HARI ini, tahap kemampuan manusia untuk memproses maklumat dalam berkomunikasi sudah mencapai tahap yang mungkin pernah dianggap mustahil pada zaman dahulu. Situasi sedemikian telah menjadikan teknologi satu sumber ‘keajaiban’ yang mampu menghasilkan pelbagai idea rekaan bagi tamadun manusia.

Dalam masa yang sama, fenomena penularan maklumat dalam dunia tanpa sempadan ini menyebabkan kepercayaan kita seolah-olah bertuhankan teknologi.

Apa sahaja yang disebarkan melalui laman sosial menjadi sesuatu yang mutlak hinggakan ada pandangan mufti yang mem-babitkan  hukum agama diremehkan begitu sahaja, semata-mata kerana pandangan tersebut tidak secocok dengan inspirasi individu yang dijadikan sebagai idola. Bahkan,  masyarakat dengan mudah mula cenderung untuk berpolemik dengan perkara tersebut.

Seharusnya dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga maslahat umum kerana ia adalah lebih penting dan perlu diutamakan. Bukannya sewenang-wenang taasub dengan ‘fatwa-fatwa’ ustaz laman sosial yang dengan mudah diangkat sebagai ulama berautoriti dek kerana popularitinya hingga menafikan pandangan lain.

Keadaan ini hanya akan mencetuskan kekeliruan, kekeruhan dan polemik yang tidak menguntungkan, bahkan boleh menjadi fitnah kepada kesucian agama Islam.

Menurut konsep siasah syariah, pemerintah diberi kuasa mengatur kemaslahatan dan menjaga kepen-tingan umum dalam negara sesuai dengan keadaan semasa dan tuntutan setempat dengan syarat tidak bercanggah prinsip dasar agama Islam.

Manakala, dalam konteks negara hanya mufti yang dilantik secara sah oleh sultan sahaja yang mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa. Struktur institusi agama ini seharusnya perlu dihormati dan diterima oleh semua pihak.

Hal ini sejajar kaedah fekah yang masyhur, bahawa: “Keputusan (atau fatwa) hakim atau mufti (yang dilantik pemerintah) mengangkat segala perbezaan pandangan.”

Ini bermakna sebarang hukum yang dikeluarkan oleh individu tidak kira apa statusnya, sama ada ulama sehinggalah kepada penceramah agama akan kekal sebagai pandangan individu yang tidak memberi apa-apa kesan perundangan.

Dari segi struktur perundangan negara, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa agama Islam terletak di bawah sultan dan kerajaan negeri.

Maka sesuatu pandangan agama hanya sah dan mempunyai kesan perundangan apabila telah diputuskan oleh mufti yang selalunya dibahaskan secara jemaah dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri (ijtihad jamaie) sebelum dibawa kepada sultan yang menjadi ketua agama di negeri.

Apabila diperkenankan oleh sultan dan diwartakan, barulah fatwa itu sah, mempunyai kredibiliti dan mengikat dari segi perundangan.

Dalam hal ini, semua pihak perlu berlapang dada menerima perbezaan pandangan dan memberi kepercayaan kepada mufti serta tidak membuat tanggapan bahawa mereka saling bertentangan jika terdapat perbezaan.

Rasulullah SAW sudah menya-takan dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, “Apabila seorang hakim/mufti menghukumi satu perkara, lalu berijtihad dan benar, maka dia berhak mendapat dua pahala. Dan apabila dia menghukumi satu perkara, lalu berijtihad dan salah, baginya satu pahala”.  Kedua-duanya benar.

Sebab itulah dalam soal hukum, kita perlu merujuk kepada mufti kerana prinsip Islam mengajar kita supaya jangan taasub hingga menafikan atau meremehkan pandangan yang lain dalam menerima sesuatu pandangan.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam negara berbilang agama dan bangsa, perlu memahami hakikat ini dengan jelas bagi memastikan keharmonian hidup bersama dapat dipertahankan.

Khusus kepada umat Islam, kefahaman ini mampu mengelak kita daripada terus berbalah dan berpolemik dalam perkara khilaf yang akhirnya bukan sahaja menimbulkan kacau-bilau, bahkan merugikan umat Islam itu sendiri.