ISLAM rahmatan Lil A’lamin dengan maksudnya bahawa Islam adalah rahmat bagi alam secara keseluruhannya. Kita sebagai Muslim memahaminya bahawa kedatangan Islam memberi kesejahteraan, keamanan, kesusilaan, ketenangan dan kelebihan bagi setiap makhluk di alam buana ini secara keseluruhannya. Sehinggakan tidak ada satu makhluk pun yang tidak merasai kerahmatan ini.

Kerahmatan ini dapat kita rasai di negara tercinta Malaysia apabila Islam menjadi pemangkin kepada keamanan negara. Ini bermakna dengan adanya Islam negara menjadi aman, rakyat menjadi sejahtera dan ekonomi menjadi stabil. Kerukunan ini menjadi punca toleransi dan kesepakatan sesama rakyat menyebabkan masyarakat secara keseluruhannya kelihatan satu.

Bagaimana Islam menjadi punca segala kebaikan? Ketahuilah bahawa Islam adalah agama yang merangkumi dua ‘horizon’ iaitu duniawi dan ukhrawi. Dunia ini adalah tempat di mana setiap daripada kita berusaha sebaik mungkin untuk mencari bekalan buat kehidupan kekal abadi di akhirat kelak. Segala tindak-tanduk kita akan dihukum berdasarkan baik buruk, halal haram dan dosa pahala yang kita lakukan.

Mungkin ada mempersoalkan bahawa keyakinan ini adalah lapuk dan kuno serta tidak sesuai untuk zaman era Malaysia baharu. Tapi ketahuilah bahawa ini adalah asas utama yang menyebabkan setiap daripada kita yang beriman biarpun sebesar zarah akan berhati-hati di dalam setiap tindak tanduk untuk menjauhkan perkara yang dilarang dan membuat segala yang disuruh.

Kerahmatan Islam ini akan dapat dirasai oleh setiap makhluk tatkala umat Islam mengamalkan segala perintah agama secara keseluruhannya. Dengan perintah dan amalan inilah maka rakyat di negara ini secara keseluruhannya mendapat manfaat dan kerahmatan.

Islam memerintah penganutnya menghormati satu sama lain sesama kita. Bahkan bukan setakat sesama manusia, juga kepada makhluk-makhluk lain baik berupa pokok dan pohon atau binatang dan haiwan. Contohnya di dalam situasi peperangan sekalipun, Islam tidak sesekali membenarkan tenteranya untuk merosakkan pokok dan harta awam mahupun membunuh haiwan-haiwan tanpa bersebab. Keadaan ini menjadi asas kerukunan dan keamanan bagi kita yang hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama.

Islam tidak menindas dan tidak menyekat agama-agama lain untuk dipraktiskan oleh penganut agama mereka. Bahkan perlembagaan negara ini juga tidak menghalang mereka untuk mengamalkan ajaran masing-masing. Pun begitu, ia tidak bermakna agama-agama lain mesti bersaing dan beradu untuk menjadi agama alternatif negara selain daripada Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa tatkala Islam mengambil alih Eropah, para penganut Kristian dapat hidup dan mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut dan malu sebagaimana diperlakukan sebelumnya. Mereka tidak dipaksa untuk meninggalkan ajaran mereka dan tidak jua dilarang untuk mengamalkan rutin agama masing-masing.

Inilah Islam agama pemangkin keamanan dan kesatuan. Dijaga segala hak penduduk dan masyarakat secara keseluruhannya. Rakyat yang dinaungi Islam adalah dipertahankan hak mereka di dalam memastikan kesatuan demi menjaga keamanan dan keselamatan keseluruhannya.

Namun, makna hak di sini adalah tidak bersifat ‘absolute’ tetapi terikat kepada ketinggian Islam itu sendiri bagi memastikan kerahmatannya sampai kepada keseluruhan makhluk. Contohnya, pengamal LGBT adalah tidak mempunyai hak untuk menuntut pengiktirafan kewujudan golongan mereka namun hak mereka sebagai manusia sentiasa dipertahankan oleh Islam.

Justeru bagi memastikan keamanan dan kerukunan hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini terus kekal, maka Islam sebagai agama negara wajib dipertahankan. Ini adalah kerana tunjang keamanan negara ini adalah terletak kepada Islam sebagai agama negara. Agama ini adalah untuk semua masyarakat Malaysia.

Kerahmatannya dirasai oleh setiap makhluk di bumi bertuah ini sama ada secara sedar ataupun tidak. Hakikatnya telah dirasai dan akan kekal dirasai, maka mempertahankan Islam sebagai agama negara adalah kewajipan kepada setiap insan bernama orang ‘Malaysia’.

 * Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia