POLITIK atau siasah bermaksud menjaga atau mentadbir urus kehidupan manusia. Dalam Islam, politik secara umumnya difahami sebagai kepimpinan dan urusan yang menggalang ganti tugas kenabian bagi menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Pada zaman kegemilangan tamadun Islam, politik mendapat perhatian yang serius dalam perbahasan para sarjana sehingga mewujudkan dua orientasi cara berfikir tentang politik. Pertama politik yang berorientasikan syariah yang terkandung dalam perbahasan al-Mawardi, al-Ghazali, al-Juwayni dan Ibn Jama‘ah.

Orientasi pertama ini memfokuskan kepada peraturan, kaedah dan asas kenegaraan yang diperlukan sesebuah negara untuk mentadbir mengikut acuan syariah berasaskan konteks keperluan zaman pada masa itu.

Kedua adalah politik yang diperbahaskan dalam konteks falsafah oleh al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn Rushd. Orientasi kedua ini pula adalah usaha para ahli falsafah Islam memberikan sentuhan falsafah berupa hikmah, pengajaran, nasihat dan model sebuah negara terbaik yang perlu diikuti.

Lebih dari itu, para ahli falsafah Islam cuba mendidik para ‘orang politik’ termasuk khalifah, sultan, amir dan wazir tentang batas dan adab etika yang diperlukan dalam berpolitik.  

Ini menunjukkan, adab dan etika dalam berpolitik menjadi suatu perkara yang sangat penting dalam Islam. Berpolitik secara Islam tidak cukup dengan hanya menyelitkan ucapan dan kata-kata dengan ayat al-Quran dan hadis.

Tetapi berpolitik secara Islam perlu dibuktikan dengan menjaga tutur kata agar tidak menyakiti orang lain, amalan dan penghayatan yang luhur, menjaga ukhuwah sesama Islam dan pada masa yang sama turut menghormati hak masyarakat bukan Islam.

Ironinya ahli politik pada hari ini kadang kala ada yang bersifat semberono dalam memberikan pandangan, melepaskan tutur kata tanpa memikirkan batas, bersifat sombong di pentas pidato dan tidak menjaga sensitiviti institusi sekeliling yang ada.

Barangkali apa yang dituturkan tiada kesalahan dari sudut syariatnya, namun pada sudut akhlak dan adab, perbuatan menyindir dan menghina tidak boleh diterima sama sekali.

Hakikatnya rasa penghormatan kepada institusi perlu melangkaui penghormatan seseorang itu kepada individu, apatah lagi jika institusi tersebut merupakan payung negara dan penjaga kepada kesucian agama Islam.  

Perlu diingatkan bahawa ahli politik adalah kalangan penting yang mewakili hasrat dan suara rakyat demi kebaikan negara dan institusinya. Dalam konteks ini mereka seharusnya tahu dan peka akan adab dan batas yang ada supaya tidak melanggar batas-batas kenegaraan dan institusi yang dijunjung.   

Di Nusantara, ulama terkenal Raja Ali Haji yang mengarang kitab Muqaddimah fi Intizam dan kitab Thamarat al-Muhimmah pada akhir abad 19 ada membahaskan tentang sistem pentadbiran raja dan sultan menurut nuansa Islam. Menariknya beliau turut menyelitkan nasihat kepada ‘orang politik’ dengan berkata dalam karya Thamarat al-Muhimmah:

Setengah orang fikir keliru

Tidak mengikut pengajaran guru

Tutur dan kata haru biru

Kelakuan seperti hantu pemburu

Tingkah laku tiada kelulu

Perkataan kasar keluar selalu

Tiada memikirkan ‘ayb dan malu

Bencilah orang hilir dan hulu

Itulah orang ‘aqalnya kurang

Hingga dirinya pandai seorang

Takbur tidak membilang orang

Ke sana ke mari pergi mengarang

Setengah yang kurang ‘aqal dan bahasa

Tingkah dan laku bagai raksasa

Syara’ dan adat kurang periksa

Seperti harimau mengajar rusa

Nasihat Raja Ali Haji berkait tentang sifat dan sikap yang perlu didukung oleh ‘orang politik’ Melayu-Islam Nusantara yang mementingkan keluhuran budi dan tatasusila dalam berbicara. Di mana lagi mahu ditegakkan bangsa dan syariat agama ini jika tidak pada asas pekerti dan akhlaknya. Moga kita semua sentiasa berpada-pada bila berpolitik.