KEBANGKITAN Islam adalah istilah penting yang digunakan oleh para sejarawan bagi merujuk kepada sejarah perkembangan Islam pada abad ke-20. Dalam erti kata lain, kebangkitan Islam adalah satu gelombang yang berlaku disebabkan faktor penjajahan, campur tangan asing dan proses pembaratan yang berlaku di hampir keseluruhan pelosok dunia Islam.

Lantaran itu, umat Islam terdedah kepada budaya dan cara hidup Barat yang mengikis tatacara hidup keislaman seperti yang diamalkan oleh umat Islam sebelumnya. Kebangkitan tamadun Barat yang berlaku sejak berjayanya revolusi perindustrian yang pertama pada 1760 memangkinkan bersama nilai dan budaya hidup kebaratan. 

Umat manusia didedahkan dengan amalan budaya kebaratan dalam semua aspek seperti pakaian, bahasa, makanan dan yang pa-ling penting adalah pemikiran. Terdapat tiga asas utama yang dapat membangunkan tamadun manusia dengan sempurna. Pertama agama, kedua bahasa dan ketiga budaya. Ketiga-tiga asas inilah yang berjaya membentuk tamadun Islam di Andalus, Baghdad dan Istanbul menjadi satu kuasa besar dunia yang disegani pada suatu ketika dahulu.   

Namun, kebangkitan tamadun Barat yang berjaya keluar dari zaman gelap kepada zaman revolusi perindustrian tidak ditandai asas yang pertama iaitu agama. Ironinya, kebangkitan tamadun Barat hanya disertai dengan asas bahasa dan budaya serta melakukan peminggiran kepada aspek penerapan agama dalam proses pembangunan. Agama dianggap sebagai candu yang melemahkan dan membantutkan proses berfikir. Tamadun Barat jugalah yang mencipta istilah sekular yang memisahkan hubungan antara agama dengan kehidupan, kenegaraan dan pembangunan.  

Bentuk tamadun sebeginilah yang turut memerangkap umat Islam dalam beberapa abad yang lalu sehingga kini. Tamadun Barat mengepung minda umat Islam dari segenap sudut. Paling ketara adalah sudut pemikiran dan idea. Mahu tidak mahu, dunia Islam kini terpaksa akur kepada idea politik dan ekonomi yang dipromosikan tamadun Barat seperti konsep demokrasi dan pasaran bebas.  

Meskipun begitu, dalam konteks keterbatasan dan keterperangkapan dalam belenggu pemikiran Barat, dunia Islam cuba bangkit. Kebangkitan ini dipelopori dengan agenda islah (pembaikan) dan tajdid (pembaharuan) yang berlangsung pada setiap abad. Dalam hadis yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya ALLAH akan membangkitkan bagi umat ini di setiap permulaan kurun (setiap seratus tahun), orang-orang yang memperbaharui urusan agama mereka". 

Maksud ‘orang yang memper-baharui urusan agama’ dalam hadis tersebut merujuk kepada tokoh-tokoh yang mempelopori usaha dakwah dan memupuk kesedaran Islam dan peri pentingnya umat Islam bangkit kembali. Antara yang terkenal termasuklah Hasan al-Banna di Mesir, Said Nursi di Turki, Abu ‘Ala Maududi di Pakistan dan Hamka di Indonesia. Kemunculan tokoh-tokoh ini mengisi ruang kesedaran umat Islam untuk kembali kepada Islam dan bangkit semula sebagai sebuah tamadun yang berjaya.  

Sekitar tahun 1960-an hingga 1990-an adalah zaman dan era di mana umat Islam cuba menterjemahkan gelombang kebangkitan dan kesedaran Islam menjadi satu realiti. Tetapi cubaan untuk menterjemahkan aspirasi kebangkitan dan kesedaran Islam berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran kerana orientasi dan pendekatan yang digunakan juga banyak tertumpu kepada aspek politik dan revolusi semata-mata. Di Iran misalnya, umat Islam di sana yang bermazhab Syiah berjaya menumbangkan rejim Shah Iran melalui revolusi yang dicetuskan pada 1979. 

Kejayaan revolusi Iran 1979, menjadi satu model kepada keba-nyakan umat Islam yang mengambil semangat dari kejayaannya. Mes-kipun begitu, ramai juga yang tidak menyedari bahawa kejayaan menumbangkan sebuah rejim dan membangunkan rejim yang baru adalah satu tindakan yang drastik, revolusi sifatnya serta tidak keseluruhannya menepati kehendak maqasid syariah dan konteks realiti negara yang lain. 

Bersambung minggu hadapan...