UMUM mengetahui sejarah politik Islam bermula dengan pembentukan negara Madinah. Rasulullah SAW membawa risalah kenabian yang bersifat merangkumi secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan sama ada sebagai ketua agama, negara, ekonomi, diplomatik, peperangan, pendidikan, perundangan, sosial dan kekeluargaan.

Kewafatan Rasulullah SAW menandakan bermulanya perubahan politik Islam yang dicorakkan pengganti Baginda Abu Bakar al-Siddiq. Imam al-Mawardi menjelaskan dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa kepimpinan atau imamah ialah galang ganti kepada urusan kenabian bagi menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Konsep galang ganti ini melahirkan istilah khalifah yang bermaksud pengganti. Ketika menjadi khalifah pertama, Abu Bakar memakai gelaran Khalifah Rasulillah iaitu pengganti Rasulullah SAW. Khalifah yang kedua, Umar al-Khattab pula memulakan tradisi gelaran Amir al-Mukminin sehinggalah gelaran tersebut digunakan secara meluas oleh para pemimpin Islam seterusnya.

Manakala Khalifah Uthman dan Ali masing-masing melengkapkan tempoh pemerintahan Khulafa’ al-Rashidin yang menjadi pengganti kepada Rasulullah dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Pengakhiran kepada era Khulafa’ al-Rashidin adalah permulaan kepada era kerajaan berasaskan monarki dan pewarisan yang diasaskan Mu’awiyah bin Abi Sufyan di Damsyik dengan nama kerajaan Bani Umayyah. Tradisi monarki berterusan bersilih ganti dengan kemunculan kerajaan Bani Abbasiyyah di Baghdad, kerajaan Bani Umayyah di Sepanyol, kerajaan Mamluk di Kaherah dan kerajaan Uthmaniyyah di Istanbul.

Perubahan dalam evolusi pemerintahan dari konsep nubuwah dan khalifah kepada konsep monarki menunjukkan bahawa politik Islam bersedia menerima perubahan dalam amalan pemerintahan berasaskan keperluan dan tuntutan zaman.

Pengekalan politik Islam adalah pada penghayatan prinsip ‘menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama’ seperti digariskan al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qias ulama dan menerapkan elemen syura, bai’ah, keadilan, dan wasatiyyah secara bijaksana.

Penerimaan kepada perubahan ini juga membuktikan bahawa Islam bukanlah agama yang hanya menjadikan politik sebagai satu matlamat utama.

Sebaliknya, Islam menjadikan politik sebagai kaedah untuk membawa kepada kesejahteraan hidup manusia yang diredai ALLAH dunia dan akhirat. Kesejahteraan adalah pengisian kepada kehidupan yang perlu dicapai oleh umat Islam apabila sesuatu kerajaan dan negara itu berjaya dibentuk.

Bagi mencapai kesejahteraan ini, umat Islam menggembleng seluruh kekuatan dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, pertahanan dan kelestarian alam sekitar. Kesemua bidang ini berjaya dicapai umat Islam pada zaman tersebut, khususnya pada zaman kerajaan Bani Abbasiyyah yang berjaya membangunkan tradisi keilmuan dalam bidang sains, teknologi, seni bina dan perubatan. Kesemua tradisi ini berjaya membawa umat Islam maju ke hadapan dan membina tamadun yang unggul di Baghdad.  

Namun, kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah pada 1924 merupakan detik yang kritikal kepada Islam kerana pada tanggal tersebut umat Islam tidak lagi mempunyai institusi kuasa dan politik untuk bernaung. Pada saat itu juga kuasa besar Barat iaitu Perancis, Itali dan British mula membahagikan bekas wilayah-wilayah Uthmaniyyah kepada bentuk ‘negara bangsa’ yang bebas dan merdeka.

Maka lahirlah negara-negara baru Timur Tengah seperti Iraq, Syria, Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Libya. Pembentukan negara bangsa di Timur Tengah menyebabkan munculnya respons daripada umat Islam untuk mewujudkan kembali fungsi kekuasaan dan penaungan politik Islam yang ditinggalkan oleh kerajaan Uthmaniyyah.

Pada sekitar tahun 1922, Rashid Rida mula menggagas polemik institusi khilafah dan keperluan untuk mewujudkan kembali sistem politik Islam yang semakin lemah. Polemik ini berterusan apabila lahirnya gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang dipimpin Hasan al-Banna yang menyatakan perlunya dibentuk sebuah ‘negara Islam’ yang sebenar.

Gagasan negara Islam memuncak seiring dengan kelahiran gerakan Islam lain yang berinspirasikan Ikhwanul Muslimin. Dunia Islam dilanda gelombang kebangkitan dan kesedaran Islam. Kemuncaknya adalah pada kejayaan revolusi Iran 1979 yang membentuk negara Republik Islam Iran. Manakala negara-negara yang memperoleh kemerdekaan daripada penjajah mulai dituduh tidak mengamalkan Islam dan melaksanakan undang-undang penjajah.

Justeru, jika diperhatikan senario berlaku 100 tahun kebelakangan ini menunjukkan sebenarnya umat Islam banyak dipengaruhi oleh tema-tema terlalu bersifat politik. Apabila polemik negara Islam muncul, maka wacana pemikiran umat Islam terlalu dipengaruhi elemen dalam kerangka pemikiran politik. Akhirnya menyebabkan konflik sehingga berlaku kafir mengkafir sesama umat Islam.