APABILA tiba Hari Raya Aidiladha, saban tahun kita sering mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as. Hakikatnya, nilai dan semangat pengorbanan Nabi Ibrahim ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dan memberikan inspirasi keimanan yang kekal abadi dalam lipatan sejarah umat Islam.

Jika diamati sejarah dan perjalanan ibadah haji itu sendiri jelas menzahirkan nilai-nilai ketakwaan kepada ALLAH SWT. Lihatlah bagaimana ALLAH mengabdikan legasi dari pengorbanan, kesabaran, serta reda Nabi Ibrahim as dan isterinya Hajar serta anak mereka Nabi Ismail as yang begitu patuh kepada perintah ALLAH untuk menjadi pengajaran kepada seluruh umat Islam. Baginda sanggup berpisah dengan isteri dan anak kesayangannya Ismail serta membawa mereka ke tanah Makkah yang kering kontang dan jauh dari tempat mereka menetap di Palestin, semata-mata kerana patuh kepada perintah ALLAH, sehingga Nabi Ibrahim as berdoa kepada ALLAH seperti yang dirakamkan dalam Surah Ibrahim, ayat 38:

“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (tanah suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

Pada hari ini kita sebagai umat akhir zaman yang setiap hari menyebut nama Baginda dalam solat sewajarnya menghayati bukan sahaja kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail dengan penuh keinsafan, bahkan mempelajari dan memaknai seluruh dimensi sejarah hidupnya yang sarat dengan nilai-nilai perjuangan.

Selari dengan semangat Aidiladha ini juga, apa yang dapat diambil pengajaran daripada peristiwa ini bukanlah semata-mata kepada perbuatan menyembelih Nabi Ismail atau ibadah korban umat Islam pada hari ini, akan tetapi seluruh episod kehidupan Baginda yang seutuhnya dipertaruhkan semata-mata untuk ALLAH SWT, hatta sanggup mempertaruhkan nyawa anak tercinta.

Lihatlah betapa tingginya tawakal dan pengorbanan para nabi demi memenuhi perintah ALLAH yang tidak akan sesekali mensia-siakan orang-orang yang patuh kepada-Nya dan sesungguhnya merekalah orang-orang yang paling banyak diuji, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

Daripada Sa’d bin Abi Waqqas, dia bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujiannya?” Baginda menjawab: “Para nabi, kemudian mereka yang mengikuti para nabi (iaitu para sahabat), kemudian mereka yang mengikuti para sahabat. Diuji seseorang itu berdasarkan agamanya (keimanannya). Maka jika agamanya kukuh, akan bertambah berat ujian. Manakala jika agamanya ringan, dia akan diuji berdasarkan agamanya (imannya) itu. Tidaklah ujian itu bersama dengan seseorang hamba sehinggalah ujian itu menyebabkan hamba itu berjalan di atas muka bumi tanpa membawa dosa (kerana ujian itu telah menghapuskan dosa-dosanya)”. Hadis sahih riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, at-Tirmizi dan an-Nasa’i.

Kesemua pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim as ini diabadikan oleh ALLAH sebagai ibadah haji yang menjadi salah satu Rukun Islam yang agung. Bahkan ibadah haji juga menuntut pengorbanan umat Islam dari segi harta, masa dan tenaga untuk melaksanakannya. Firman ALLAH dalam Surah al-Hajj, ayat 27:

“Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”.

Justeru, ibadah haji bukan semata-mata ibadah ritual atau hanya sebagai menunaikan tanggungjawab yang difardukan. Bahkan setiap perlakuan haji memiliki ibrah dan pengajaran yang perlu untuk kita terjemahkan nilai dan prinsipnya dalam kehidupan. Semoga kita sama-sama memahami hakikat ini dan lebih menghargai serta merasai betapa agung dan besarnya ibadah yang menyatukan umat Islam seluruh dunia ini.