SATU Syawal disambut dengan penuh kesyukuran setelah beroleh kemenangan sebulan mengharungi tarbiah dalam Madrasah Ramadan. Kemenangan ini memberi makna yang luas dan erti yang besar dalam kehidupan kita sebagai insan yang bergelar hamba-Nya. Apa pun, sudah pasti Aidilfitri telah meletakkan mereka yang beroleh ketakwaan di tempat yang mulia di sisi ALLAH SWT.

Kini, pada saat hati telah mencapai ketakwaan, pastinya seorang Muslim yang bertakwa itu akan gembira melakukan ketaatan dan dengan senang hati meninggalkan segala larangan-Nya. Sudah tentu, dalam tempoh mencari keampunan Ilahi sepanjang Ramadan dengan mengharungi ujian dan kegetiran, segala jiwa dan raga telah diserahkan kepadaNya dengan penuh ketulusan dan ketaatan.

Namun, dalam ketulusan dan ketaatan itu, sebagai manusia yang tidak maksum sudah pasti kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan sesama manusia. Dalam berjaga-jaga, pastinya perkataan dan perbuatan kita akan ada yang menyakiti hati orang lain. Jika sudah melukai hati seseorang, ia bagaikan sebatang paku yang menancap pada sebatang kayu, walaupun sudah dicabut pakunya, tetapi ia tetap meninggalkan bekas.

Sebab itulah, kita seharusnya membiasakan diri untuk memohon dan memberi maaf agar hati yang terluka dek kerana perbuatan kita dapat diubati dan pada masa -sama hati kita juga akan dilimpahi kasih dan cinta. Malah, yang paling penting, dengan memaafkan kesalahan orang lain, sebenarnya dapat menguji tahap ketakwaan yang dicapai selepas sebulan mengharungi madrasah tarbiah ini. Ia menjadi bukti bahawa diri kita sudah benar-benar mencapai takwa kepada-Nya.

Tidak dinafikan, ego sering kali menjadi halangan utama dalam menyampaikan permohonan maaf atau memberi kemaafan. Walaupun kemaafan itu satu perkataan yang mudah, tetapi menjadi sukar apabila kemaafan menjadi ancaman kepada ego sendiri.  Sebenarnya, memberi atau meminta maaf dengan sepenuh hati tidak akan menjadikan kita lemah sebagaimana yang ditakutkan. Bahkan, ia membuktikan kekuatan luar biasa yang kita miliki untuk meminta maaf pada orang yang telah kita buat kesalahan dan memaafkan orang yang membuat kesalahan terhadap kita.  

Sebagai hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, seharusnya memaafkan kesalahan antara satu sama lain menjadi kunci kepada ketenangan jiwa. ALLAH SWT dengan jelas memerintahkan supaya kita saling maaf-memaafkan sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nuur ayat 22; “…dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya ALLAH mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Hakikatnya, setiap manusia akan merasai dan melalui kematian. Tetapi tiada siapa pun di antara kita yang tahu bilakah saat kematian akan tiba. Segalanya hanya dalam pengetahuan ALLAH SWT sama ada masa, tempat mahupun keadaan kita semasa nyawa dicabut keluar. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 35, “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.”

Oleh kerana tidak tahu bila saat ajal kita akan tiba, maka sebab itulah kita perlu bersegera meminta dan memberi kemaafan sesama insan supaya kita tidak muflis di akhirat kelak. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah berpesan dalam sabda Baginda, “Sesiapa yang mempunyai kezaliman pada saudaranya, maka hendaklah dia meminta halal pada saudaranya, kerana sesungguhnya di sana (akhirat) tidak ada (manfaat) dinar dan dirham sebelum kebaikannya diambil untuk saudaranya dan jika dia tidak mempunyai kebaikan; maka diambil (dosa) kejahatan saudaranya dan diberi kepadanya.” (Riwayat Bukhari)

Bahkan, ALLAH SWT menyebut dalam Surah at-Taghabun ayat 14 “Kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka ALLAH akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Justeru, tidak malukah kita dalam keadaan kita memohon keampunan daripada ALLAH ketika Ramadan, sebaliknya kita pula tidak boleh memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya, hadiah terbaik untuk orang yang kita sayangi adalah doa, tetapi hadiah terbaik buat insan yang menyakiti hati kita adalah kemaafan.

Moga-moga dengan memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita, ALLAH akan mengampunkan dosa-dosa kita.

Salam kemaafan. Minal ‘aidin wal faidzin.