BAITULMAQDIS merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam selepas kota Makkah dan Madinah. Baitulmaqdis adalah sebahagian dari tanah Palestin yang terletak di Bilad al-Sham.

Dalam konteks negara moden hari ini, Bilad al-Sham turut meliputi Syria dan juga Jordan.

Pada zaman Rom, Palestin terbahagi kepada beberapa kawasan iaitu Palestina Prime, Palestina Secunda dan Palestine Tertia.

ALLAH SWT merujuk Baitul-maqdis dalam al-Quran dengan beberapa istilah lain iaitu al-Ard al-Mubarakah (bumi yang diberkati), al-Ard al-Muqaddasah (bumi suci) dan al-Masjid al-Aqsa (Masjid al-Aqsa). Manakala istilah Baitulmaqdis itu sendiri turut digunakan dalam hadis Rasulullah SAW.

Di Baitulmaqdis terdapatnya Masjid al-Aqsa dan Qubbah al-Sakhrah yang menjadi saksi berlaku peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW. Lebih dari itu Baitulmaqdis pernah menjadi kiblat solat pada zaman Rasulullah SAW.

Ironinya kota ini tidak hanya dianggap suci bagi umat Islam, bahkan turut dianggap suci bagi agama Kristian dan Yahudi.

Penganut Kristian menganggap kota ini sebagai tempat suci di mana Nabi Isa AS disalibkan di bukit al-Jaljathan dan terdapat gereja pada bukit tersebut.

Bagi penganut Yahudi pula, mereka menganggap salah satu dari dinding Masjid al-Aqsa adalah binaan batu yang diambil daripada Istana Nabi Sulaiman AS. Dinding tersebut digelar sebagai Hait al-Mabka.

Latar keunikan tiga agama di kota Baitulmaqdis ini menyebabkan sejarah politik dan penguasaannya juga adalah unik.

Kota ini pada zaman awal sebelum Islam telah mencatatkan pelbagai sejarah penting pemerintahan purba Rom dan para Anbiya’ terdahulu.

Kemudiannya dikuasai oleh Rom Timur atau Byzantine.

Islam mula menguasai Baitulmaqdis dengan kejayaan Khalifah Umar al-Khattab membuka kota ini dalam kempen besar-besaran dakwah dan jihad pembukaan wilayah di Sham dan Timur Tengah.

Penguasaan Islam berterusan merentasi zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rashidin di bawah pimpinan Khalifah Uthman dan Ali. Kemudian diteruskan lagi pada era pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah dan Saljuq.

Baitulmaqdis hanya jatuh ditawan tentera salib Kristian pada tahun 1099.

Walau bagaimanapun, 88 tahun kemudian, tentera Islam pimpinan Salahuddin al-Ayubi berjaya menawan kembali Baitulmaqdis pada tahun 1187.

Baitulmaqdis terus diperintah Kerajaan Ayyubiyyah sehingga bertukar tangan kepada Kerajaan Mamluk dan kemudiannya dikuasai pula oleh Kerajaan Uthmaniyyah.

Sejarah menunjukkan bahawa Baitulmaqdis dan bumi Palestin berada di bawah pemerintahan Islam pada satu tempoh yang agak lama iaitu merentasi 1200 tahun lamanya. Lebih lama daripada tempoh Christoper Columbus menerokai Amerika.

Malah, bukti sejarah juga menunjukkan antara tahun 1099 hingga 1187, merupakan era di mana masyarakat berbilang agama di Baitulmaqdis tidak dapat hidup dengan aman.

Malah kemakmuran dan keamanan hanya berjaya dikecapi oleh tiga agama tersebut ketika berada di bawah kekuasaan Islam lebih dari 1200 tahun yang lampau.

Lebih menarik lagi, sepanjang tempoh 88 tahun selepas kejatuhan Islam, masyarakat Yahudi telah dihalang memasuki kota Baitulmaqdis.  

Kisah ngeri yang hitam dan gelap hanya bermula pada 1917 apabila Deklarasi Balfour diisytiharkan ekoran kekalahan Kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama.

Deklarasi Balfour merupakan perancangan jahat dan keji British untuk menguasai Asia Barat, merampas bumi Palestin dan membawa masuk pendatang haram Yahudi.

Episod sedih dan titik hitam ini berterusan dengan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah yang menjadi payung kepada umat Islam bernaung pada 1924 yang terus meletakkan Baitulmaqdis dan bumi Palestin dalam derita dan air mata hingga kini.

Sejarah jelas membuktikan bahawa di bawah pemerintahan Islamlah yang telah berjaya membawa keamanan dan kemakmuran di bumi Palestin suatu ketika dahulu.

Justeru, umat Islam seluruh dunia harus teguh bersatu hati dalam mempertahankan dan membantu saudara kita di bumi Palestin hari ini.