ZIONIS ialah gerakan antarabangsa Yahudi yang berbentuk politik, perkauman, penjajahan dan permusuhan. Zionis mencipta ideologi Zionisme. Dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Sahyuniyyah yang berasaskan perkataan Sahyun iaitu merujuk kepada sebuah bukit yang terletak di bandar Baitulmaqdis.

Gerakan Zionis lahir bagi mendapatkan penempatan bangsa Yahudi di Palestin dan menyelesaikan permasalahan Yahudi yang merempat. Gerakan ini muncul pada abad ke-19 apabila bangsa Yahudi keluar dari pengasingan dunia.

Terbentuknya konsep kebeba-san, keadilan ala Barat dan persamaan selepas era Revolusi Perancis dan Revolusi Pembebasan Hamba membolehkan bangsa Yahudi diterima sebagai warganegara.

Kesusahan menjadikan bangsa Yahudi bergantung kepada kebole-han dan kehebatan mereka dalam bidang penciptaan, perubatan, pengajian tinggi dan perindustrian. Namun bangsa Yahudi lebih suka berurusan sesama mereka dan mempunyai semangat perkauman yang sangat kuat.  

Namun begitu, Yahudi dan Zionis ialah dua perkara yang berbeza. Yahudi ialah bangsa keturu-nan. Manakala Zionis ialah kaum Yahudi pada abad ke-19 yang diracuni pemikiran dan ideologi mereka untuk merampas bumi Palestin dan dijadikan tanah air mereka.

Ertinya Zionisme ialah satu ideologi yang sangat keji, tidak bermaruah dan tidak menghormati hak orang lain tetapi menumpukan seluruh idea dan kekuatan bersama mereka bagi menakluki negara dan tanah air orang lain.

Gerakan Zionis berhujah bahawa Palestin adalah ‘bumi yang dijanjikan’ kepada mereka seperti yang termaktub dalam kitab Taurat. Tetapi bukti itu tidak dapat dizahirkan, bahkan sejarah telah membuktikan bahawa bumi Palestin telah menjadi tanah air bagi umat Arab dan Islam Palestin sejak 1,200 tahun yang lampau bersama kesan ketamadunan dan asas Islam yang sangat kukuh.

Cadangan Zionis untuk menjadikan Palestin sebagai tanah air mereka bermula pada 1901 apabila pemimpin Zionis Hertzel berusaha keras memujuk Khalifah Uthmaniyyah Sultan Abdul Hamid dengan pelbagai cara yang halus bagi melembutkan hati baginda agar membenarkan bumi Palestin diduduki oleh Yahudi. Namun begitu baginda kekal konsisten dengan keputusan beliau untuk tidak membenarkan walau seinci pun bumi Palestin diberikan kepada Zionis.

Segalanya berubah pada sekitar 1916 apabila Kerajaan Uthmaniyyah yang menyertai Perang Dunia Pertama bersama pakatan Austria-Hungary dan Jerman mengalami kekalahan.

Kelemahan yang dihadapi Kerajaan Uthmaniyyah membolehkan satu lagi pakatan iaitu British, Rusia dan Perancis berkonspirasi dalam perjanjian sulit Sykes-Picot pada 1916 yang mengandungi rancangan jahat British dan Perancis dengan persetujuan Rusia untuk membahagikan sesama mereka wilayah Uthmaniyyah di Timur Tengah.

Berdasarkan perjanjian tersebut, Perancis akan menguasai Utara Iraq, Syria dan Lubnan. Manakala British di Iraq, Transjordan, Haifa, Acre dan Palestin.

Rancangan tersebut bagaimana pun diketahui Kerajaan Uthmaniyyah dan gerakan Zionis dikesan berada di belakang perjanjian tersebut bagi melobi usaha untuk merampas bumi Palestin. Segalanya seakan tidak menyebelahi rakyat Palestin apabila kerajaan Uthmaniyyah yang menaungi mereka semakin lemah.

Perkembangan itu membolehkan pemimpin Yahudi di London, Lord Rothschild menghantar surat kepada Setiausaha Luar British, Arthur James Balfour pada 1917 bagi menegaskan hasrat Zionis menubuhkan tanah air di Palestin. Surat Rothschild dibalas Balfour dengan menyokong hasrat beliau dan diangkat sebagai Deklarasi Balfour.

Keadaan terus genting apabila British memperoleh mandat dari Persatuan Liga Bangsa-Bangsa pada 24 Julai 1922 untuk membawa masuk pendatang Yahudi ke Palestin. Bahkan hak kepada British telah diberikan pada Persidangan San Remo 25 April 1920 bagi membenarkan rancangan jahat Zionis membawa masuk pendatang haram Yahudi ke Palestin.

Pembentukan negara haram Israel pada 1948 juga adalah berpunca daripada kejayaan mandat yang diperoleh oleh British itu. Apa yang perlu difahami adalah, sebagai kuasa besar dunia pada waktu itu, British dipengaruhi dan dilobi oleh rancangan konspirasi jahat gerakan Zionis dalam rangka untuk meragut hak dan maruah umat Islam di Palestin dan di seluruh dunia.  

Moga ALLAH terus memberi kekuatan kepada umat Islam bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani konflik di Palestin.