SEORANG hamba ALLAH telah menghantar mesej peribadi ke Facebook penulis melahirkan rasa kekesalan terhadap fenomena yang berlaku di tempat beliau. Jemaah masjid di mukim beliau mula berpecah kepada dua, selepas sekelompok pemuda keras mempersoalkan bacaan doa selepas solat, qunut dan pelbagai amalan tradisi masyarakat yang disifatkan bidaah.

Bahkan bukan itu sahaja, malah kerap berlaku perselisihan antara ‘kaum tua’ dan ‘kaum muda’ dalam membawa masuk penceramah-penceramah jemputan sehingga akhirnya sebahagian jemaah tidak lagi mahu menghadirkan diri ke masjid.

Sememangnya fenomena seperti ini amatlah mendukacitakan. Apatah lagi melibatkan orang Islam yang sepatutnya mempunyai nilai toleransi tinggi dalam berbeza pendapat.

Sikap berlapang dada dalam masalah-masalah furuk atau cabang dalam agama dan perkara-perkara khilafiah atau yang masih terbuka kepada ruang perbezaan pandangan seharusnya menjadi asas penting dalam keperibadian mukmin.

Namun kecelaruan dan penyimpangan persepsi terhadap apa patut didahulukan dan dikemudiankan sering kali memerangkap umat kepada pertelingkahan yang jelas bertentangan dengan prinsip syariat.

Sebagai umat Islam, keutamaan patut diberikan kepada perkara-perkara kulliyyat atau pokok sebelum perkara-perkara juziyyat atau cabang. Yang dimaksudkan dengan perkara-perkara kulliyyat atau pokok termasuklah memperbetulkan dan memperkuatkan amalan yang melibatkan perkara-perkara fundamental dalam Islam terlebih dahulu seperti pemantapan aqidah, pengukuhan ukhuwah sesama Islam dan memperkemaskan aspek rukun-rukun Islam.

Selepas itu barulah mengajak kepada perkara-perkara lain yang melibatkan cabang-cabang iman dan makan-makam ihsan. Itu pun dalam hal-hal yang terbuka luas untuk umat berbeza pandangan yang tidaklah diperketat mahupun dipersulit.

Terjadinya fenomena pertelingkahan masyarakat Islam dalam masalah-masalah cabang agama terkait kepada ketidaksempurnaan kefahaman mengenai agama dan kurangnya nilai tasamuh atau berlapang dada dalam menyingkap perbezaan pandangan hingga mudah menjatuhkan hukum atas sesuatu.

Ini turut diungkapkan oleh Imam As-Syaatibi dalam kitabnya Al-Muwaafaqaat fi Usuul al-Syariiah, ketika menghuraikan gejala ekstremisme dalam agama yang bersangkutan dengan kejahilan terhadap tujuan-tujuan syariat dengan hanya mengagak-agak maknanya berdasarkan prasangka yang tidak tetap atau mengambilnya dengan sekali lintas, bukan dengan kematangan ilmu.

Fenomena seperti inilah yang melanda kaum Khawarij pada suatu masa dahulu yang dikenali sebagai golongan kuat beribadah namun keras dalam pandangan hingga sewenangnya mengkafirkan golongan yang berbeza pandangan dengan mereka.

 Namun Rasulullah SAW menyifatkan golongan ini yang terkeluar daripada agama sebagaimana terkeluarnya anak panah dari sasarannya kerana sabda Baginda SAW lagi: “Mereka membaca al-Quran tidak melewati tulang serangka mereka”.

 Maksudnya golongan ini hanya membaca al-Quran tetapi tidak memahaminya sampai ke lubuk hati. Ini kerana sesuatu kefahaman mestilah sampai ke lubuk hati, jika tidak maka hanya terhenti di tempat suara dan huruf sahaja.

 Tafsiran sebegini bertepatan dengan pandangan Ibnu ‘Abbas sebagaimana yang tercatat dalam buku Fadhaail Al-Quran karangan Abu ‘Ubaid. Pada satu hari Khalifah Umar Radiyallahu ‘anhu bertanya dalam hatinya: “Mengapa umat ini berselisih padahal Nabinya satu?”

Lalu baginda bertanya pada Ibnu ‘Abbas, katanya: “Mengapakah berselisih umat ini, sedangkan Nabinya satu dan kiblatnya satu?”

Maka Sa’id bin Manshur juga menambah: “Dan kiblatnya pun satu”. Maka jawab Ibnu ‘Abbas: “Ya Amirul Mukminin! Sesungguhnya telah diturunkan kepada kita al-Quran, maka kita membacanya dan mengetahui untuk apa ia diturunkan. Namun, kaum selepas kita membaca al-Quran dan tidak mengetahui untuk apa ia diturunkan, maka tiap-tiap kaum mempunyai pendapat sendiri; maka apabila terjadi yang demikian, berselisihlah mereka.”

Berkata Sa’id: “Adalah tiap-tiap kaum mempunyai pendapat sendiri, maka apabila tiap-tiap kaum mempunyai pendapat sendiri berselisihlah mereka, dan apabila mereka berselisih, bertempurlah mereka!”

Lalu Khalifah Umar menegurnya manakala Ali mengherdiknya, maka pergilah Ibnu ‘Abbas. Kemudian apabila Umar merenung dalam mengenai apa yang diperkatakan Ibnu ‘Abbas maka diminta diulangi pandangan tersebut.

Imam As-Syatibi dalam menghuraikan peristiwa ini, menjelaskan: “Apa yang dikatakan Ibnu ‘Abbas adalah benar kerana apabila seseorang mengetahui untuk apa diturunkan sesuatu ayat atau surah itu, maka tentunya ia mengetahui kedudukan, ta’wil dan maksudnya, maka tidaklah ia melampaui batas padanya. Tetapi apabila seseorang itu jahil untuk apa sesuatu ayat atau surah itu diturunkan, beberapa pendapat mungkin berlaku padanya.


* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)