JUMAAT lalu penulis diundang untuk menjadi salah seorang ahli panel dalam Putrajaya International Security Dialogue 2018.

Forum dua hari yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kolaborasi Rabitah Al-Alam Al-Islami (Muslim World League) itu bertemakan Wisdom and Moderation in Countering Terrorism.

Pada forum tersebut, penulis diminta mengupas tentang Islam as a Instrument of Moderation and Security yang mahukan satu pencerahan tentang pendekatan Islam yang sebenar sebagai satu penyelesaian berteraskan hikmah dan prinsip wasatiyyah dalam menghadapi cabaran keselamatan dan membendung fahaman ekstremisme.  

Penulis berkongsi tentang pendekatan atau manhaj Islam Malaysia sebagai satu instrumen yang bersifat wasatiyyah dalam menghadapi cabaran keselamatan, khususnya di peringkat serantau Asia Tenggara dan global.

Dalam konteks tersebut, penulis melontarkan hikmah dan kaedah tersohor para ulama di rantau Nusantara iaitu al-Muhafazah ‘ala al-Qadim al-Salih wa al-Akhzu bi al-Jadid al-Aslah (mengekalkan tradisi yang baik dan menerima pembaharuan dan kemajuan yang lebih baik).

Al-Muhafazah ‘ala al-Qadim al-Salih iaitu mengekalkan tradisi, warisan dan asas silam yang baik bermakna komitmen yang telah dizahirkan oleh negara dan kerajaan Malaysia dengan menjadikan sultan dan raja negeri-negeri Melayu sebagai pelindung agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan.

Manakala akidah ahli Sunnah wal jamaah yang menjadi manhaj pegangan bagi umat Islam di Malaysia berjaya mewujudkan rasa toleransi dan kebersamaan hidup yang tinggi dengan bangsa dan agama lain. Hal ini ditambah dengan gabung jalin dan simbiosis hubungan yang serasi antara nilai budaya Melayu seperti ketaatan, lemah lembut, tolak ansur dan beradab dengan nilai Islam.

Keserasian nilai budaya Melayu dengan Islam itu terbukti dalam sejarah apabila kedatangan Islam di Melaka yang dibawa oleh pedagang Arab pada abad ke-15 yang lalu diterima baik.

Sifat para pedagang Arab yang berdakwah melalui perniagaan menjelaskan sifat mulia mereka sebagai perunding yang amanah dan tidak menggunakan kekerasan memikat hati para raja yang akhirnya menerima Islam.

Penerimaan Islam para raja yang bertukar gelar kepada sultan membawa bersama sekalian hamba rakyatnya memeluk Islam.

Akhirnya Islam berkembang pesat di rantau Nusantara sehingga melahirkan sebuah empayar yang kuat dan mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan kuasa besar empayar China.  

Kejatuhan yang dialami Kesul-tanan Melaka pada 1511 menyaksikan penjajahan dan penaklukan asing yang berpanjangan.

Namun kemunculan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia adalah manifestasi kepada pengekalan tradisi dan nilai warisan bagi memelihara Islam yang nuansa yang bertoleransi dan bersifat wasatiyyah.

Wa al-Akhzu bi al-Jadid al-Aslah iaitu menerima pembaharuan dan kemajuan yang lebih baik pula adalah kesediaan kita untuk menerima pembaharuan dan pemodenan tanpa merungkai asas tradisi, budaya dan agama.

Menerima pemodenan yang lebih baik adalah satu keperluan yang mendesak pada hari ini lantaran teknologi adalah satu instrumen baharu kehidupan, pemodenan adalah gaya hidup sofistikated yang menerima demokrasi sebagai sistem politik dan kebebasan hidup yang masih dibatasi dengan nilai budaya dan agama.

Kesemua teras ini sangat perlu bagi menjamin ketahanan semula jadi negara menghadapi ancaman asing sama ada dalam bentuk fizikal atau pun serangan budaya dan pemikiran.

Sesungguhnya Islam yang menjadi pegangan dan manhaj di Malaysia tidak mempromosikan Islam secara kulit atau retorik semata-mata.

Tetapi Islam yang diangkat sebagai satu agama telah menjadi satu nilai dan tradisi yang berakar sejak dahulu kala dan mempunyai persefahaman pendekatan yang sangat serasi dengan nilai budaya masyarakat Melayu.

Maka manhajnya juga mengandungi elemen hikmah, evolusi, holistik, ketamadunan dan mementingkan isi berbanding Islam yang dipromosikan secara retorik, radikal dan ekstrem.

Bersambung ...