KEPIMPINAN adalah satu wilayah amanah yang sangat berat. Hanya pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawab dengan baik dapat kekal sebagai pemimpin yang berkualiti dan memenuhi ciri-ciri yang diredai oleh ALLAH SWT.

Namun, seorang pemimpin tidak mampu menjadi pemimpin yang berkesan secara berseorangan tanpa bantuan dan sokongan orang-orang yang dipimpinnya. Kaedah ini adalah satu lumrah dalam dunia kepemimpinan hari ini sama ada dalam konteks politik, masyarakat, institusi sosial, jabatan kerajaan bahkan dalam institusi kekeluargaan.

Dalam Surah Ali-Imran ayat 118, ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang yang di luar daripada kalanganmu sebagai orang kepercayaanmu (bitonah), kerana mereka tidak akan berhenti untuk menyusahkan kamu.

Mereka mengharapkan kehancuranmu. Sesungguhnya telah nyata kebencian daripada mulut mereka dan apa yang tersembunyi di hati mereka adalah lebih jahat. Sesungguhnya telah kami terangkan kepadamu ayat-ayat kami jika kamu mengerti.”

Dalam ayat tersebut ALLAH SWT menggunakan istilah bitonah yang bermaksud orang kepercayaan. Secara mudahnya, orang kepercayaan kepada pemimpin ialah setiausaha dan pegawai yang dilantik daripada kalangan yang dipercayai untuk melancarkan urusan pentadbiran, dasar dan wawasan seseorang pemimpin sehingga ke peringkat rakyat bawahan.  

Untuk menterjemahkan dasar dan wawasan tersebut, pemimpin perlu mempunyai khalayak yang menyokong dan mendukung usaha beliau sebagai seorang pemimpin. Di sinilah wujudnya jaringan interaksi yang intim antara pemimpin, orang kepercayaannya dan para penyokongnya.

Tiga pihak ini perlu sentiasa berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa bagi terus merelevankan dasar dan wawasan seseorang pemimpin tersebut.

 Dalam tradisi tamadun Islam, khususnya pada zaman kerajaan Abbasiyyah, seorang Khalifah mentadbir urusan hariannya dengan bantuan para bitonahnya seperti wazir (menteri), hajib (setiausaha), katib (penulis) dan khazin (pegawai kewangan). Kesemua mereka menjadi nadi penting kepada pentadbiran harian Khalifah di samping para Amir (gabenor wilayah) dan Amir al-Jaysh (Ketua Angkatan Tentera).

Namun di sudut yang lain, khalifah juga menyantuni para penyokong yang rapat dengannya pada sesi-sesi santai terutama pada waktu petang. Khalifah melantik orang-orang disukainya sebagai nadim (teman minum) untuk menghiburkan dirinya dengan mendengar puisi, syair dan cerita hikayat lucu.

Ketika zaman kemuncak kegemilangan Islam, fungsi nadim berkembang dan tidak hanya memperdengarkan puisi dan syair. Tetapi turut membentangkan pelbagai dapatan ilmiah dalam bidang sains, perubatan, ilmu agama dan falsafah. Oleh yang demikian, nadim yang dilantik adalah terdiri daripada kalangan para saintis, fuqaha’ dan ahli falsafah.

Perkembangan ini membolehkan para khalifah lebih berilmu dan sentiasa peka dengan perubahan terkini dalam bidang ilmu. Di samping itu Khalifah juga meluangkan masa bertemu dengan al-Sahib (teman dan kenalan baik) dan al-Jalis (orang-orang yang ditemui dan duduk berbual bersama) untuk mendapatkan pandangan dan nasihat.

Kesemua kelompok golongan iaitu bitonah, nadim, al-sahib dan al-jalis menjadi penasihat dan penyokong yang sentiasa menyalurkan khalifah dengan pelbagai nasihat, pandangan dan maklumat.

Ketika itu seseorang khalifah perlu sentiasa peka dengan nasihat dan maklumat yang diberikan oleh empat golongan tersebut supaya beliau tidak melakukan kesalahan dalam membuat sebarang keputusan.

Terdapat penasihat dan penyokong yang cenderung untuk menghasut dan mempengaruhi khalifah dalam membuat keputusan yang salah. Bahkan kejatuhan kerajaan Abbasiyah juga dikaitkan dengan fungsi ke empat-empat golongan ini yang memberikan nasihat yang salah kepada khalifah.

Lebih teruk lagi terdapat khalifah yang terus menyerahkan tugas membuat keputusan kepada mereka tanpa menghiraukan kesan yang akhirnya menyebabkan institusi kerajaan Abbasiyyah di Baghdad jatuh diserang tentera Mongol pada 15 Muharam tahun 656 hijrah.

Justeru, para penasihat dan penyokong adalah dua kelompok yang sangat penting bagi mendukung perjuangan seseorang pemimpin. Mereka perlu jelas tentang wawasan dan dasar yang hendak dibawa oleh ketua mereka.

Mereka juga perlu sentiasa menjadikan diri mereka memberikan khidmat yang baik kepada pemimpin mereka dan bukannya memberikan nasihat yang jahat, atau hasutan yang akhirnya boleh menjatuhkan pemimpin dan institusi mereka sendiri.

Mendampingi penasihat adalah satu kelaziman dan keperluan bagi seseorang pemimpin, manakala menyantuni penyokong akan melestarikan dasar dan wawasan perjuangannya.