BAHANG PRU14 makin terasa. Pelbagai pihak mula memfokuskan gerak kerja ke arah meraih sokongan politik daripada rakyat di bawah.

Umum mengetahui bahawa berpolitik dalam Islam adalah sesuatu yang dituntut demi untuk menjaga urusan agama dan mentadbir urusan keduniaan dengan prinsip agama.

Namun politik juga adalah suatu yang bersifat fleksibel, berubah mengikut zaman dan keperluannya. Pada suatu ketika dahulu politik Islam mengamalkan sistem khilafah dan monarki.

Tetapi perubahan landskap dunia juga menyaksikan politik Islam bergelut pula dengan slogan untuk menubuhkan negara Islam.

Maka habislah segala hujah dikeluarkan semua pihak untuk mempertahankan hujah betapa Islam perlu kepada sebuah negara yang benar-benar Islam sifat dan bentuknya. Tidak kurang juga pihak yang mempertahankan bentuk dan wadah negara sedia ada seperti Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Ironinya hujah dan omongan untuk menubuhkan negara Islam kian sepi. Hakikatnya juga kerangka kenegaraan dan demokrasi yang sedia ada ini juga yang digunakan untuk bertanding dalam pilihan raya dan percubaan untuk mendapatkan kuasa yang sah.

Tetapi yang menariknya, mana-mana pihak amat petah dan tegar melakar pidato di pentas ceramah berbau agama, membaca potongan ayat al-Quran dan hadis yang kemudiannya diselang-seli dengan maki hamun, sumpah seranah dan membuka aib serta kekurangan orang lain.

Pada era yang serba canggih ini, kelakuan seperti ini terus melebar di laman-laman sosial Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp. Persoalannya adakah ini yang dinamakan politik Islam? Politik dalam Islam penuh dengan akhlak, pertimbangan akal budi, ukhuwah dan ketinggian personaliti.  

Malangnya jika empat elemen tersebut tidak diterapkan ketika berpolitik, maka yang terhasil daripada akibat berpolitik hanyalah sengketa sesama Islam dan sesama manusia.

Tuduh menuduh, fitnah memfitnah menggunakan kata kesat, jolokan tidak sedap didengar dan sindiran tajam hanya menyebabkan yang mendengar dan mendapat berita sakit hati.

Akibatnya wujudlah jurang ukhuwah yang luas sesama Islam, jurang kejauhan kemanusiaan sesama manusia dan lebih serius lagi ada pihak yang terlibat menanggung dosa akibat fitnah dan permusuhan.

Sepatutnya berpolitik perlu ditandai dengan etika dan garis panduan yang jelas. Para ahli politik dan hulubalangnya tidak boleh menghentam peribadi orang lain.

Sebaliknya perlu memberi tumpuan untuk menjelaskan kepada rakyat dan orang awam tentang gagasan dan visi yang hendak dibawa kepada rakyat dan untuk negara.

Menjadi satu yang lumrah apabila yang dilaungkan hanyalah cabar mencabar, memperlekehkan orang lain dan menyerang peribadi secara tidak sihat sehingga menjejaskan air muka kaum keluarga dan sanak saudara terdekat.

Akhirnya maka berlakulah sengketa yang berpanjangan antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Sepatutnya mereka yang terlibat dengan dunia politik lebih berjiwa besar dan belajar menghormati sensitiviti serta hak peribadi orang lain.

Bahkan apa yang perlu difokuskan adalah tentang gagasan, rancangan, misi dan visi yang mahu dibangunkan jika diberi peluang untuk mentadbir.

Menggelakkan berlakunya sengketa antara umat Islam kerana faktor politik adalah suatu yang wajib.

Umat Islam tidak boleh dibiarkan berpecah hanya kerana disebabkan perbezaan fahaman dan pendekatan politik.

Politik perlu dianggap sebagai satu cabang yang boleh mengangkat darjat umat Islam menjadi umat yang terbaik dan bukannya satu cabang yang membawa kepada permusuhan dan persengketaan.  

Politik adalah satu cara bagi umat Islam mencari penyelesaian terbaik tentang masa depan mereka. Menuju ke arah itu, akan ada pelbagai pandangan dan pendirian yang tidak pernah sama antara satu dengan lain.

Tetapi kepelbagaian fahaman dan pendirian itu perlu diurus dengan baik agar tidak memecah-belah ukhuwah.

Ini kerana sampai bila pun tidak akan ada semua pihak yang bersetuju dengan satu pandangan. Di sinilah Islam menganjurkan untuk berlapang dada dan menghormati orang lain demi kerukunan hidup atas dasar ukhuwah dan akhlak.