MELIHAT pelbagai kemelut dan pergeseran yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini, penulis merasakan keperluan memahami dan mendalami konsep fiqh ta’ayush dalam konteks semasa adalah amat mendesak.

Ini kerana fitrah manusia yang mahukan keamanan, keharmonian dan kebersamaan mampu menjadi faktor pendorong untuk kita lebih menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini.  

Dalam konteks ini, suka penulis untuk menonjolkan beberapa dalil dalam al-Quran yang dengan jelas menunjukkan bagaimana ALLAH menyebut 'saudara' kepada para Nabi terdahulu dalam menamakan mereka kepada kaum-kaum mereka.

Sedangkan pada hakikatnya, ter-dapat kaum yang menentang Nabi mereka sendiri. ALLAH menyebut dengan jelas dalam Surah Al-A’raf ayat 73; “Dan kepada kaum Thamud (kami utuskan) saudara mereka; Nabi Soleh,” Begitu juga dalam Surah Hud, ayat 50; “Dan kepada kaum ‘Aad, kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…” dalam Surah Hud ayat 84; “Dan kepada penduduk Madyan, kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib.”

Dalil-dalil ini jelas menunjukkan ALLAH menggunakan perkataan 'saudara' walaupun hakikatnya kebanyakan kaum itu belum seagama dengan nabi-nabi tersebut. Hatta, Ibn Abbas RA juga boleh menukilkan kata-kata yang amat harmoni untuk Firaun, seorang raja yang bukan saja zalim bahkan mengaku dirinya Tuhan. “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga ALLAH memberkati kamu’. Nescaya aku akan menjawab : “Kepada kamu jua.”

Ini bermakna, sejauh mana perbezaan bangsa, warna kulit mahupun fahaman dan pegangan agama, kita tetap bersaudara. Malah sebagai manusia yang berasal dari susur galur yang sama iaitu Adam dan Hawa, kesemua perbezaan itu bukanlah penghalang bagi seorang Muslim menerima bukan Muslim sebagai seorang saudara.

Yang  paling  penting, bagi men-cari pertimbangan dalam tindakan kita pada hari ini, seharusnya kita melihat kembali bagaimana asas toleransi yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang diceritakan dalam sorotan kisah dan peristiwa yang berlaku pada zaman mereka.

Contoh jelas dapat kita lihat, betapa berhikmahnya Rasulullah ketika berbicara tentang Nabi Isa AS: “Aku adalah seorang yang paling dekat dan paling mencintai Isa bin Maryam di dunia mahupun di akhirat. Para nabi itu adalah saudara seayah walau ibu mereka berlainan, dan agama mereka adalah satu.” -Riwayat al-Bukhari.

Bahkan, lihat sahaja bagaimana Rasulullah SAW bertoleransi dalam menyusun semula masyarakat berbilang agama seperti Islam, yahudi, nasrani dan juga mereka yang menyembah berhala di Madinah selepas perhijrahan Baginda suatu ketika dahulu. Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berperanan sebagai Rasul, tetapi Baginda berlapang dada dan toleran dalam memainkan peranan sebagai pemimpin politik yang mentadbir sebuah negara.

Walaupun Baginda berhadapan dengan masyarakat yang pernah berpecah-belah dek siri peperangan yang panjang, Baginda mampu mewujudkan keharmonian dengan memperkenalkan sebuah piagam atau perlembagaan iaitu dikenali sebagai sahifah Madinah yang meletakkan nilai-nilai Islam sebagai landasan dalam pentadbirannya.

Satu perlaksanaan undang-undang yang jelas diperkenalkan. Bukan itu sahaja, malah tang-gungjawab semua pihak yang menetap di Madinah diperincikan, peranan dan kewajiban terhadap satu sama lain ditentukan dan beberapa had atau larangan yang terpakai antara satu sama lain ditetapkan bagi menjamin keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama pada ketika itu.

Begitu juga dalam konteks semasa di negara kita pada hari ini. Sebagai sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama, dengan mendalami dan memahami fiqh ta’ayush ini bukan sahaja dapat mengekalkan keharmonian sedia ada bahkan mampu mengelakkan perselisihan dan persengketaan.

Kita seharusnya saling menerima dan menghormati serta tidak mudah membuat andaian-andaian yang boleh menimbulkan polemik yang membarah.

Justeru, komitmen kita dalam menzahirkan dan menonjolkan persefahaman ini secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa, sesebuah negara yang berada di bawah naungan peme-rintahan Islam dapat menjamin kehidupan yang aman dan sentosa untuk semua warganya.

Sekali gus, hal ini mampu memanifestasikan Islam itu sebagai sebuah agama yang harmoni dan damai.

Sesungguhnya, kemakmuran negara kita pada hari ini amat berkait rapat dengan hubungan baik antara kaum yang didukungi bersama. Hubungan baik inilah yang perlu dikekalkan pada bila-bila masa dan selamanya agar kesejahteraan yang kita nikmati kini tidak ranap begitu sahaja.