SEKALI lagi sejarah terlakar apabila negara menerima lawatan Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, pemimpin tertinggi negara Arab Saudi tiga hari lalu. Lebih bermakna lagi, baginda yang dalam lawatan selama empat hari itu, telah memilih Malaysia sebagai negara pertama di rantau Asia Tenggara untuk dilawati setelah dilantik menjadi Raja Arab Saudi ke-7 pada 23 Januari 2015.         

Jika diimbau kembali, kali terakhir Raja Arab Saudi yang digelar sebagai ‘Penjaga Dua Tanah Suci’ melawat negara kita adalah semasa pemerintahan Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pada tahun 2006 dan  sebelum itu Raja Faisal Abdul-aziz Al-Saud ketika Tuanku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri pada tahun 1970.

Pengiktirafan dan harapan tinggi kuasa besar negara Islam dari Timur Tengah terhadap negara kita jelas tergambar apabila baginda memilih Malaysia sebagai destinasi pertama di rantau ini untuk dikunjungi. Bahkan, Malaysia turut mendapat pujian daripada ‘Penjaga Dua Tanah Suci’ ini, sebagai negara Islam contoh dari segi pendidikan, pembangunan ekonomi malah pengurusan jemaah haji terbaik saban tahun.  

Bukan itu sahaja, pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, hubungan yang terjalin sejak 60 tahun ini semakin akrab. Buktinya, dapat dilihat dalam peningkatan mendadak nilai dagangan dua hala Arab Saudi dan Malaysia sebanyak 20 peratus pada tahun lepas dengan nilai dagangan berjumlah RM13.12 bilion, sekali gus menjadikan Arab Saudi sebagai antara negara dagangan terbesar buat Malaysia.

Manifestasi hubungan istimewa antara Arab Saudi dan Malaysia ini turut terzahir melalui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan yang diberikan, sama ada dari segi kewangan, ekonomi malah hal-hal yang berkaitan pengurusan haji.

Memandangkan tempoh menunggu bagi menunaikan haji untuk rakyat Malaysia yang baru mendaftar sudah mencecah 100 tahun, isu kuota haji sentiasa menjadi topik utama dalam setiap kali perbincangan antara kepimpinan tertinggi negara dengan kerajaan Arab Saudi.

Hasilnya, pada tahun ini, kuota haji yang berjumlah 27,900 orang telah dikembalikan untuk musim haji 1438H/2017M, berbanding 22,230 orang sejak tahun 2013.

Namun tidak dinafikan, ia masih belum dapat menyelesaikan isu ini sepenuhnya kerana setiap tahun pasti jumlah rakyat Malaysia yang mendaftar untuk menunaikan haji kali pertama akan meningkat. Secara tidak langsung, situasi ini menggambarkan tahap kesejahteraan hidup rakyat di negara kita semakin meningkat berbanding 20 tahun yang lalu.

Antara yang paling menarik perhatian dalam lawatan ini juga, adalah pengumuman usaha sama pelaburan antara Petronas dan Saudi Aramco bernilai tujuh bilion dolar untuk memajukan dan mengendalikan sebuah kilang penapis minyak di Pengerang, Johor.

Majlis menandatangani per-janjian pelaburan tersebut telah diadakan pada Selasa di ibu negara dan tentunya ia merupakan pelaburan yang bakal memberikan impak positif kepada ekonomi negara.

Hakikatnya, keakraban hubungan dua hala ini juga telah membuka ruang seluas-luasnya kepada tenaga pakar dari negara kita untuk meneroka beberapa bidang utama dalam pembangunan prasarana di Arab Saudi, termasuk pembangunan Masjid al-Haram di Makkah.

Manakala, sistem pengangkutan keretapi moden Al-Mashaaer Al-Muqaddassah Metro Southern Line yang menghubungkan Jemaah haji dari Makkah ke Mina juga diselenggarakan dan diurus-selia syarikat dari Malaysia. Bahkan, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa pasukan yang membangunkan Menara Jam tertinggi di dunia yang menghadap Masjid al-Haram juga turut melibatkan rakyat dari negara kita.

Penulis juga melihat, lawatan empat hari Raja Arab Saudi ke Malaysia ini tentunya akan menjadi perhatian dunia. Apatah lagi dalam suasana ketidaktenteraman dunia Islam, khususnya di Timur Tengah yang masih bergolak ketika ini. Konflik Arab-Israel yang berterusan, ditambah pula dengan krisis di Syria dan Yaman. Tidak kurang hebatnya fenomena Islamofobia di Barat dan yang terbaharu masalah umat Islam Rohingya di Myanmar.

Rentetan itu, rata-rata masyarakat antarabangsa masih tercari-cari formula dan model kepimpinan yang mampu membawa perubahan ke arah keamanan sejagat. Justeru, Malaysia sebagai negara contoh boleh terus berfungsi menjadi negara Islam yang mempromosikan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dan keseimbangan dengan menampilkan formula pembangunan Islam yang lebih bersifat holistik dan progresif.

 Diharapkan keistimewaan dan keakraban hubungan yang telah terjalin ini akan terpateri utuh dengan pautan iman serta ukhuwah Islamiah dan bakal menatijahkan kebaikan yang membawa manfaat kepada ummah dan agama seluruhnya.