ISLAM bukanlah agama ritual semata-mata tetapi agama yang mengandungi sistem kehidupan yang syumul dan menyeluruh.

Menghayati dan mengamalkan ajaran Islam tidak cukup dengan hanya mengaku beriman kepada ALLAH dan Rasul, melaksanakan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji tetapi ajaran Islam juga menganjurkan agar umatnya menjaga aspek hubungan persaudaraan sesama manusia dan hubungan dengan ALLAH.

Islam juga adalah agama yang sentiasa relevan mengikut perubahan masa dan zaman. Oleh yang demikian, Islam tidak bersifat jumud dan tidak kaku, bahkan Islam adalah agama yang menerima kemajuan dan pemodenan.

Perubahan sistem kehidupan hari ini yang serba pantas dan maju juga perlu melalui proses penyesuaian dengan prinsip Islam.

Media sosial sebagai contoh adalah satu instrumen atau alat yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan umat Islam.

Tetapi media sosial juga boleh menjadi instrumen yang menjerumuskan umat Islam ke dalam kancah keburukan dan akhirnya tergolong dalam golongan orang yang disebut sebagai 'muflis akhirat'.

Pelbagai aplikasi media sosial hari ini seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter boleh memberi manfaat kepada umat Islam jika digunakan dengan cara yang betul untuk kebaikan dakwah, melancarkan urusan seharian dan juga kemakmuran ummah.

Tetapi awas, media sosial juga mampu menjadi instrumen yang memecah-belahkan ummah dan menghancurkan perpaduan sesama manusia.

Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A: “Tahukah kalian siapa yang disebut dengan orang yang muflis?”

Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”

Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditompokkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka”

Inilah realiti kehidupan umat pada hari ini. Kita berada pada zaman di mana kita mudah tercampak ke kancah muflis akhirat jika kita bersikap suka mengata dan memaki hamun dengan pelbagai tuduhan di media sosial.

Tidak kurang juga jika kita suka menyindir, memperlekeh dan menyakiti hati orang lain dengan pelbagai tujuan ingin menegakkan kebenaran, mengangkat kumpulan kita dan memastikan orang lain berpecah belah kerana kita.   

Keghairahan menyebar fitnah dan mengadu domba ini seakan menjadi satu trend di media sosial pada hari ini.

Apatah lagi dengan keadaan setiap dari kita yang mempunyai telefon bimbit dan juga mempunyai pelbagai kumpulan WhatsApp, akaun Facebook dan Instagram yang sebenarnya jika tidak dikawal dengan iman dan takwa yang baik, hanya akan menjerumuskan kita menjadi muflis akhirat.

Sebab itulah, umat Islam wajib menghayati ingatan dan seruan yang disabdakan Rasulullah SAW dalam hadis tersebut kerana segala ketaatan kita kepada ALLAH dengan amalan khusus solat dan sebagainya seakan sia-sia jika terdapat pula amalan buruk dan dosa yang menjadi perhitungan di akhirat kelak yang menyebabkan kita boleh dicampakkan ke neraka.

Justeru, dalam dunia hari ini yang serba maju dan moden, marilah kita memanfaatkan media sosial untuk kemaslahatan Islam dan menjauhi dari amalan yang boleh membawa kepada muflis akhirat.

Kerana kelak nanti semua amalan kita akan hilang begitu sahaja dek kerana keghairahan kita menjadi mata rantai kepada fitnah dan perpecahan ummah ketika di dunia ini.