DALAM dunia hari ini, ketenangan merupakan satu perkara yang amat mahal harganya. Ada saja ujian yang meragut ketenangan hati kita. Lumrahnya, manusia akan sentiasa diuji dari pelbagai sudut, sama ada melalui ekonomi, kesihatan, hubungan sesama manusia mahupun musibah alam. 

Kajian demi kajian yang dijalankan mendapati masyarakat sekarang ramai yang mengalami gangguan kesihatan mental. Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh National Health and Morbidity mendapati 1.8 peratus daripada populasi penduduk Malaysia mengalami tekanan hidup  dan sekurang-kurangnya 40 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Tambah mengejutkan, pada 2020 penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi yang dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung. 

Penemuan-penemuan ini bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi menjadi petunjuk bahawa kita perlu berbuat sesuatu. 

Realiti kehidupan masyarakat hari ini, dalam kesibukan mencari harta, tanpa disedari kita meminggir dan abaikan urusan jiwa. Memburu kesenangan dan berlumba-lumba mengumpul harta benda dijadikan fokus utama berbanding mencari ketenangan hati.

Hakikatnya, Islam tidak menghalang kita untuk mencari kemewahan, tetapi ia bukanlah matlamat hakiki. Namun, hari ini berapa ramai yang memiliki kesenangan tetapi hidup tiada ketenangan. Ada orang punya rumah besar, kereta mewah, tetapi sempit jiwanya dan gundah gulana. Akhirnya, membawa kepada perpecahan keluarga, keruntuhan akhlak dan ada yang mengambil jalan mudah dengan bunuh diri. 

Melihat kepada fenomena ini, jelas menunjukkan bahawa semua gangguan jiwa sebenarnya berpunca dari hati yang tidak tenang. Mengapa? Sebab utama hati menjadi tidak tenang adalah kerana tujuan hidup sudah tersasar daripada hakikat penciptaan manusia yang sebenar.

ALLAH menciptakan kita tidak lain dan tidak bukan untuk beribadah kepada-Nya dan menjadi khalifah yang mengatur serta memberi kebaikan kepada alam ini. Sekiranya tujuan hidup ini terpesong dari landasan sebenar, maka kita dengan sendiri menempah penderitaan.  

Menyedari hakikat ini, sebagai umat Islam yang beriman kita perlu segera kembali kepada apa yang telah disyariatkan. Jika kereta rosak, kita akan segera mencari mekanik untuk memperbaikinya. Apatah lagi jika kesihatan hati terjejas, maka perlulah segera dirawat kerana hamba yang paling mulia di sisi ALLAH adalah orang yang paling bertakwa, dan takwa itu tempatnya di hati. 

Rasulullah SAW pernah mena-sihatkan kepada kita, “Sesungguhnya ALLAH tidak memandang kepada rupa kalian, juga tidak kepada harta kalian, akan tetapi Dia melihat kepada hati dan amal kalian.” Hadis Riwayat Muslim.

Kaedah untuk memiliki hati yang tenang sudah disyariat dan diajarkan melalui al-Quran dan as-Sunnah. Al-Quran telah menjelaskan kepada kita, ketenangan dan kesucian hati akan diperoleh dengan ketaatan dan ibadah. Kerana, iman boleh luntur dan tercemar dengan noda dan kekotoran. Maka ia perlu sentiasa diperbaiki dengan ibadah dan ketaatan.

Dalam Surah Ar-Ra’d : 28 ALLAH SWT dengan jelas memberikan penawar yang efektif untuk mengubati penyakit hati, “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH (zikrullah). Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH-lah hati menjadi tenteram.” 

Bahkan, jiwa dapat disucikan dengan meninggalkan dosa-dosa dan kemaksiatan yang boleh mengotori hati. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki ALLAH kebaikan maka ALLAH akan fahamkan dia tentang ilmu agama.” Maka, carilah semangat untuk menambah ilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama dan tidak cukup dengan itu, kita perlu mengamalkannya. 

Sungguh beruntung orang yang membersihkan jiwanya dari noda dan dosa dan sungguh sengsara orang mengotori hatinya. Sucikanlah hati kita dari noda dan dosa kerana ALLAH memuliakan orang yang suci hatinya sebagaimana firman ALLAH, “(iaitu) pada hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap ALLAH dengan hati yang bersih.” - Asy Syu’ara’: 88.

Hakikatnya, ALLAH jua yang berhak membolak-balikkan hati manusia. Justeru, perbanyakkan doa kepada ALLAH SWT dengan memohon dikurniakan kesucian hati. Rasulullah SAW mengajar kita untuk sentiasa meminta kesucian hati. Antara doa yang diajarkan Baginda, “Ya ALLAH, berikanlah kepada jiwaku sifat takwa, sucikanlah ia, Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya, Engkaulah yang membantu jiwa itu dan mentadbir urusannya.” Hadis sahih riwayat Muslim.

Sesungguhnya ketenangan dan kesucian hati kunci kebahagiaan di dunia dan akhirat.