SIKAP berlebihan dalam berpolitik sehingga mengganggu gugat asas dan kerangka kenegaraan adalah tindakan yang tidak boleh dibiarkan sama sekali.

Kemudaratannya mampu menyebabkan negara berdepan dengan krisis kepercayaan dan keyakinan khususnya dalam kalangan komuniti pelaburan asing dan antarabangsa.

Usaha berterusan pihak tertentu mensabotaj langkah kerajaan membangunkan ekonomi negara hanya menambah beban yang tidak sepatutnya berlaku.

Situasi ini umpama getirnya Saidina Ali menghadapi ancaman penderhakaan dari dalam oleh kumpulan Khawarij, tatkala sega-la usaha ditumpukan untuk memulihkan hubungan dengan Mu‘awiyah di Damsyik.

Dalam perjalanan ke al-Nah-rawan pada tahun 38 Hijrah, kumpulan Khawarij pimpinan Mis‘ar bin Fadaki al-Tamimi telah membunuh Abdullah bin Khabbab dan isterinya. Bagi kumpulan Khawarij, Abdullah dianggap antara individu yang terlibat dalam proses rundingan damai Majlis Tahkim antara Saidina Ali bin Abi Talib dan bekas Gabenor di Damsyik Mu‘awiyah bin Abi Sufyan.

Pembunuhan Abdullah adalah antara bukti yang menunjukkan bahawa kumpulan Khawarij tidak bersetuju dengan keputusan Saidina Ali menerima perundingan Majlis Tahkim.

Khawarij ialah kumpulan yang menentang dan memberontak kepada pemerintahan Saidina Ali sebagai Khalifah Islam yang ke-4. Ironinya, kumpulan ini juga yang menjadi penyokong kuat Saidina Ali dan berada dalam barisan tentera pada awal pelantikan beliau sebagai Khalifah.

Lantaran tidak bersetuju dengan keputusan Saidina Ali menerima proses perundingan Majlis Tahkim, kumpulan ini berhenti memberi sokongan, bertindak keluar dari kalangan penyokong dan barisan tentera serta lebih parah lagi melancarkan pemberontakan bersenjata.

Pemberontakan Khawarij bukan sahaja bersifat kekerasan bahkan persis menubuhkan sebuah ‘parti’ baharu dengan menggembleng sokongan dari umat Islam untuk menentang Saidina Ali sebagai Khalifah Islam yang sah.

Saat Saidina Ali berhempas pulas menyelesaikan kemelut politik dengan Mu‘awiyah di Damsyik akibat dari fitnah pembunuhan Khalifah Islam ke-3 Saidina Uthman bin Affan, beliau terpaksa berhadapan pula dengan pemberontakan yang dicetuskan oleh bekas penyokong dan ten-teranya sendiri.

Pembunuhan Abdullah menye-babkan Saidina Ali melancarkan peperangan terhadap kumpulan Khawarij di al-Nahrawan. Dengan kekuatan ketenteraan seramai 14,000 orang, Saidina Ali tidak menghadapi masalah besar untuk menumpaskan pemberontakan Khawarij.

Para sejarawan berpendapat kekalahan kumpulan Khawarij adalah disebabkan perpecahan dalaman kepada beberapa kum-pulan dalam saf kepimpinan mereka.

Namun, peperangan di al-Nahrawan bukanlah pengak-hiran kepada kumpulan Khawarij.

Pemberontakan mereka berterusan di beberapa kawasan di Kufah dan sekitar Sungai Dajlah. Tetapi peperangan di al-Nahrawan juga merupakan titik hitam kepada dendam kesumat yang menyebabkan wujudnya pakatan konspirasi untuk mensabotaj institusi Khulafa’ al-Rashidin dengan membunuh Saidina Ali.

Abdul Rahman bin Muljam al-Muradi merupakan individu yang terlibat dalam sabotaj bagi merancang pembunuhan tiga tokoh penting, iaitu Saidina Ali bin Talib, Mu‘awiyah dan ‘Amr bin al-‘As. Menariknya, Ibn Muljam ialah salah seorang bekas penyokong kuat Saidina Ali yang memberikan wala’ dan baiah kepada beliau. Ibn Kathir dalam karyanya al-Bidayah wa al-Nihayah mencatatkan keperibadian Ibn Muljam sebagai seorang ‘yang pada wajahnya ada kesan sujud’.

Catatan Ibn Kathir ini menyokong catatan lain oleh sejarawan Islam bahawa Ibn Muljam merupakan seorang ahli ibadah. Ini menunjukkan Ibn Muljam bukankah calang-calang individu. Beliau pernah menjadi utusan Khalifah Islam ke-2, Saidina Umar al-Khattab ke Mesir dan pernah menyertai tentera Islam dalam perang al-Qadasiyyah selain dikenali sebagai seorang ahli ibadah.

Tetapi kerana pemikiran dan kefahaman politik yang dangkal menyebabkan Ibn Muljam terje-rumus dalam slogan Khawarij ‘tiada hukum selain hukum ALLAH'. Namun dikatakan sebab lain Ibn Muljam merancang pembunuhan Saidina Ali adalah kerana dendam beliau untuk menuntut bela kematian 10 orang saudara kabilah mereka dalam peperangan di al-Nahrawan.

Pembunuhan Saidina Ali adalah perancangan rapi kumpulan Khawarij pimpinan Ibn Muljam supaya umat Islam terus berpecah, hilang sokongan dan keyakinan kepada institusi politik Khulafa’ al-Rashidin.

Episod ini sangat mendu-kacitakan kerana Saidina Ali bukan hanya seorang sahabat kanan Rasulullah SAW, bahkan lebih dari itu, beliau merupakan institusi penting kepada umat Islam. Bagi pihak Khawarij, pembunuhan Saidina Ali bukan sahaja satu sabotaj untuk menggagalkan perancangan negara yang diatur beliau tetapi juga untuk melunaskan dendam kesumat yang bersarang di jiwa.

Naratif penting sejarah Islam ini perlu diambil pengajaran kerana sebarang perencanaan  mensabotaj kepentingan negara tidak hanya merugikan pihak terlibat, malah kepentingan negara keseluruhan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • USAHA berterusan dalam memastikan komitmen kerajaan yang termaktub dalam Perlembagaan tetap diteruskan sejak kita merdeka lagi.
  • PEMBENTANGAN Bajet 2018 baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri bo-leh dilihat sebagai memenuhi kehendak Islam yang inklusif lantaran perancangan dan anggaran perbelanjaan negara untuk tahun hadapan itu dirangka berasaskan acuan maqasid syariah.
  • PEMBENTANGAN Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Jumaat lalu memperlihatkan olahan baharu dimensi keislaman dalam pengurusan ekonomi negara.
  • HARI ini, tahap kemampuan manusia untuk memproses maklumat dalam berkomunikasi sudah mencapai tahap yang mungkin pernah dianggap mustahil pada zaman dahulu. Situasi sedemikian telah menjadikan teknologi satu sumber ‘keajaiban’ yang mampu menghasilkan pelbagai idea rekaan bagi tamadun manusia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.