SEDAR tidak sedar, kita sudah pun berada pada musim haji 1437H. Bagi mereka yang pernah menunaikan umrah atau haji sebelum ini, atau mereka yang belum pernah sampai ke sana sekalipun, pastinya akan terdetik perasaan rindu terhadap kedua-dua tanah suci umat Islam ini.

Apakan tidak, di kedua-dua tanah suci inilah bermulanya sejarah perkembangan Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, sehingga Islam tersebar jauh ke seluruh pelosok dunia termasuk tanah air kita.

Menyoroti sejarah tanah suci Makkah, di sinilah terdapatnya Kaabah yang merupakan rumah ibadah pertama yang didirikan, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Ali-Imran, ayat 96 yang bermaksud:

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia”.

Manakala di tanah suci Madinah al-Munawwarah, terletaknya Makam Rasulullah SAW. Baginda merupakan penghulu segala nabi dan rasul serta yang terakhir diutus untuk menjadi petunjuk dan rahmat ke sekalian alam.

Walau apa pun, dalam Rukun Islam, haji merupakan kemuncak kepada segala ibadah bagi mereka yang mampu mengerjakannya, bertepatan dengan hadis yang masyhur dan dikenali dengan hadis Jibril:

Daripada Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Ketika mana kami bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, datanglah kepada kami seorang lelaki yang begitu putih pakaiannya, begitu hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya kesan-kesan perjalanan jauh, dan tidak seorang pun daripada kalangan kami yang mengenalinya, sehinggalah dia duduk dekat dengan Nabi SAW, dia merapatkan lututnya kepada lutut Baginda, dan dia meletakkan kedua tapak tangannya di atas kedua pahanya (seperti seorang yang ingin menuntut ilmu), dan berkata: “Wahai Muhammad, beritahu kepadaku berkenaan Islam”. Maka Baginda menjawab: “Islam itu adalah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan sesungguhnya Muhammad itu adalah Rasulullah (Pesuruh ALLAH), kamu mendirikan solat, kamu berikan zakat, kamu berpuasa Ramadan, dan kamu menunaikan haji jika kamu berkemampuan”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Begitu juga dengan firman ALLAH dalam Surah Ali-Imran, ayat 97 yang bermaksud: “Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya ALLAH Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”.

Alhamdulillah. Penulis bersyukur kepada ALLAH kerana rombongan pertama jemaah haji kita telah pun selamat tiba di tanah suci Makkah. Tahniah kepada mereka yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini. Merekalah yang diistilahkan sebagai “Dhuyuf Ar-Rahman” atau tetamu-tetamu ALLAH Yang Maha Pemurah. Moga-moga mereka mendapat sebanyak-banyak peluang dan ruang untuk mengumpul pahala serta beroleh pengampunan daripada ALLAH, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menunaikan haji kerana ALLAH, kemudian dia tidak melakukan perkara keji dan tidak juga perkara fasik, dia akan pulang seperti hari ibunya melahirkannya (iaitu dalam keadaan bersih dari dosa kerana dosa-dosa telah diampunkan)”. Hadis sahih riwayat Bukhari.

Penulis juga mendoakan agar para Jemaah dikurniakan haji mabrur yang tiada ganjaran selayaknya kecuali syurga ALLAH, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Umrah ke umrah adalah menghapuskan apa (dosa-dosa kecil) di antara keduanya, manakala haji yang mabrur, tidak ada ganjaran (yang selayaknya) kecuali syurga”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun, bagi mereka yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu-Nya pada tahun ini, sama ada kerana masih tidak mempunyai perbelanjaan yang mencukupi atau kerana tidak mendapat giliran, janganlah bersedih dan bersusah hati. Halangan-halangan ini juga sebenarnya  termasuk dalam kategori ketidakmampuan kita untuk menunaikan ibadah tersebut.

Hatta, pernah berlaku kejadian seorang yang sudah berada di lapangan terbang untuk berangkat menunaikan haji, akhirnya terpaksa membatalkan penerbangan kerana ayahnya meninggal dunia. Malah ada juga mereka yang pada awalnya tidak tersenarai, tetapi pada saat-saat akhir dapat menunaikan haji. Itulah yang dinamakan ketentuan ALLAH.

Akhir kata, penulis mendoakan agar semua para jemaah yang terpilih menjadi Dhuyuf Ar-Rahman pada tahun ini dipermudahkan segala urusan, beroleh keberkatan dan rahmat dalam setiap detik kehidupan serta selamat kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur.

* Penulis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri