PILIHAN RAYA Umum ke-14 telah berakhir. Gabungan Parti Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri. Ini menyaksikan Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia gagal membentuk Kerajaan Persekutuan.

Meskipun kecundang dalam PRU kali ini, BN perlu menerima kekalahan ini sebagai satu yang positif. Hakikatnya BN telah melalui satu proses pilihan raya dan rakyat telah membuat keputusan secara majoriti yang meletakkan BN sebagai parti di barisan pembangkang Parlimen Malaysia. Satu keadaan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Semua yang berlaku ini adalah satu ujian kepada BN khususnya Umno yang menjadi parti teras kepada gabungan komponen itu. Kejatuhan dan kegagalan ini perlu dianggap sebagai satu proses sejarah dalam perkembangan Umno sejak 72 tahun lalu. Umno telah melalui proses turun dan naik yang dinamik dan penuh warna-warni.

Sejarah perjuangan panjang Umno ini daripada penyatuan rakyat menolak Malayan Union, memerdekakan negara dan membangunkan negara sebagai parti pemerintah seperti yang dilihat pada hari ini sehinggalah kekalahan dalam PRU yang lalu perlu menjadi pengajaran berguna kepada Umno.

Kegagalan dan sebab penolakan rakyat perlu dinilai kembali oleh parti. Pada masa yang sama, parti juga perlu melakukan pengislahan dan tazkiyah al-nafs (penyucian dan penyuburan) untuk mengangkat kembali darjat mereka dalam kalangan rakyat.  

Dalam Surah al-Imran, ayat 140 ALLAH SWT berfirman:

‘Jika kamu pada perang Uhud mendapat luka, maka sesungguhnya orang kafir itu pun pada perang Badar mendapat luka yang serupa. Dan masa kemenangan dan kekalahan itu, Kami pergilirkan di antara manusia agar mereka mendapat pengajaran dan supaya ALLAH membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya gugur sebagai syuhada. Dan ALLAH tidak menyukai orang-orang yang zalim’.

Dalam ayat ini, ALLAH SWT berfirman bahawa digilirkan kemenangan itu agar manusia mendapat pengajaran dari bentuk kemenangan dan kekalahan yang dihadapi. Pengajaran dari kekalahan PRU inilah yang perlu menjadi azimat kepada Umno untuk bangkit kembali pada masa-masa akan datang.

Sesungguhnya, tiupan semangat dan jiwa besar perlu menjadi genggaman utuh bagi seorang pejuang yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi. Bagi yang menang mereka perlu menunaikan harapan dan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat.

Bagi yang kalah pula, ini bukanlah satu pengakhiran kepada satu episod perjuangan, bahkan satu permulaan untuk bangun dan melangkah semula membina keyakinan, darjat dan maruah.

Berjiwa besar untuk menghadapi kekalahan ini sangat penting. Berlapang dada dan belajar menerima kekurangan dan kritikan adalah kunci kepada kejayaan hari esok. Malah, kesemua sifat ini perlu digarap secara terbuka dan diletakkan di atas asas kepentingan untuk negara dan ummah.

Penolakan rakyat adalah bersebab dan tidak bersifat mutlak untuk selamanya. Maka hari ini, rakyat menolak BN untuk mentadbir negara, maka hari esok pasti masih ada sinar untuk parti yang telah 61 berjasa kepada agama, bangsa dan negara ini.

Perubahan, pengislahan, penyucian untuk mengangkat kembali darjat dan maruah parti dimulakan sesegera mungkin. Jangan lagi patah semangat dan lemah longlai untuk mengangkat panji-panji perjuangan kerana jalan perjuangan ini tidak pernah tertutup. Medan dakwah tidak pernah sunyi dari ujian dan mehnah. Pada saat inilah perjuangan akan terasa manisnya lantaran hanya kekal dan istiqamah mampu menghadapinya.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)