BARU-baru ini negara digemparkan dengan tragedi kebakaran sebuah sekolah tahfiz yang meruntun jiwa dan menyayat hati kita semua. Lebih mengejutkan apabila kejadian tersebut dirancang oleh remaja belasan tahun, malah ada yang masih dalam kategori kanak-kanak bawah umur. 

Semua pihak berlumba-lumba memberikan komen, cadangan dan tidak kurang juga tohmahan serta cacian dilemparkan seolah-olah tidak pernah ada pihak yang bertanggungjawab. Apatah lagi ibu bapa pesalah turut dicalitkan dengan bermacam-macam kata nista yang tidak berpenghujung. 

 Penulis yakin, setiap cada-ngan dan teguran penambahbaikan itu pastinya ada pihak yang akan menerima pakai dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan alasan agama sebagai tabir untuk menyorokkan kelemahan. Begitu juga ibu bapa kepada anak-anak ini, yang pastinya sentiasa mencuba sehabis baik dalam mendidik dan membentuk akhlak mereka. 

Sungguhpun begitu, menyedari hakikat cabaran hari ini jangan kita semudahnya menuding jari dan menyerahkan tanggungjawab mendidik, mengawasi dan mengawal generasi muda kini bulat-bulat kepada pihak berkuasa. 

Sudah tiba masanya kita mengukuhkan peranan dan tanggungjawab mendidik anak-anak ini sebagai amanah bersama dalam masyarakat. 

Umpama orang dulu-dulu, perlukan sekampung untuk membesarkan seorang anak. Bukan nafsi-nafsi. Bukan hanya terletak atas bahu ibu bapa, pihak sekolah mahupun kerajaan semata-mata. 

Bahkan secara jujur dan ikhlas seluruh warga masyarakat turut sama menjalankan amanah menjaga dan menasihati anak-anak ini untuk memiliki keperibadian yang unggul. 

Bukan saja penguatkuasaan dan pendidikan formal, malah kepedulian yang tingi dan teguran membina perlu sentiasa seiring diberikan terhadap tingkah laku mereka yang sumbang dan menyeleweng, merentasi sempadan bangsa dan agama. 

Di samping itu, antara prinsip sosial yang paling penting untuk membentuk budi pekerti yang baik adalah membiasakan anak-anak sejak kecil dengan pengawasan dan menerima kritikan daripada setiap orang yang mereka dampingi.

Hakikatnya, tragedi yang berlaku ini boleh dijadikan wake-up call untuk semua pihak mengambil peranan dan tanggungjawab dalam mengukuhkan amalan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. 

Setiap individu wajib mengambil tanggungjawab ini dan bukan lagi hanya diletakkan pada pihak berwajib sahaja.  

Rasulullah SAW menggambarkan kawalan masyarakat ke atas individu dan kawalan individu terhadap masyarakat umpama ‘kapal’. Setiap orang mempunyai tugas sosialnya dalam mengawal, mendidik dan menasihati bagi memastikan akhlak umat terpelihara dan keperibadian sentiasa terjaga. 

Rasulullah SAW mengingatkan dengan jelas tentang hakikat ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim; “Bandingan orang yang menegakkan batasan ALLAH dan berada di dalamnya bagai satu kumpulan yang membuat cabutan untuk menaiki sebuah kapal, sebahagiannya berada di atas dan sebahagian berada di bawah. Orang yang di bawah apabila ingin mendapat air, mereka melalui orang yang di atas. 

Maka berkata mereka, kalau kita tebuk satu lubang dan kita tidak menyakiti orang yang di atas kita. Kalau dibiarkan dengan kehendak mereka maka semua akan binasa, kalau disekat semua akan selamat.” 

Begitu juga dalam Surah Al-Imran ayat 104, ALLAH SWT memerintahkan “Hendaklah ada antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, merekalah orang yang beruntung.”

Perkataan “segolongan” ini meliputi seluruh umat, tidak kira sama ada pemerintah, ulama’ ataupun orang awam. Jika tidak, mana mungkin kita mampu untuk menghindari dan membendung segala gejala dan anasir jahat yang sentiasa akan merosakkan akidah dan akhlak generasi yang bakal mewarisi tamadun ini. 

Justeru, setiap warga masyarakat perlu kembali cakna dan memiliki kepedulian yang tinggi. Fenomena malu-malu dan takut-takut dalam membuat teguran perlu dikikis.

 Amanah dan tanggungjawab membimbing, menasihati dan mengawal anak-anak hari ini perlu dilaksanakan oleh setiap warga negara dengan ikhlas dan penuh kasih sayang. 

Anggap mereka umpama anak sendiri, kerana pada merekalah terletaknya harapan dan cita-cita kita akan datang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIKAP berlebihan dalam berpolitik sehingga mengganggu gugat asas dan kerangka kenegaraan adalah tindakan yang tidak boleh dibiarkan sama sekali.
  • MEMBICARAKAN tentang politik, secara mudahnya akan terbayang di benak pemikiran kita tentang parti-parti politik, wajah ahli-ahli politik, kerajaan yang memerintah, barisan pembangkang dan segala macam isu dan kontroversi yang timbul disebabkan oleh ‘masalah’ politik.
  • SABAN tahun, Hari Pahlawan disambut dengan penuh adat istiadat oleh kerajaan dan seluruh rakyat sebagai suatu penzahiran penghargaan dan tanda terima kasih kepada barisan anggota keselamatan di negara kita, sama ada yang telah gugur di medan juang mahupun yang masih utuh mempertahankan agama dan bangsa.
  • TIBANYA awal Muharam setiap tahun mengujakan minda penulis untuk terus mengokestrakan perpaduan Islam dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang perlu sentiasa utuh dan kukuh.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.