JAWATAN adalah satu amanah dan tugas. Ia membawa erti satu tugasan yang perlu dilaksanakan bagi satu-satu tanggungjawab yang diberikan. Sering kali jawatan ini didatangi dengan tiga perkara utama iaitu pertama jenis tugasan perlu dilakukan, kedua ganjaran ataupun upah di atas perlaksanaan tersebut dan ketiga bidang kuasa dimiliki bagi sesuatu tanggungjawab.

Contohnya, seorang wakil rakyat dipilih bagi mewakili rakyat untuk sesuatu kawasan. Beliau bertanggungjawab untuk berkhidmat bagi rakyat di kawasan tersebut sebagai penghubung, pemudah cara, penyelesai masalah, berusaha membangunkan kawasan dan menjaga maruah dan integriti masyarakat setempat. Sebagai ganjaran bagi tanggungjawab ini, wakil rakyat tersebut layak untuk menerima gaji, elaun, peruntukkan dan apa sahaja kelayakan dikhaskan untuknya.

Beliau juga mempunyai bidang kuasa tertentu dikhaskan untuknya bagi membolehkan dan melancarkan amanah tanggungjawab. Gabungan perlaksanaan amanah yang baik dengan bidang kuasa yang diberikan melayakkan beliau untuk mengecapi nikmat ganjaran yang diperuntukkan.

Ada di antara kita beranggapan bahawa jawatan ini adalah satu kelebihan. Kita melihat kepada jumlah ganjaran dan bidang kuasa sebagai suatu keistimewaan. Penumpuan kepada aspek kedua dan ketiga iaitu ganjaran dan kuasa melangkaui aspek pertama iaitu tanggungjawab tugasan menyebabkan kita berfikir bahawa memperoleh sesuatu jawatan memberi kelebihan berbanding dengan orang lain.

Lantaran itu, peranan tanggungjawab dan taklifan menjadi kabur dan tidak sedar dengan amanah tugasan sebenar. Seolah-olah ganjaran dan kuasa adalah sinar terang yang menenggelamkan tanggungjawab dan peranan.

Namun ALLAH SWT memberi ancaman berkenaan beratnya bebanan sesuatu amanah. Firman ALLAH di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 72 bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh.”

Beratnya amanah ini hinggakan langit, bumi dan gunung-gunung tidak mampu dan tidak sanggup untuk menanggungnya. Namun manusia dengan kudrat terhad begitu berminat dengan amanah ini hinggakan ada yang sanggup berbohong, memanipulasi fakta dan menjual agama demi mendapatkan bebanan amanah itu.

Sekiranya, amanah tersebut gagal disempurnakan dengan sebaik mungkin maka itulah yang dinamakan ALLAH SWT sebagai manusia zalim dan bodoh. Zalim kerana gagal meletakkan amanah pada tempatnya dan bodoh disebabkan gagal memahami taklifan sebenar yang patut dipikul, bukan pada habuan yang patut dirangkul.

Harus diketahui bahawa jawatan ini boleh membawa kita kepada kemuliaan. Nama sentiasa meniti di bibir masyarakat tentang segala jasa dan peranan pernah dimainkan. Sehingga matinya disangka hidup hasil daripada segala kebaikan pernah dilakukan.

Kesan-kesan peninggalan menjadi bicara sebagai warisan serta harta kekal memberikan manfaat kepada yang hidup dan ganjaran kepada yang telah pergi. Namun kegagalan dalam melaksanakannya bakal menggadaikan segala maruah dan harga diri yang dimiliki. Akhirnya, ia bukan setakat meniti di bibir bahkan terpahat kekal di suratan sejarah.

Ketahuilah bahawa sesuatu jawatan itu adalah bukan suatu keistimewaan sebaliknya ia adalah taklifan atau tanggungjawab yang dibebankan pada kita untuk ditunaikan. Taklifan ini adalah kelebihan bagi seseorang yang sanggup mewakafkan dirinya dalam melaksanakan tugasan dengan penuh amanah dan dedikasi. Sebaliknya ia adalah bala dan malapetaka bagi mereka yang tidak punya amanah dan mempunyai matlamat lain di dalam memegang jawatan tersebut.

Justeru para pemimpin yang menawarkan diri mereka untuk dipilih rakyat dalam PRU14, harus sedar dan insaf bahawa jika terpilih kelak, mereka berdepan dengan tanggungjawab yang begitu berat di sisi ALLAH.

Semua bebanan amanah ini turut akan dipersoalkan di akhirat. Bahkan jika tidak tertunai di dunia ini pun akan turut dihukum dan dipersoalkan oleh rakyat. Moga ALLAH merahmati perjuangan kita untuk agama, bangsa dan negara serta sentiasa berada dalam hidayah-Nya.   

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)