SETIAP kali menyingkap fenomena penggunaan bahasa dalam komunikasi masyarakat terutama melalui media sosial, membuatkan hati penulis bagai ditusuk sembilu.

Bukan sekadar ejaannya diringkaskan hingga sukar untuk difahami, malah bahasa yang kesat, cacian dan kejian makin menjadi-jadi. Tanpa segan silu ia menjadi bahasa perantaraan mahupun komen pada dinding-dinding media sosial dalam apa jua bentuk aplikasi sama ada Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram, Instagram, dan sebagainya.

Apakah kita tidak sedar, kebijaksanaan manusia itu terpancar dengan jelas melalui cara dan bahasa yang digunakan ketika bermuamalah dengan orang lain?

Sama ada ia dituturkan melalui lisan mahupun penulisan. Sebab itulah, Islam amat menitikberatkan penggunaan bahasa yang baik dalam berkomunikasi.

Jika tidak, masakan ALLAH SWT mengandaikan kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, sebagaimana yang disebutkan dengan jelas dalam Surah Ibrahim, ayat 24 hingga 26 yang bermaksud; “Tidakkah engkau melihat bagaimana ALLAH mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan ALLAH membuat perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat.

Dan perbandingan kalimah yang buruk seperti pohon yang tidak berguna yang terjongket akar-akarnya dari bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup”.

Mengapa ALLAH mengandaikan sedemikian? Jika kita lihat, pohon yang baik tentunya berasal daripada benih yang baik, akarnya kuat dan membolehkannya teguh berdiri, dahannya semakin meninggi, akan memberi hasil dalam apa jua bentuk sama ada berbuah sepanjang tahun ataupun pada musim-musim tertentu agar dapat dinikmati oleh semua golongan manusia tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan.

Malah, pohon yang baik juga mampu meneutralkan karbon dioksida yang mana jika dibiarkan, ia akan memudaratkan manusia. Ia akan menukarkannya menjadi oksigen untuk manfaat sekalian makhluk yang lain.

Seorang Mukmin yang mengucap kalimah “La ilaha illa Allah” (syahadah) akan memiliki keyakinan yang teguh kerana dikuatkan dengan ‘akar’ iaitu kalimah syahadah tersebut dan sudah tentu tinggi nilainya di sisi ALLAH dan manusia. Begitu jugalah

kata-kata orang yang beriman semestinya baik kerana ia terbit daripada benih iman yang tertanam dalam hatinya.

Pohon yang baik, akarnya akan mencengkam tanah agar ia tidak tumbang. Begitu juga kata-kata yang baik mampu mengeratkan dan menyatukan manusia agar tidak berpecah. Namun, kata-kata yang baik tidak hanya muncul dengan sendiri. Ia perlu dipupuk dan dididik sejak kecil serta perlu disirami oleh al-Quran dan as-sunnah agar kekal baik.

Sebagaimana pohon yang baik memerlukan penjagaan yang rapi, disirami air agar kekal subur dan dibajai dengan betul.

Akan tetapi, manusia tidak akan terkesan dengan kata-kata yang baik jika ia hanya diungkapkan tanpa disertakan dengan amal yang boleh dijadikan contoh. Kerana kata-kata yang baik merupakan cabang daripada perbuatan, akhlak dan iman.

Walaupun manusia pada hari ini, cuba mencipta pohon tiruan atas alasan tidak perlu bersusah-payah menjaganya seperti pohon semula jadi.

Memang kelihatan cantik tetapi ia ‘mati’ dan tidak akan kekal disukai. Namun pohon yang baik hidup dan membesar, mengeluarkan hasil serta menyenangkan hidup manusia dan makhluk lain. Begitu jugalah kata-kata baik yang palsu tidak memberi kesan yang lama kepada manusia berbanding kata-kata baik yang ikhlas.

Seperkara lagi yang perlu kita hayati, kata-kata yang baik bersifat konsisten, akan kekal tumbuh dan berkembang walaupun ada yang cuba memadamnya.

Samalah seperti pohon yang baik akan kekal menghijau di bumi, walaupun ditebang oleh manusia, namun akan ada yang menanamnya.

Hakikatnya, betapa halus dan terperinci perumpamaan serta peringatan yang ALLAH telah berikan untuk kita fikir dan amalkan. Jika benar kita mengaku sebagai seorang yang beriman, pastinya tidak tergamak untuk kita mengeluarkan kata-kata yang kesat, kerana ia berupaya menyebabkan kebencian dan permusuhan sesama kaum, sesama saudara, apatah lagi sesama Islam.

Justeru, sentiasa sucikan hati betulkan lidah dalam berkomunikasi sesama manusia. Elakkan dengki, jauhi mengeji. Jangan menghalang, jika tidak mampu merubah.

Jangan mengurang jika tidak mampu menambah. Selalu ingat kata hukama: “Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”