JIKA pokok ada akarnya, jika rumah ada tiangnya, maka begitulah bagi setiap perjuangan, akan sentiasa ada asas dan tunjang tatkala ia dipasakkan. Asas ini adalah punca utama sesuatu perjuangan itu diwujudkan. Biasanya ia bersifat suci dan murni daripada tujuan-tujuan lain yang muncul setelah asas ini diletakkan.  

Ia adalah lumrah manusiawi bahawa kecenderungan dan perubahan sentiasa menjadi karakter yang merubah asas sesuatu perjuangan.

Lantaran itu, Islam mengajar kita untuk sentiasa berdoa kepada ALLAH Azzawajalla dengan doa, “Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku ini pada agamaMu dan ketaatan kepada Mu”.

Doa ini mengiktiraf sifat manusiawi dan ia juga mengajar untuk kita sentiasa memohon kepada ALLAH agar kita tetap kepada asas perjuangan dan pegangan agama. Islam mengiakan sifat kemanusiaan dan pada masa yang sama mengikat manusia untuk sentiasa muhasabah serta kembali kepada tunjang dan teras perjuangan.

Begitu juga dengan perjuangan Umno, asasnya ialah untuk memperjuangkan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA). Islam adalah agama yang dimaksudkan, Melayu adalah bangsanya dan Malaysia ialah tanah airnya.

Ketiga-tiga unsur besar ini adalah agenda utama perjuangan Umno. Agama Islam adalah agama negara, diletakkan di atas segala yang lain demi mengikat dan menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

Keislaman negara ini bermanhajkan konsep Malaysia dengan meraikan kewujudan agama lain serta kebebasan mereka untuk mengamalkan ritual agama menjadikan Malaysia sebagai negara unik, aman dan sejahtera.

Keunikan Malaysia dilengkapkan dengan kepelbagaian bangsa dengan masing-masing diiktiraf sebagai warganegara. Di samping itu, bangsa Melayu adalah kekal sebagai penduduk asal dan tuan kepada tanah air ini.

Ketuanan ini bukan bermaksud sebagai pemunya darjat dan kasta tetapi sebaliknya sebagai penjaga keharmonian dan pengikat kestabilan di dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Sejarah lampau telah mengajar tentang bagaimana bertang-gungjawabnya bangsa Melayu dalam menjamin kestabilan tanah air ini. Kita boleh lihat pada peristiwa kemerdekaan negara di mana ia dicapai tanpa berlakunya penumpahan darah.

Begitu juga dengan proses peralihan kuasa daripada Umno sebagai pemerintah lama kepada Pakatan Harapan sebagai pemerintah baharu, juga turut berlaku dalam keadaan aman dan lancar tanpa adanya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bangsa Melayu sebagai bangsa ‘pemangkin’ masih lagi memainkan peranan sama dari dulu hingga sekarang di dalam menjaga keharmonian dan kelestarian keamanan negara ini.

 Unsur ketiga ialah menjaga kedaulatan tanah air. Umno tidak akan sesekali menggadaikan tanah air dalam apa jua bentuk sekalipun daripada dijajah baik dalam bentuk lama mahupun moden.

 Kita percaya kepada konsep ‘menang-menang’ dalam kerjasama kerana ia mampu mempercepatkan pembinaan ketamadunan negara.

Pada kita, konsep kerjasama ini adalah baik tetapi mempunyai batasan tertentu.  Apa yang baik boleh dicedok dan diaplikasi berdasarkan suasana dan keadaan Malaysia

Namun segala kebobrokan perlu dikesampingkan dan ditolak secara tuntas. Pegangan ini membolehkan tanah air ini untuk bekerjasama dengan siapa sahaja namun jati dirinya sentiasa membugar.

Inilah tiga asas perjuangan Umno iaitu agama, bangsa dan tanah air. Perjuangan ini adalah asas utama dan menjadi pemangkin kepada keamanan dan kemakmuran negara ini. Keamanan selama lebih enam puluh (60) tahun yang dikecapi oleh kita semua adalah bukti kepada peranan dan perjuangan ini.

Kekalahan Umno pada PRU14 tempoh hari adalah merupakan peringatan kepada Umno untuk lebih memberi penumpuan dan kembali kepada asas perjuangan.

Dalam memantapkan lagi perjuangan ini, proses pengkaderan dan pentarbiahan akan menjadi agenda utama dalam mengembalikan dan memantapkan lagi perjuangan Umno ini demi bangsa, agama dan tanah air.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia