DALAM ucapannya di Pulau Pinang beberapa hari yang lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wakil rakyat Pakatan Harapan jangan bersikap membalas dendam terhadap musuh politik tetapi sebalik-nya menunjukkan kesederhanaan dan menunaikan amanah yang diberikan kepada rakyat.

Kenyataan Anwar ini jelas menggambarkan senario bagaimana selepas lebih 20 hari membentuk kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri pasca PRU14, Pakatan Harapan dilihat masih mencari ‘rentak’ untuk mentadbir negara.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pula masih banyak berkisar tentang penyelewengan dan kesalahan kerajaan terdahulu. Lebih kritikal lagi, ada kenyataan yang dikeluarkan turut menyingung secara langsung dan tidak langsung tentang institusi Raja-Raja Melayu.

Ironinya, kerajaan baharu ini sepatutnya menumpukan fokus mereka untuk menunaikan semua janji pilihan raya yang ditawarkan kepada rakyat dalam manifesto mereka ketika PRU14 yang lalu. Kerajaan Pakatan Harapan dilihat seolah-olah masih berada pada posisi membangkang dan belum ‘menjiwai’ sepenuhnya kedudukan dan sentimen sebuah kerajaan yang sedang mentadbir negara.

Meskipun terdapat langkah-langkah positif dan segera yang diambil termasuk menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan bagi membantu kerajaan membuat keputusan tentang pelbagai perkara, namun kewujudan Majlis ini dilihat hanya membayangi tugas Kabinet. Pada masa yang sama, fungsi Kabinet juga masih belum menyeluruh lantaran lantikan portfolio belum meliputi kesemua kementerian yang ada.

Tidak dapat dipastikan apakah pertimbangan yang YAB Perdana Menteri sehingga menangguhkan pelantikan keseluruhan anggota Kabinet, atau hanya untuk meredakan pertingkahan dan perebutan antara parti komponen dalam Pakatan Harapan?

Kelambatan dalam proses pelantikan menyeluruh anggota Kabinet ini membuka ruang kepada perdebatan dan persepsi dalam kalangan rakyat khususnya tentang masa depan dan struktur baharu agensi-agensi kerajaan. Ini ditambah tindakan segera kerajaan menghentikan perkhidmatan penjawat awam lantikan politik pada saat mereka sedang menyambut Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri.

Paling menarik adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang yang dikenali sebagai jurucakap kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang antara lain membangkitkan secara terang-terangan isu kontrak sosial antara Raja dan rakyat serta menyentuh secara langsung Institusi Raja-Raja Melayu.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan ini perlu fokus untuk menyelesaikan janji-janji pilihan raya mereka dan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyentuh asas-asas kenegaraan yang sedia kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan serta perlu berhenti membongkar kesalahan kerajaan terdahulu atas nama dendam dan ingin terus mewujudkan persepsi kebencian dalam kalangan rakyat.

Janji-janji yang ditabur ketika PRU14 yang lalu adalah penantian sebenar yang diinginkan rakyat. Rakyat ingin melihat kesemuanya dilaksanakan mengikut masa yang telah dijanjikan.

Inilah cabaran dan hambatan sebenar yang dimiliki oleh Kerajaan Pakatan Harapan sekarang dan bukannya cuba melencongkan pemikiran rakyat kepada perkara-perkara yang tidak perlu dan tidak bermanfaat. Rakyat menanti penuh debaran dan memerhatikan dengan penuh minat setiap tingkah laku pihak Kerajaan.

Pada fikiran penulis, pujian harus diberikan kepada penyokong BN kerana membantu melancarkan lagi proses peralihan kuasa secara aman dan berjiwa besar serta berlapang dada menerima kekalahan.

Leburkanlah dendam kesumat yang bersarang di jiwa, tanamkan jiwa besar dan rancanglah visi dan misi yang tepat untuk membangunkan negara. Tugas sebuah Kerajaan bukan hanya membongkar kesilapan masa lalu tetapi melampaui kepada perancangan dasar yang teratur demi masa depan negara.

Sesungguhnya sebuah kerajaan yang baik akan sentiasa menerapkan konsep keadilan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik. Inilah yang kita harapkan daripada kerajaan baharu Pakatan Harapan pada hari ini. Moga Malaysia terus aman dan sejahtera serta dilimpahi rahmat oleh ALLAH SWT.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)