PEMBENTANGAN Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Jumaat lalu memperlihatkan olahan baharu dimensi keislaman dalam pengurusan ekonomi negara.

Menurut perdana menteri, bajet kali ini "disusun sebagai satu dokumen pelonjak kepada pembikinan sebuah negara bangsa Malaysia untuk tempoh 30 tahun mendatang yang akan dicorakkan semula di atas kanvas yang lebih baharu berasaskan kerangka maqasid syariah".

Penegasan perdana menteri itu dikira menarik lantaran Bajet 2018 ini diolah berasaskan kerangka maqasid syariah yang turut menjadi landasan dalam pembangunan negara.

Ini selaras dengan kehendak dan aspirasi kerajaan yang telah memperkenalkan Indeks Syariah Malaysia bagi mengukur tahap kepatuhan syariah dalam semua bidang kehidupan di Malaysia yang turut menerapkan kerangka maqasid syariah.

Malah menurut Perdana Men-teri, Malaysia sangat bertuah kerana para pejuang pengasas negara telah pun menyulam manik-manik keislaman dalam asas kenegaraan sejak merdeka yang mementingkan lima aspek utama maqasid syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Kelima-lima aspek tersebut digarap melalui tiga peringkat yang dikupas oleh para ulama usul fiqh seperti al-Syatibi, al-Ghazali dan Ibn ‘Asyur iaitu Dharuriyat (perkara wajib), Hajiyyat (keperluan) dan Tahsiniyyat (pelengkap).  

Ketiga-tiga peringkat inilah yang mengolah, mempengaruhi dan menjadi teras dalam kesemua dasar negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Pendekatan Wasatiyyah, Falsafah Pendidikan Negara, 1 Malaysia dan yang terkini Transformasi Malaysia (TN50).

Resipi inilah yang menjadikan Malaysia berjaya membentuk negara Islam yang progresif yang mengetepikan faham ekstrem dan condong kepada nilai liberalisme kebaratan.

Bahkan lebih penting lagi kata perdana menteri, tidak menjadi sebuah negara ala Taliban.

Ironinya, menurut beliau lagi, meskipun kerangka maqasid syariah tidak termaktub secara rasmi dalam mana-mana dokumen kerajaan, akan tetapi amalannya terzahir melalui setiap dasar yang menerapkan secara hikmah nilai dan konsep maqasid syariah.

Nilai dan hikmah ini diterap dan diteruskan lagi melalui rancangan pengurusan ekonomi negara bagi tahun 2017 atau bajet kali ini yang bersifat saksama, inklusif atau menyeluruh, mengimbangi keunggulan antara peradaban duniawi dengan ukhrawi menuju kepada matlamat gagasan TN50 pada tahun 2050 berasaskan lapan tunjang utama.

Lapan tunjang tersebut adalah merancakkan pelaburan perdagangan dan industri, menuju aspirasi TN50, mengungguli pembangunan pendidikan, latihan dan bakat, memacu pembangunan inklusif, kesejahteraan rakyat serta peluang menjana pendapatan, bersiap menghadapi revolusi perindustrian keempat, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan paling penting keseimbangan unggul dunia dan akhirat.

Hakikatnya, dalam melaksanakan lapan tunjang tersebut melibatkan peruntukan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM280.25 bilion.

 Antara yang menarik adalah tunjang kelapan iaitu keseimbangan unggul dunia dan akhirat yang memartabatkan Islam di Malaysia melalui segmen peruntukan sebanyak RM50 juta terhadap sistem keselamatan di semua sekolah tahfiz, manakala Skim Latihan Kemahiran GiatMara akan turut diperkenalkan di sekolah tahfiz.

Tidak ketinggalan peruntukan sebanyak RM588 juta bagi membayar elaun bulanan para imam, guru Kafa dan guru takmir. Peruntukan itu tidak termasuk bayaran khas one-off RM1,500 kepada para imam, bilal, siak masjid, guru Kafa dan guru takmir masjid dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100 juta.

Sesungguhnya bajet kali ini bukan hanya memberi peruntukan besar kepada pembangunan Islam di Malaysia, tetapi peruntukan yang bersifat inklusif untuk semua peringkat masyarakat di Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

 Semuanya dapat menikmati hasil daripaada komitmen tinggi kerajaan yang sentiasa mengamalkan dasar hidup bersama berkongsi tanah air, meraikan kepelbagaian dan keunikan serta menghormati perbezaan.

Inilah manhaj Islam yang telah dizahirkan oleh pihak kerajaan dalam mengemudi negara menuju kemakmuran dan kedamaian. Moga ALLAH terus merahmati bumi Malaysia yang tercinta ini.

*Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)