GURU merupakan pendidik yang memikul tugas mulia dan sentiasa diyakini sebagai orang yang memiliki ketinggian ilmu, baik akhlak dan tingkah laku, mempunyai jiwa yang suci bersih, bertanggungjawab dan penuh kasih sayang.  

Dalam Islam, guru bukan sahaja sebagai penyampai ilmu (mualim) dan pengajar (mudarris), bahkan guru berupaya membentuk akhlak (muaddib) dan menjadi orang yang menunjukkan jalan yang benar (mursyid) kepada para pelajar. Lebih penting daripada itu, guru adalah seorang murabbi yang bertanggungjawab memperbaiki dan memimpin umat dalam pelbagai aspek.

Sebagai seorang murabbi, jiwanya perlu disulami dengan ciri-ciri pembimbing, pendidik dan perasaan sentiasa ingin menasihati dalam mentadbir pelajar untuk membentuk akhlak dan peribadi mereka. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan penuh kasih sayang dan berhikmah.

Lebih penting lagi, kesucian profesion yang melibatkan proses transformasi ilmu pengetahuan ini perlu sentiasa dipelihara dengan baik. Sebab itulah, untuk menjadi seorang murabbi yang diberkati ALLAH, seorang guru mestilah menjaga akauntabilitinya. Secara umumnya akauntabiliti ini merujuk kepada tanggungjawab seorang guru dalam setiap perkara yang dilakukannya mahupun hasil kerjanya, yang mana ia mesti dilakukan dengan ikhlas.

Keikhlasan dalam melaksa-nakan tanggungjawab ini menjadi amat penting kerana guru me-mikul amanah besar dalam pembentukan modal insan yang menjadi faktor terpenting dalam proses pembangunan tamadun dan penyebaran misi ketuhanan.  

Jika disingkap kembali sejarah awal Islam, misi menyampaikan risalah ALLAH SWT dimulakan Nabi Muhammad SAW dengan memfokuskan program pembinaan kelompok teras berkualiti yang menjadi tulang belakang perjuangan membina umat yang bermaruah dan bertamadun.

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik seorang murabbi agung yang telah berjaya melahirkan sejumlah tokoh besar di persada dunia. Dalam program tarbiah nubuwah yang dipelopori Baginda, ketokohan para sahabat ditonjolkan dengan penuh keterampilan dan setiap daripada mereka memiliki keunggulan dalam bidang yang pelbagai.

Ada yang berjaya menonjol sebagai ahli korporat seperti Abdur Rahman bin Auf RA, manakala Khalid al-Walid RA pula menjadi panglima yang paling digeruni di medan perang.

Ada pula yang memikul amanah sebagai diplomat seperti Muadz bin Jabal RA, bahkan ada yang dikhususkan untuk menekuni ilmu seperti Muawiyah Abi Suffian RA, Zaid bin Tsabit RA, dan Ali bin Abi Talib RA.

 Mereka semua lahir daripada madrasah pendidikan Rasulullah SAW yang bukan sahaja menitik-beratkan pembinaan kekuatan kerohanian dan sahsiah seseorang, malah potensi mereka digarap berasaskan kecerdasan intelektual, kemampuan emosi, dan kekuatan fizikal masing-masing.

Sebab itulah dalam misi besar memartabatkan umat dan membina tamadun gemilang, guru perlu menjadi seorang murabbi yang berupaya melahirkan insan berkepakaran dan berkemahiran supaya dapat disalurkan dalam pelbagai sektor dan bidang yang bermanfaat.

Selain itu, Rasulullah selaku pendidik dan pemimpin yang bersifat murabbi cukup mengenali potensi para pengikut baginda yang dikembangkan dengan sebaiknya supaya memberi manfaat kepada agenda pemartabatan umat secara keseluruhannya. Tuntutan wahyu Ilahi melalui al-Quran turut membantu Rasulullah dalam memperkembangkan potensi setiap individu melalui pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan umat.

Justeru, selaras dengan tema hari guru pada tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa, peranan guru sebagai murabbi dalam memperkasa modal insan bukan sekadar proses menyumbat ilmu atau mengasah bakat kemahiran semata-mata, tetapi lebih kepada proses penyemaian ilmu dan pembentukan cara fikir insan berteraskan akhlak dan nilai adab yang berpandukan nilai keagamaan yang tinggi.

Kita  hanya akan membangun-kan generasi pewaris yang arif ilmu dan berkemahiran tetapi tandus akal budinya sehingga wataknya menjadi robot-robot bernyawa tanpa etika dan akhlak manusiawi, sekiranya pembangunan ilmu dan keterampilan ini dilakukan dengan menafikan kepentingan nilai dan akhlak.

Hakikatnya, tugas sebagai seorang guru bukan sekadar profesion semata-mata, tetapi merupakan perjuangan membina generasi pewaris masa hadapan. Moga segala pengorbanan dan jasa para guru yang telah disumbangkan beroleh pahala jariah yang kekal berpanjangan.