MELAYU dan Islam adalah teras dan induk kepada pembinaan negara Malaysia. Nama kepada Malaysia juga terbina daripada perkataan ‘Malay’ atau Melayu. Lebih dari itu, ketamadunan dan peradaban asal negara ini dilakarkan oleh sejarah panjang perjuangan bangsa Melayu yang beragama Islam.

Sejak merdeka pada 1957 dan pembentukan Malaysia 1963, sekurang-kurangnya tiga teras dan induk utama menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu. 

Bahkan dari sudut politik, Umno yang pernah menjadi kerajaan kurang dari 100 hari yang lalu juga memusatkan ideologi perjuangannya kepada Melayu-Islam. Parti kerajaan seperti Bersatu dan pembangkang Pas juga menjadikan agenda Melayu-Islam sebagai asas perjuangannnya.

Oleh yang demikian, atas asas apa sebenarnya kita perlu apologetik atau menyesali seolah satu kesilapan menjadikan Melayu-Islam sebagai agenda perjuangan? Sehingga ada yang mengibaratkan perjuangan di era Malaysia baharu ini tidak boleh lagi terlalu ke kanan tetapi perlu ke tengah dan mungkin kadang kalanya perlu meraikan mereka-mereka yang berada di kiri.

Ada juga yang secara sinikal menggambarkan perjuangan Melayu-Islam telah berakhir. Lebih dahsyat lagi, memperjuangkan Melayu-Islam dianggap rasis dan ekstrem keagamaan. Sebenarnya tiada masalah dengan perjuangan Melayu-Islam, tetapi yang bermasalah adalah persepsi dan pendekatan perjuangan itu. 

Tiada yang perlu dikesali dengan idealogi Melayu-Islam kerana perjuangannya adalah untuk mempertahankan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa menafikan hak kaum dan agama lain. Apakah begitu teruk sekali sehingga membangkitkan kerisauan tentang ancaman terhadap apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan pun dianggap rasis dan ektremis atau teroris?

Sebenarnya kerisauan tentang Melayu-Islam tidak akan muncul sekiranya semua pihak menghormati dan memahami apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan pada setiap masa berusaha untuk mempertahankan asas-asas perlembagaan tersebut. Asas-asas yang ada dalam perlembagaan bukan sekadar untuk hiasan tetapi perlu didaulatkan pada setiap masa.

Pada fikiran penulis, orientasi atau pendekatan ideologi Melayu-Islam perlukan penyegaran yang selari dengan nilai universal kemelayuan dan tuntutan dalam ajaran agama Islam. Ideologi Melayu-Islam mesti diwacanakan dalam konteks baharu tentang tadbir urus, integriti dan amanah. Ini kerana rakyat dan generasi muda pada hari ini tidak lagi terikat dengan nilai dan konsep lama kefuedalan Melayu serta kepercayaan terhadap retorik Islam.

Rakyat mahukan keyakinan kepada idealogi Melayu-Islam itu dibuktikan dengan Islam yang wajah dan praktiknya adalah telus, mempunyai tadbir urus yang baik, anti rasuah dan beramanah. Manakala kemelayuan dijana oleh sifat jati diri yang merendah, bersederhana cara hidupnya, tidak ego dan sombong serta mendekati secara berterusan rakyat bawahan.

Kedua-dua bentuk wacana baharu ini apa hemat penulis mampu memberi kesegaran dan suntikan baharu kepada ideologi politik Melayu-Islam dalam kerangka demokrasi moden. 

Namun usaha ini memerlukan komitmen yang jitu dan mesti digerakkan berasaskan prinsip islah (pembaikan) dan tajdid (pembaharuan) kepada setiap rangka organisasi itu. Inilah sebenarnya boleh menjadi rencah kepada pengukuhan perjuangan Melayu-Islam dan bukannya membuang identiti dan mencari tapak baharu yang tidak jelas dan barangkali longgar teras dan asas tradisinya.

Islam adalah agama manakala Melayu itu menjaga nilai budaya, adat dan warisan peradaban bangsa. Namun kedua-duanya tidak kekal bermakna jika prinsip keIslaman tidak dihayati dan diamalkan. Begitu juga nilai kemelayuan hanyalah agenda retorik menyedapkan ucapan dan laungan.

Sesungguhnya tiada yang cacat pada asas Islam dan bangsa ini, cuma yang agak kekok bila lain yang diucap lain pula yang dibuat. Moga ALLAH merahmati perjuangan ini. 

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia