ASPEK halal haram bukan hanya terhad kepada makan minum semata-mata. Malah perolehan harta atau pendapatan kita juga mesti dipastikan bersumberkan yang halal dan mematuhi piawaian syariah. Ini bukan sahaja menjamin keberkatan hidup di dunia tetapi juga kerahmatan berkekalan hingga ke akhirat.

Lebih mustahak lagi yang harus disedari, sebagai seorang mukmin aspek perolehan harta merupakan salah satu daripada empat perkara yang akan ditanya ALLAH, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:  

“Tidak akan sesekali berganjak kedua-dua kaki seseorang hamba pada hari kiamat sehinggalah dia ditanya berkenaan empat perkara: Berkenaan masa mudanya, pada perkara apakah dia telah habiskannya? Berkenaan umurnya, pada perkara apakah dia telah gunakannya? Dan berkenaan hartanya, dari mana dia dapatkannya dan ke manakah dia belanjakannya?”. Hadis hasan riwayat at-Tabrani.

Sebab itulah Skim Simpanan Syariah KWSP yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini amat dinanti-nantikan oleh ramai pencarum terutamanya dalam kalangan umat Islam. Bahkan ini juga merupakan kali pertama sebuah kerajaan Islam membangunkan satu skim persaraan hari tua buat para pekerja berpandukan kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang telah digariskan oleh syariah.

Yang dimaksudkan dengan simpanan patuh syariah sudah tentulah merujuk kepada seluruh aspek operasi dan pengurusan dana-dana para pencarum yang semestinya berteraskan kepada prinsip Islam.

Ini bermakna dana-dana simpanan yang dicarum para pekerja hanya boleh dilaburkan dalam portfolio-portfolio pelaburan atau sektor-sektor yang beretika dan halal dari sudut pandangan syarak, sekali gus dividen yang terhasil daripada pelaburan adalah sah dan halal lantaran bebas daripada aktiviti-aktiviti urus niaga dan pelaburan yang diharamkan syariah termasuklah riba, industri arak, industri pemakanan yang tidak halal, perjudian dan apa sahaja industri yang tidak beretika dan jelas bertentangan dengan apa yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Berkenaan dengan riba, nas al-Quran jelas mengharamkannya sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Ali-‘Imran ayat 130: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada ALLAH supaya kamu berjaya”.

Begitu juga dengan perkara-perkara haram lain seperti industri arak, pemakanan yang tidak halal, perjudian dan sebagainya yang jelas diharamkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Malah akad atau kontrak antara pencarum dengan KWSP yang bertindak sebagai wakil atau pemegang amanah turut disandarkan kepada kontrak syariah yang pernah diperkenalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW khususnya kontrak yang diistilahkan sebagai ‘Wakalah Mutlaqah’.

Melalui kontrak ini pencarum bersetuju untuk menyerahkan dana caruman mereka kepada pihak KWSP yang bertindak selaku pemegang amanah atau wakil pencarum untuk dilaburkan dalam portfolio-portfolio pelaburan yang patuh syariah.

Seperkara penting yang membezakan antara skim simpanan syariah dengan skim lama bersifat konvensional ialah antara lainnya, syarat kontrak Wakalah tidak membenarkan KWSP memberi jaminan terhadap keuntungan yang bakal dijana. Ini bermakna pencarum dan pemegang amanah (KWSP) mesti sentiasa bersedia untuk berkongsi untung mahupun rugi, sama ada pada waktu senang mahupun susah.

Semua aspek pengurusan dana-dana ini dipantau dan diaudit secara berterusan oleh barisan penasihat syariah yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Merekalah yang menjadi sandaran para pencarum dan masyarakat umumnya agar dapat dipastikan setiap aspek operasi dan gerak kerja yang dilakukan atas nama ‘patuh-syariah’ benar-benar direalisasikan.

Justeru, umat Islam tidak boleh berdolak-dalik lagi untuk tidak menukar caruman mereka kepada skim simpanan syariah setelah diberi peluang untuk melakukannya. Hakikatnya, kejayaan KWSP memperkenalkan skim simpanan berteraskan syariah ini juga banyak bergantung dan dipengaruhi oleh komitmen kerajaan selama ini dalam membangunkan sistem kewangan Islam. Itu pun proses transformasi dan perubahan hanya berlaku setelah lebih 30 tahun pelbagai institusi, pasaran dan produk kewangan Islam diperkenalkan.

Inilah yang dipanggil pendekatan tadarruj atau dalam istilah bahasa Melayu iaitu evolusi atau pembangunan Islam yang dibuat secara beransur-ansur. Ternyata pendekatan melakukan transformasi secara beransur-ansur telah banyak mendapat pujian negara luar. Malah tidak sedikit ahli-ahli akademik antarabangsa yang menulis dan memuji model pembangunan Islam yang diperkenalkan kerajaan.

Namun komitmen kerajaan sahaja tidak cukup untuk kita terus memartabatkan agenda Islamisasi di negara ini. Ini kerana dukungan setiap warga masyarakat amat mustahak bagi memungkinkan sebarang bentuk program dan agenda yang direncanakan mampu direalisasikan.