara kita juga membuktikan bagaimana pengorbanan para perajurit dan pahlawan di dalam menghadapi segala ancaman demi mempertahankan kedaulatan negara. Mereka mempertaruhkan nyawa dan menyerahkan tenaga sebagai pengorbanannya. Agar negara berdaulat, rakyat hidup aman dan harmoni.

Kedaulatan negara adalah hasil pengorbanan mereka. Pencapaian negara pada masa ini adalah secara langsung berkait dengan pengorbanan mereka.

Kestabilan politik dan keteguhan ekonomi adalah kelangsungan daripada pengorbanan tanpa berbelah bahagi. Kerana itu, adalah satu kesalahan untuk kita tidak mengiktiraf pengorbanan mereka dengan cubaan mengiktiraf pengganas komunis dan mereka yang cuba menceroboh kedaulatan negara.

Selain itu, kesetiaan juga adalah satu pengorbanan. Memberi setia bermakna sentiasa bersama baik di dalam kesenangan mahupun kesusahan. Kesetiaan ini bukan bermakna sentiasa melihat kelebihan sebagai asas untuk setia.

Sebaliknya ia dibuat kerana kekuatan dasar dan matlamat. Kesetiaan ini menuntut pengorbanan kerana ia adalah satu pemberian sebagai tanda bakti.

Pengorbanan demi bangsa dan agama adalah satu wadah kesetiaan. Kesetiaan demi mempertahankan Islam sebagai agama negara dan bangsa Melayu sebagai bangsa dominan yang mencorakkan masyarakat dan bangsa negara.

Pengorbanan ini adalah bagi menjamin keamanan dan kelangsungan kedaulatan negara untuk Malaysia terus maju dan berwawasan.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia